backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Apa Itu Kanser Serviks: Tanda, Punca & Rawatan Yang Wanita Perlu Ambil Peduli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/03/2024

Apa Itu Kanser Serviks: Tanda, Punca & Rawatan Yang Wanita Perlu Ambil Peduli

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Serviks, sila dapatkannya di sini.

Semua wanita berisiko untuk menghidap kanser serviks, lebih-lebih lagi wanita yang berumur lebih daripada 30 tahun. Kanser servik adalah sejenis kanser yang bermula pada bahagian serviks wanita. 

Kanser serviks jarang menunjukkan sebarang simptom awal. Namun, ia boleh dikesan melalui ujian saringan dan pemeriksaan secara berkala.

Seperti kanser jenis lain, kanser serviks berlaku apabila sel yang bersifat malignan (kanser) terbentuk pada tisu di sekitar kawasan rahim.

Di Malaysia, kanser serviks turut dikenali dengan nama kanser pangkal rahim. Wanita yang sudah berkahwin ataupun mempunyai kehidupan seks yang aktif berisiko untuk menghidap penyakit ini. 

Hampir semua kes kanser ini (99%) adalah berkaitan dengan jangkitan human papillomavirus (HPV). Virus ini merebak dari satu individu ke individu yang lain melalui hubungan seksual.

Di Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga yang sering berlaku. Dianggarkan sebanyak 1682 wanita didiagnos dengan penyakit ini dan 944 wanita daripada jumlah tersebut meninggal dunia.

Institut Kanser Negara menggalakkan wanita yang berusia 20 tahun ke atas yang aktif dalam hubungan seksual untuk menjalani ujian saringan antara 3-5 tahun sekali untuk tujuan pengesanan awal.

Selain itu, para wanita juga disarankan untuk mengambil pelalian HPV bagi mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan ini.

Pengambilan vaksin HPV boleh mengurangkan risiko seseorang daripada menghidap penyakit ini sebanyak 70%.

Namun, vaksin ini perlu diberikan sebelum individu itu terdedah dengan virus HPV. Vaksin tidak akan berkesan terhadap wanita yang pernah mengalami jangkitan HPV.

Oleh sebab itu, pelalian HPV akan diberikan secara percuma kepada semua gadis yang berumur 13 tahun di Malaysia. Wanita selain di usia ini boleh mendapatkan suntikan vaksinasi ini di fasiliti kerajaan atau swasta. Vaksin ini boleh diambil bagi wanita sehingga usia 45 tahun. 

Suntikan vaksin HPV di Malaysia diberikan sebanyak 2 dos dengan jarak 6 bulan antara dos.

Baca juga : 

Gejala Kanser Serviks Yang Wanita Perlu Tahu 

Jangkitan HPV Dan Merokok Antara Penyebab Kanser Serviks 

 Jenis kanser serviks

Kanser serviks secara umumnya adalah terbahagi kepada 2 jenis iaitu adenocarcinoma dan squamous cell carcinoma.

1.  Adenocarcinoma

Adenocarcinoma bermula pada bahagian sel glandular yang melapisi bahagian dalam rahim wanita. Kanser jenis ini lebih jarang berlaku jika dibandingkan dengan squamous cell carcinoma.

Namun, kebelakangan ini, kanser jenis adenocarcinoma mengalami peningkatan dari segi bilangan kes.

2.  Squamous cell carcinoma

9 daripada 10 kanser serviks adalah dari jenis squamous cell carcinoma. Kanser ini bermula pada bahagian luar rahim yang dilapisi oleh sel skuamous.

Kadang kala, kanser ini mempunyai kedua-dua sifat squamous cell carcinoma dan juga adenocarcinoma. Kanser ini dinamakan adenosquamous carcinoma ataupun mixed carcinomas.

Jenis kanser yang dialami oleh pesakit membantu doktor untuk membuat prognosis dan rawatan yang bersesuaian.

Simptom lazim kanser serviks

Kanser Serviks

Bukan semua wanita yang dijangkiti virus HPV akan menghidap kanser serviks. Namun, ad beberapa jenis virus HPV yang boleh mengakibatkan perubahan yang abnormal terhadap sel pada kawasan rahim.

Dua jenis HPV, iaitu HPV 16 dan HPV 18 merupakan strain yang bertanggungjawab terhadap kebanyakan kes kanser serviks.

Seperti kanser yang lain, penghidap kanser serviks selalunya tidak akan mengalami apa-apa simptom pada tahap awal.

Namun, jika anda mempunyai simptom berikut, segeralah berjumpa dengan doktor untuk sesi konsultasi.

1. Pendarahan pada bahagian vagina

Pendarahan vagina adalah salah satu simptom yang kerap berlaku dalam kalangan pesakit kanser serviks.

Selalunya, pesakit akan alami pendarahan:

  1.       Ketika ataupun selepas melakukan hubungan seksual
  2.       Di antara haid
  3.       Selepas mengalami menopaus

2. Keputihan

Masalah berkaitan dengan keputihan boleh mendatangkan ketidakselesaan pada individu yang mengalaminya.

Selalunya, keputihan yang tidak normal berlaku disebabkan jangkitan yis, bacterial vaginosis ataupun salah satu simptom menopaus.

Namun, keputihan yang berlangsung dalam jangka masa yang panjang, berwarna pucat, cair, kemerah-merahan, coklat, berdarah ataupun berbau busuk dan hanyir perlu dirujuk dengan doktor pada kadar segera.

3. Sakit belakang

Individu yang mengalami sakit belakang selalunya akan mengalami kelegaan jika mereka berehat dengan cukup selama beberapa minggu.

Namun, sekiranya sakit belakang yang dialami menjadi semakin teruk, maka anda digalakkan untuk terus berjumpa doktor untuk sesi konsultasi. Sakit belakang adalah salah satu simptom kanser yang tidak patut dipandang remeh. 

Jangan bertangguh untuk berjumpa doktor jika anda alami sakit belakang dalam satu jangka masa yang panjang.

4. Sakit pada bahagian pelvis

Sakit pada bahagian pelvis boleh dikaitan dengan masalah pada organ reproduktif.

Salah satu simptom kanser serviks adalah sakit pada bahagian pelvis, lebih-lebih lagi rasa sakit yang berpanjangan dan tidak pernah hilang.

Simptom ini selalunya berlaku ketika kanser sudahpun berada pada tahap 3 atau tahap 4.

Simptom-simptom lain seperti pendarahan vagina dan keputihan akan berlaku terlebih dahulu sebelum pesakit dapat merasakan sakit pada bahagian pelvis.

Punca dan cara mencegah kanser serviks

Kanser terjadi apabila sel yang sihat di bahagian rahim mengalami mutasi dari segi DNA. Sel yang bermutasi akan membesar dan membahagi tanpa kawalan.

Sel tersebut pula akan berkumpul dan membentuk tumor. Lama-kelamaan, sel kanser akan merebak ke kawasan badan yang lain.

Punca kanser serviks masih belum jelas di kalangan pakar. Namun, penglibatan virus HPV merupakan salah satu faktor penting. Hampir kesemua wanita yang mengalami kanser ini pernah mengalami jangkitan HPV.

Human papillomavirus (HPV)

Virus HPV sebenarnya terdiri daripada hampir 100 jenis strain yang berbeza. Virus HPV boleh merebak dari satu individu ke individu yang lain melalui hubungan seksual.

Pemakaian kondom tidak berkesan dalam mengekang penyebaran virus ini kerap HPV boleh merebak melalui sentuhan kulit ke kulit.

Hampir semua wanita yang pernah melakukan seks akan mendapat jangkitan HPV paling kurang sekali seumur hidup.

Jangkitan HPV tidak akan mengakibatkan sebarang simptom dan jangkitan tersebut juga akan sembuh dengan sendirinya tanpa sebarang rawatan.

Ada 15 jenis HPV yang dikesan berisiko untuk menyebabkan kanser serviks. 2 jenis yang paling bahaya ialah HPV 16 dan HPV 18.

 Pemeriksaan dan ujian saringan kanser serviks

Langkah yang paling berkesan untuk mencegah kanser serviks adalah dengan melakukan ujian saringan dan pemeriksaan secara berkala.

Wanita yang berumur dalam lingkungan 25 ke 49 tahun digalakkan untuk melakukan ujian saringan sekurang-kurangnya 3 tahun sekali.

Selain itu, kanser ini boleh dielakkan jika anda mengambil vaksin HPV dan pada masa yang sama turut melakukan ujian saringan.

Walaupun anda mengambil vaksin HPV, anda masih perlu melakukan ujian saringan kerana vaksin tersebut tidak dapat melindungi anda sepenuhnya daripada kanser ini.

Namun, risiko untuk anda menghidap kanser menjadi lebih rendah setelah anda mengambil vaksinasi.

Bila anda perlu berjumpa doktor

serviks adalah

Ramai wanita tidak mengalami sebarang simptom sehingga kanser tersebut telah menjadi teruk.

Namun, sesetengah wanita mengalami simptom ketika mereka masih berada di tahap awal kanser.

Sebagai langkah berjaga-jaga, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin jika anda mengalami simptom berikut:

  1.       Pendarahan antara dua haid
  2.       Haid yang datang lebih panjang daripada biasa
  3.       Pendarahan selepas melakukan hubungan seks
  4.       Keputihan yang lebih serius daripada biasa
  5.       Pendarahan selepas menopaus
  6.       Sakit belakang atau sakit pada bahagian pelvis yang tidak diketahui puncanya

Semua simptom di atas adalah gejala yang lazim berlaku pada pesakit kanser.

Walau bagaimanapun, simptom di atas juga boleh berlaku disebabkan penyakit lain yang tidak berkaitan dengan kanser.

Individu yang mempunyai faktor risiko untuk menghidap kanser serviks juga perlu lebih berhati-hati terutama sekali wanita yang merokok dan kerap mengalami seks yang tidak selamat.

Wanita yang merokok lebih sukar untuk pulih daripada jangkitan HPV. Oleh sebab itu, perokok lebih berisiko untuk menghidap kanser serviks.

Disebabkan HPV tersebar melalui hubungan seks, wanita yang melakukan hubungan seks pada usia yang muda mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat jangkitan HPV.

Individu yang mempunyai pasangan seksual yang lebih daripada seorang juga lebih berisiko untuk dijangkiti HPV.

Oleh itu, wanita yang mempunyai faktor risiko amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan secara berkala.

Jika anda didiagnos dengan kanser serviks, pastikan anda bertanya kepada doktor tentang diagnosis anda, tahap kanser yang sedang dialami dan keputusan ujian makmal yang diterima.

Hidup dengan kanser serviks

Kanser Serviks

Pesakit yang didiagnos dengan kanser, tidak kiralah kanser apa sekalipun pasti kalian akan rasa sedih dan gelisah setelah dikesan menghidap kanser.

Banyak perkara yang perlu difikirkan, terutama sekali berkaitan dengan pemilihan rawatan yang sesuai, masalah kewangan yang mungkin timbul dan juga gangguan kesihatan serta emosi yang bakal pesakit alami nanti.

Pembedahan membuang uterus (hysterectomy) merupakan pilihan utama jika wanita tersebut tidak mahu mengandung.

Jika kanser di peringkat awal dan wanita tersebut mahu mengandung, pilihan rawatan seperti pembedahan pangkal rahim (cone biopsy) mungkin boleh dilakukan.

Hysterectomy merupakan pembedahan yang besar. Pesakit perlukan sekurang-kurangnya 6 hingga 12 minggu untuk sembuh.

Rawatan seperti kemoterapi dan terapi radio akan menyebabkan pesakit rasa amat penat. Oleh sebab itu, pesakit mungkin perlukan rehat yang lebih lama daripada biasa ketika melakukan aktiviti harian.

Pesakit tidak perlu malu untuk meminta bantuan daripada orang yang tersayang dan ahli keluarga jika diperlukan. Bantuan profesional juga boleh didapati di hospital yang berdekatan. Selain itu, kehidupan seksual pesakit juga mungkin akan terganggu.

Beberapa jenis rawatan untuk kanser boleh menyebabkan vagina menjadi sempit dan kering. Oleh sebab itu, ramai wanita yang rasa tidak selesa untuk melakukan seks setelah didiagnos dengan kanser serviks.

Jangan malu untuk berbincang dengan doktor jika anda alami masalah berkaitan dengan kehidupan seks. Malah, doktor boleh mencadangkan beberapa rawatan yang sesuai mengikut kondisi pesakit. 

Pesakit kanser serviks juga boleh berhubung dengan individu lain yang mempunyai pengalaman yang sama untuk bertukar-tukar cerita dan pendapat.

Ramai pesakit kanser menemui semangat baru setelah bercakap dengan orang lain yang mempunyai penyakit yang sama. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/03/2024

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan