Seroma
Seroma adalah keadaan yang berlaku apabila serum, atau cecair badan steril, bertakung di bawah permukaan kulit, mengakibatkan pembengkakan dan kadang-kadang menyebabkan kesakitan. Ini boleh berlaku selepas sebarang pembedahan, dan ini adalah komplikasi yang paling biasa selepas tummy tuck, yang berlaku dalam kira-kira 15 hingga 30 peratus pesakit. Memandangkan seroma boleh dijangkiti, cecair tersebut seringkali dikeluarkan dengan menggunakan jarum. Kaedah ini berkesan menghilangkannya, walaupun ada peluang untuk keadaan ini kembali berulang.
Kehilangan darah
Sepertimana sebarang pembedahan, kehilangan darah adalah boleh dijangka. Walau bagaimanapun, kehilangan darah yang tidak terkawal dapat menyebabkan penurunan tekanan darah dengan kesan yang berpotensi boleh membawa maut. Kehilangan darah boleh berlaku semasa di bilik pembedahan, tetapi ia juga boleh berlaku secara dalaman selepas pembedahan.
Jangkitan
Walaupun penjagaan selepas pembedahan dilaksanakan termasuklah langkah-langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan, ia tetap menjadi salah satu komplikasi pembedahan plastik yang paling kerap terjadi. Sebagai contoh, jangkitan berlaku dalam kalangan 1.1 hingga 2.5 peratus daripada individu yang menjalani pembesaran payudara. Selulit infeksi kulit mungkin berlaku selepas pembedahan. Dalam sesetengah kes, jangkitan boleh menjadi dalaman dan parah yang memerlukan antibiotik intravena (IV).
Kerosakan saraf
Potensi kerosakan saraf hadir dalam pelbagai jenis prosedur pembedahan. Kebas dan kesemutan adalah biasa selepas pembedahan plastik dan boleh menjadi tanda kerosakan saraf. Selalunya kerosakan saraf adalah bersifat sementara, tetapi dalam beberapa kes, ia boleh menjadi kekal. Kebanyakan wanita mengalami perubahan kepekaan atau sensitiviti selepas pembedahan pembesaran payudara, dan 15 peratus individu mengalami perubahan kekal dalam sensasi puting susu.
Adakah saya sesuai untuk melakukan pembedahan kosmetik?
Oleh kerana pembedahan kosmetik boleh membawa perubahan yang bersifat tahan lama dan dramatik kepada penampilan luar, adalah penting untuk memahami bagaimana perubahan ini boleh menjejaskan anda di bahagian dalam. Sebelum membuat temujanji untuk berjumpa dengan pakar bedah kosmetik, anda perlu mempertimbangkan motif anda untuk menukar imej seperti yang diinginkan. Banyak ciri fizikal boleh diubah menerusi pembedahan kosmetik. Seseorang individu yang bersesuaian untuk melakukan pembedahan kosmetik adalah seperti berikut:
- Mempunyai tanggapan yang realistik mengenai apa yang boleh dicapai.
- Memahami risiko perubatan, kesan fizikal semasa penyembuhan, bagaimana pembedahan akan memberi kesan kepada mereka secara peribadi dan profesional, apa perubahan gaya hidup yang mungkin perlu diikuti semasa dalam tempoh pemulihan, dan perbelanjaan yang terlibat.
- Telah membincangkan matlamat mereka untuk pembedahan dengan pakar bedah mereka dan menyelesaikan sebarang pertanyaan.
- Mempunyai keadaan perubatan kronik yang terkawal.
- Tidak mempunyai sejarah merokok atau komited untuk menahan diri daripada merokok (termasuklah secondhand smoker) dan produk nikotin, termasuklah mengunyah tembakau dan tampalan nikotin, gula-gula atau lozenges selama 4 – 6 minggu sebelum dan selepas pembedahan.
- Mempunyai berat badan yang stabil selama enam bulan hingga satu tahun.
Mengapa prosedur pembedahan kosmetik sedang meningkat naik dan mendapat permintaan?
Perkembangan dan kepentingan terhadap media sosial
Dr. Dennis Schimpf, FACS, pengarang “Finding Beauty: Think, See and Feel Beautiful’ menganggap bahawa penggunaan telefon bimbit, selfie, dan platform media sosial sangat mendorong keinginan untuk melakukan pembedahan plastik . Pada zaman sekarang, dengan kewujudan peranti mudah alih dan pelbagai platform, kita secara literal melihat beratus-ratus atau beribu-ribu gambar diri kita mendokumentasikan perkara-perkara yang kita tidak gemar mengenai penampilan kita selain proses penuaan. Oleh sebab itu, terdapat permintaan yang tinggi terhadap pembedahan kosmetik bagi memastikan wajah kekal jelita agar menarik untuk dipaparkan di media-media sosial.
Lebih banyak penerimaan
Jika pada satu masa dahulu, individu yang ingin melakukan pembedahan plastik perlu melakukan secara tersembunyi untuk mengelakkan persepsi negatif orang ramai. Antara persepsi yang sering ditimbulkan ialah kecantikan hasil pembedahan plastik atau pembedahan kosmetik bersifat tidak semula jadi dan neutral. Walau bagaimanapun, seiring dengan perkembangan media sosial yang lebih menumpukan kepada imej dan susuk tubuh yang cantik dilihat dan dipandang, usaha untuk mendapatkan pembedahan plastik dan kosmetik bukan lagi sesuatu yang dilakukan secara tersembunyi. Malah, individu terlibat kadangkala akan bergambar bersama pakar bedah tersebut dan mengongsikan kehadiran mereka ke pusat rawatan tersebut di media sosial.
Kos yang berpatutan
Kos bagi prosedur pembedahan kosmetik juga semakin rendah dan berpatutan berbanding satu ketika dahulu. Kos yang serendah ratusan ringgit sahaja telah menarik pelbagai golongan dengan peringkat umur yang berbeza seperti pelajar institusi pengajian tinggi, suri rumah dan remaja-remaja untuk melakukan pembedahan kosmetik. Selain itu, kaedah pembayaran juga semakin mudah dengan kewujudan konsep cashless seperti kad kredit, kad debit dan pelan pembayaran ansuran.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen