Untuk pengetahuan anda semua, terdapat 3 jenis penyakit hidung atau rongga nasal yang paling lazim didiagnosis di negara kita termasuk septum hidung bengkak, resdung dan polip.
Persoalanya, apa dia punca dan bagaimana cara rawat masalah ini? Jom baca artikel untuk tahu dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan ENT, anda boleh klik di sini.
Apa punca penyakit hidung lazim?
Septum hidung bengkok
Bagi masalah septum bengkok, ia boleh berpunca daripada masalah kongenital (sejak lahir lagi) atau akibat trauma dan kecederaan yang dialami.
Lazimnya mereka yang terlibat dalam sukan kontak (ragbi, bola sepak dan sebagainya), berlawan (ahli tinju atau pergaduhan) atau kemalangan kenderaan boleh mendapat masalah ini.
Apa yang lebih teruk lagi adalah keadaan septum bengkok boleh menjadi semakin teruk mengikut usia.
Dalam keadaan tersebut, jika ia menyebabkan simptom sehingga mempengaruhi kualiti hidup, rawatan pembedahan akan disarankan.
Resdung
Sesiapa pun boleh mendapat jangkitan sinus. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai faktor risiko, mereka lebih cenderung untuk mendapat resdung.
- Septum hidung bengkok.
- Ketumbuhan tulang pada hidung.
- Sejarah alergi.
- Terdapat kontak dengan kulat.
- Sistem pertahanan badan lemah.
- Tabiat merokok.
- Pernah mengalami jangkitan peparu atas.
- Fibrosis sistik.
- Jangkitan gigi.
Polip
Polip nasal terbentuk pada tisu hidung (berasal daripada lapisan mukosa) yang mengalami keradangan.
Lapisan mukosa di dalam hidung secara amnya agak lembap memandangkan tugasnya adalah untuk melindungi dan melembapkan udara yang dihirup.
Apabila berlaku jangkitan atau pencetus alergi, mukosa akan membengkak dan merah. Ia juga akan menghasilkan cecair yang keluar di luar kawalan normal badan.
Jika proses keradangan tersebut dibiarkan lama dan tidak dirawat, ia boleh membentuk polip kelak.
Terdapat beberapa situasi di mana pesakit boleh mendapat polip walaupun mereka tidak mempunyai sebarang isu dengan proses radang hidung.
Perkara ini termasuklah:
- Sering mendapat jangkitan sinus.
- Asma.
- Rinitis alergi.
- Fibrosis sistik.
- Sindrom Churg-Strauss.
- Mereka yang sensitif terhadap ubat anti radang bukan steroid (NSAID).
Bagaimana rawat penyakit hidung lazim?
Septum hidung bengkok
Dalam kebanyakan keadaan, ia tidak perlu dirawat. Namun jika ia memerlukan rawatan, pembedahan adalah pilihan yang popular dan lazim dipilih untuk dijalani oleh pesakit.
Kaedah pembedahan tersebut digelar septoplasti atau pembedahan rekonstruktif.
Namun bukan semua individu mampu untuk menjalani pembedahan tersebut berikutan kos pembedahan tulang hidung bengkok ini agak tinggi.
Bagi yang tidak mampu, rawatan lebih tertumpu kepada kawalan simptom:
- Ubat untuk hidung tersumbat.
- Antihistamin.
- Penyembur steroid nasal.
- Pelekat pada hidung.
Resdung
Pada awalnya, rawatan bagi masalah resdung lebih tertumpu kepada rawatan simptom.
Oleh sebab hidung tersumbat merupakan simptom yang lazim dan kurang menyenangkan, penggunaan pelembap udara, kain basah suam dan penyembur hidung boleh membantu melegakan gejala tersebut.
Jika simptom masih tidak elok dalam masa seminggu, anda mungkin akan dipreskripsikan dengan rawatan antibiotik.
Ia berikutan dalam tempoh masa tersebut, ia memberikan gambaran bahawa punca kepada resdung yang anda alami adalah jangkitan bakteria.
Maka anda perlu menghabiskan antibiotik tersebut untuk mengelakkan wujudnya strain rintang antibiotik yang bakal menyebabkan lebih banyak komplikasi.
Jika tiada apa yang boleh menyembuhkan resdung, kaedah pembedahan boleh dilakukan untuk mengosongkan sinus, membaiki septum hidung bengkok atau membasmi polip nasal yang terbentuk (jika ada).
Polip
Rawatan polip nasal terbahagi kepada dua, kaedah farmakologi atau kaedah pembedahan.
Setiap satu daripadanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.
Bagi penggunaan ubat, penyembur nasal boleh digunakan untuk melegakan simptom selesema dan hidung tersumbat.
Walau bagaimanapun, sekiranya simptom tidak terkawal dengan ubat yang dipreskripsikan oleh doktor, kaedah pembedahan boleh menjadi pilihan untuk membasmi polip tersebut.
Jika polip terlalu besar, doktor akan menjalankan teknik pembedahan endoskopik menggunakan skop yang dilengkapi dengan kamera di penghujungnya.
Selepas pembedahan selesai, pesakit masih perlu memakai penyembur nasal dan air garam bagi mengelakkan pertumbuhan polip baharu.