Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Navigation

Wajib Tahu! Ini Info Lengkap 3 Masalah Hidung Yang Lazim Didiagnosis Di Malaysia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 02/06/2021

Wajib Tahu! Ini Info Lengkap 3 Masalah Hidung Yang Lazim Didiagnosis Di Malaysia

Hidung merupakan salah satu deria utama manusia. Tanpanya, kita tidak berupaya untuk mengesan bau, bernafas dengan baik dan merasai kelazatan makanan.

Apabila kita bernafas menggunakan hidung, udara akan masuk melalui laluan nasal ke dalam kaviti hidung, melalui trakea dan sampai ke peparu.

Oleh sebab hidung merupakan struktur yang menapis, melembap dan memanaskan udara yang masuk, kita berupaya untuk bernafas dengan lebih selesa.

Hidung juga mempunyai jutaan reseptor bau yang menjadi tapak untuk molekul bau tertentu melekat padanya, membolehkan anda merasai persepsi terhadap bauan tersebut.

Apa yang lebih mengagumkan, terdapat lebih daripada 1 trilion jenis bau dan hidung kita boleh mengesan kesemuanya untuk dihantar kepada otak dan diterjemahkan kepada persepsi bau.

Namun jika terdapat masalah pada hidung seperti proses keradangan, bendasing tersumbat dan sebagainya, ia boleh mengganggu proses fisiologi bau.

Artikel ini akan membincangkan 3 keadaan kesihatan lazim hidung iaitu resdung, polip hidung dan septum hidung bengkok. Teruskan membaca.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila dapatkan di sini.

3 masalah hidung lazim; resdung, polip hidung dan septum hidung bengkok

Resdung (Sinusitis)

Resdung adalah jangkitan yang berlaku pada poket udara kecil (sinus) yang terletak di belakang dahi, hidung, tulang pipi dan di antara mata.

Ruangan sinus penting memandangkan ia boleh menghasilkan mukus untuk melindungi badan daripada ancaman jangkitan.

Mukus tersebut boleh memerangkap kuman seperti virus, bakteria dan sebagainya daripada menyebabkan proses patologi penyakit.

Namun, dalam situasi tertentu, bakteria dan pencetus alergi boleh menyebabkan penghasilan mukus berlaku dalam kuantiti yang banyak.

Keadaan ini boleh menyebabkan bukaan sinus tersumbat. Mukus akan berkumpul dan ia akan menjadi lokasi ideal untuk mikroorganisme membiak dan menyebabkan jangkitan.

Septum hidung bengkok

Septum adalah tulang rawan yang memisahkan bahagian kiri dan kanan hidung. Dalam situasi normal, ia terletak pada bahagian tengah dan membahagikan rongga hidung pada keluasan bukaan yang sama rata.

Namun terdapat keadaan di mana septum tersebut tidak terletak di tengah sebaliknya sama ada ke kiri atau kanan sehingga menyebabkan satu lubang hidung menjadi lebih besar berbanding dengan satu lagi.

Tanpa rawatan, pesakit berisiko mengalami komplikasi kesihatan seperti hidung tersumbat dan kesukaran untuk bernafas. Walau bagaimanapun bukan semua individu akan mengalami simptom akibat masalah septum bengkok.

Polip hidung

Pernah tak anda alami simptom selesema yang tidak sembuh-sembuh? Hidung anda tersumbat dan segala ubat yang dibeli tidak menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam hal tersebut, anda mungkin mempunyai polip di dalam hidung.

Polip hidung adalah ketumbuhan tidak berbahaya pada permukaan tisu atau mukosa hidung.

Simptom bagi masalah hidung lazim

hidung bengkok

Walaupun penyakit berbeza boleh menyebabkan gejala yang berlainan, namun bagi sesetengah penyakit, ia mempunyai persamaan dari segi simptom.

Bagi mereka yang mengalami masalah resdung, simptom yang lazim dikenal pasti adalah:

  1. Sukar untuk bau.
  2. Demam.
  3. Hidung tersumbat.
  4. Pening kepala.
  5. Kelesuan.
  6. Batuk.

Bagi mereka yang menghidap masalah septum bengkok, anda boleh mengalami simptom seperti berikut:

  1. Sukar bernafas menggunakan hidung.
  2. Sebelah hidung boleh bernafas dengan baik.
  3. Hidung berdarah.
  4. Jangkitan sinus.
  5. Sebelah hidung terasa kering.
  6. Bernafas atau berdengkur kuat semasa tidur.
  7. Hidung tersumbat.

Bagaimana pula dengan mereka yang menghidap polip? Berikut merupakan simptom yang boleh dialami oleh penghidap.

  1. Hidung tersumbat.
  2. Selesema.
  3. Postnasal drip (lebihan mukus mengalir ke dalam tekak).
  4. Hidung tersumbat.
  5. Hilang deria bau.
  6. Bernafas melalui mulut.
  7. Rasa sakit pada bahagian dahi atau muka.
  8. Apnea tidur.
  9. Berdengkur.

Jika dilihat pada senarai di atas, terdapat persamaan bagi simptom penyakit terutamanya apabila ia berkaitan dengan proses bernafas memandangkan hidung merupakan organ penting bagi proses fisiologi tersebut.

Sebagai contoh, dalam ketiga-tiga situasi penghidap boleh mengalami sesak nafas dan hilang keupayaan deria bau.

Oleh sebab itulah pemeriksaan doktor sangat penting berikutan ia boleh mengesahkan diagnosis sebelum rawatan yang sesuai boleh diberikan.

Punca dan faktor risiko bagi penyakit hidung lazim

hidung bengkok

Resdung

Sesiapa pun boleh mendapat jangkitan sinus. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai faktor risiko, mereka lebih cenderung untuk mendapat masalah resdung.

  1. Septum hidung bengkok.
  2. Ketumbuhan tulang pada hidung.
  3. Sejarah alergi.
  4. Terdapat kontak dengan kulat.
  5. Sistem pertahanan badan lemah.
  6. Tabiat merokok.
  7. Pernah mengalami jangkitan peparu atas.
  8. Fibrosis sistik.
  9. Jangkitan gigi.

Septum hidung bengkok

Bagi masalah septum bengkok, ia boleh berpunca daripada masalah kongenital (sejak lahir lagi) atau akibat trauma dan kecederaan yang dialami.

Lazimnya mereka yang terlibat dalam sukan kontak (ragbi, bola sepak dan sebagainya), berlawan (ahli tinju atau pergaduhan) atau kemalangan kereta boleh mendapat masalah ini.

Apa yang lebih teruk lagi adalah keadaan septum bengkok boleh menjadi semakin teruk mengikut usia.

Dalam keadaan tersebut, jika ia menyebabkan simptom sehingga mempengaruhi kualiti hidup, rawatan pembedahan akan disarankan.

Polip nasal

Polip nasal terbentuk pada tisu hidung (berasal daripada lapisan mukosa) yang mengalami keradangan.

Lapisan mukosa di dalam hidung secara amnya agak lembap memandangkan tugasnya adalah untuk melindungi dan melembapkan udara yang dihirup.

Apabila berlaku jangkitan atau pencetus alergi, mukosa akan membengkak dan merah. Ia juga akan menghasilkan cecair yang keluar di luar kawalan normal badan.

Jika proses keradangan tersebut dibiarkan lama dan tidak dirawat, ia boleh membentuk polip kelak.

Terdapat beberapa situasi di mana pesakit boleh mendapat polip walaupun mereka tidak mempunyai sebarang isu dengan proses radang hidung.

Perkara ini termasuklah:

  1. Sering mendapat jangkitan sinus.
  2. Asma.
  3. Rinitis alergi.
  4. Fibrosis sistik.
  5. Sindrom Churg-Strauss.
  6. Mereka yang sensitif terhadap ubat anti radang bukan steroid (NSAID).

Kaedah rawatan bagi masalah hidung lazim

polip hidung

Resdung

Pada awalnya, rawatan bagi masalah resdung lebih tertumpu kepada rawatan simptom.

Oleh sebab hidung tersumbat merupakan simptom yang lazim dan kurang menyenangkan, penggunaan pelembap udara, kain basah suam dan penyembur hidung boleh membantu melegakan gejala tersebut.

Jika simptom masih tidak elok dalam masa seminggu, anda mungkin akan dipreskripsikan dengan rawatan antibiotik.

Ia berikutan dalam tempoh masa tersebut, ia memberikan gambaran bahawa punca kepada resdung yang anda alami adalah jangkitan bakteria.

Maka anda perlu menghabiskan antibiotik tersebut untuk mengelakkan wujudnya strain rintang antibiotik yang bakal menyebabkan lebih banyak komplikasi.

Jika tiada apa yang boleh menyembuhkan resdung, kaedah pembedahan boleh dilakukan untuk mengosongkan sinus, membaiki septum hidung bengkok atau membasmi polip nasal yang terbentuk (jika ada).

Septum hidung bengkok

Dalam kebanyakan keadaan, ia tidak perlu dirawat. Namun jika ia memerlukan rawatan, pembedahan adalah pilihan yang popular dan lazim dipilih untuk dijalani oleh pesakit.

Kaedah pembedahan tersebut digelar septoplasti atau pembedahan rekonstruktif.

Namun bukan semua individu mampu untuk menjalani pembedahan tersebut berikutan ia berkos tinggi. Bagi yang tidak mampu, rawatan lebih tertumpu kepada kawalan simptom:

  1. Ubat untuk hidung tersumbat.
  2. Antihistamin.
  3. Penyembur steroid nasal.
  4. Pelekat pada hidung.

Polip nasal

Rawatan polip nasal terbahagi kepada dua, kaedah farmakologi atau kaedah pembedahan.

Setiap satu daripadanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Bagi penggunaan ubat, penyembur nasal boleh digunakan untuk melegakan simptom selesema dan hidung tersumbat.

Walau bagaimanapun, sekiranya simptom tidak terkawal dengan ubat yang dipreskripsikan oleh doktor, kaedah pembedahan boleh menjadi pilihan untuk membasmi polip tersebut.

Jika polip terlalu besar, doktor akan menjalankan teknik pembedahan endoskopik menggunakan skop yang dilengkapi dengan kamera di penghujungnya.

Selepas pembedahan selesai, pesakit masih perlu memakai penyembur nasal dan cucian air garam bagi mengelakkan pertumbuhan polip baharu.

Hindari masalah hidung lazim

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko berlakunya resdung dan polip nasal. Antaranya adalah:

  • Ambil vaksin selesema setiap tahun
  • Amalkan pemakanan seimbang, lebihkan makanan berserat
  • Cuci tangan secara berkala
  • Hadkan pendedahan terhadap bahan berbahaya di persekitaran seperti asap, bahan kimia dan sebagainya
  • Ambil ubat antihistamin untuk merawat alergi dan selesema
  • Elakkan daripada bergaul dengan mereka yang positif sebarang jangkitan

Bagi penyakit septum bengkok pula, oleh sebab ia boleh berlaku disebabkan punca kongenital, kawalan simptom penting untuk meningkatkan kualiti hidup penghidap.

Konklusi

Resdung, septum hidung bengkok dan polip nasal lazim didiagnosis di seluruh dunia.

Walaupun ia kelihatan tidak mengancam nyawa, namun simptom yang dialami oleh pesakit boleh mempengaruhi kualiti hidup mereka.

Oleh itu, sekiranya anda mempunyai sebarang simptom yang berkait dengan hidung, sila dapatkan nasihat perubatan daripada doktor yang bertauliah.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 02/06/2021

Iklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

Iklan
Iklan
Iklan