backup og meta

Sakit Di Bahagian Serviks Sebab Jangkitan HPV? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Wanita yang menderita kanser serviks tidak selalunya mengalami gejala serviks yang jelas pada awalnya. Selalunya, pesakit kanser hanya akan mengalami simptom setelah penyakit menjadi lebih teruk.

Sakit Di Bahagian Serviks Sebab Jangkitan HPV? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Menurut American Cancer Society, hampir 14,000 kes kanser serviks telah didiagnosis pada tahun 2023, dan 4,300 orang wanita meninggal dunia akibat kanser yang sama. Selalunya, kanser ini menyerang wanita yang berumur 35 tahun ke atas. 1

Wanita yang merokok, mempunyai pasangan seks yang berbeza, pernah mengalami STI (sexually transmitted infection), memiliki beberapa orang anak, menghidap HIV atau pernah melalui pemindahan organ adalah antara golongan yang berisiko untuk menghidap kanser serviks. 1

Namun tahukah anda, kanser serviks merupakan antara kanser paling kerap berlaku dalam kalangan wanita dan kebanyakannya berpunca daripada jangkitan Human Papillomavirus (HPV) yang berlarutan tanpa dikesan? 2

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Serviks, sila dapatkannya di sini.

6 Gejala serviks yang berlaku pada kaum Hawa

Sebelum kita ketahui dengan lebih lanjut di antara HPV dan kanser serviks, mari kita kenal pasti gejala serviks yang boleh berlaku pada tubuh anda!

1. Pendarahan

Salah satu gejala serviks atau tanda kanser serviks ialah pendarahan pada bahagian vagina. Sebarang pendarahan yang berlaku di luar kitaran normal, boleh dikira sebagai pendarahan yang abnormal. Pendarahan ini boleh berlaku dengan cara berikut:

Pendarahan vagina yang abnormal

Salah satu tanda kanser serviks ialah pendarahan yang tidak normal pada kawasan vagina, lebih-lebih lagi pendarahan yang berlaku di antara dua haid. Pendarahan sebegini selalunya berlaku setelah kanser tersebut merebak ke kawasan tisu yang berdekatan. 1

Anda perlu tahu bahawa pendarahan vagina bukanlah sesuatu yang normal dan perlu diperiksa oleh doktor secepat mungkin.

Antara contoh pendarahan vagina yang tidak normal adalah: 1

  • Pendarahan yang berlaku di antara haid
  • Haid yang lebih panjang
  • Pendarahan yang lebih teruk daripada biasa ketika haid
  • Pendarahan selepas melakukan ujian pelvis
  • Pendarahan yang berlaku sehingga pesakit rasa pening kepala atau penat

Pendarahan yang berlaku sekali sekala mungkin tidak mempunyai apa-apa kesan terhadap kesihatan anda. Namun, jika anda mengalami pendarahan selama 3 bulan berturut-turut, anda mungkin menghadapi masalah kesihatan yang mengakibatkan pendarahan tersebut.

Pendarahan selepas melakukan hubungan seks? Ini juga mungkin gejala serviks

Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan wanita alami pendarahan selepas melakukan hubungan seksual. Antaranya ialah: 3, 4

  1. Jangkitan seperti chlamydia ataupun penyakit inflamasi pelvis (pelvic inflammatory disease)
  2. Vagina kering
  3. Luka pada kawasan vagina yang disebabkan oleh kelahiran, kekeringan ataupun geseran ketika melakukan hubungan seks
  4. Polips (ketumbuhan kecil) pada bahagian rahim wanita. Polips ini boleh bersifat kanser ataupun bukan kanser. Doktor juga boleh membuang ketumbuhan yang sebesar 1 – 2 sentimeter ini jika ia bukan kanser.
  5.  Inflamasi pada bahagian permukaan serviks.

Pendarahan yang luar biasa ketika haid 

Jangan sesekali abaikan jika anda mengalami pendarahan yang luar biasa ketika haid. Cepat-cepat berjumpa doktor jika anda: 5

  1. Mengalami pendarahan yang teruk hinggakan anda terpaksa menukar tuala wanita sekurang-kurangnya sejam sekali.
  2.  Mengalami pendarahan di antara haid.
  3.  Mengalami pendarahan walaupun anda telahpun mencapai menopaus.

Jika anda selalu mengalami pendarahan yang banyak ketika haid, masalah ini mungkin tidak akan merisaukan anda.

2. Gejala serviks – Sakit pada bahagian pelvis

gejala serviks
Kesakitan di bahagian pelvis antara tanda gejala penyakit serviks.

Pelvis ialah bahagian bawah badan. Bahagian ini terletak di antara perut dan juga kaki. Rasa sakit ini dapat dirasai pada bahagian perut dan juga belakang badan. 6

Sakit pelvis merupakan salah satu gejala serviks yang lazim. Selain itu, ia juga mungkin menandakan anda mengalami masalah pencernaan, masalah reproduktif atau sukar untuk membuang air kecil. 6

Pesakit kanser serviks mungkin mengalami rasa sakit yang berpanjangan pada bahagian pelvis. Kadang kala, sakit boleh dirasai hingga ke bahagian apendiks. Pesakit yang rasa sakit pada bahagian apendiks selalunya mengalami kanser yang sudah merebak ke bahagian badan yang lain. 6

Pesakit juga berkemungkinan besar untuk alami simptom lain sebelum mereka mula rasa sakit pada bahagian pelvis. Sakit ini selalunya digambarkan sebagai sakit yang menusuk dan berpanjangan.

3. Masalah keputihan

Wanita yang menghidap kanser serviks akan mengalami masalah keputihan yang abnormal. Cecair yang keluar melalui vagina mungkin berwarna pucat, coklat atau berdarah. Cecair tersebut juga selalunya lebih cair daripada biasa.

Pastikan anda terus berjumpa doktor jika anda:7

  1. Mengalami keputihan yang berwarna atau berbau pelik
  2. Keputihan lebih banyak daripada biasa
  3. Rasa gatal atau sakit pada kawasan vagina
  4. Sakit ketika buang air kecil

Jangkitan pada bahagian alat sulit juga boleh menyebabkan perubahan pada warna, bau dan rasa keputihan yang anda alami. 

4. Sakit belakang, antara gejala serviks

Pesakit kanser serviks juga mungkin mengalami simptom sakit belakang yang terasa sampai ke kaki. Sakit ini mungkin diakibatkan oleh tumor yang menekan bahagian kelenjar limfa ataupun saraf pesakit. 8

Walau bagaimanapun, sakit belakang merupakan sesuatu yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jarang sakit belakang menandakan anda menghidap kanser. Namun, selalunya pesakit yang menghidap kanser akan mengalami kombinasi simptom ini bersama simptom yang lain. 8

Sakit belakang, terutama sekali sakit pada bahagian bawah badan juga merupakan tanda kanser kolorektal dan kanser tulang belakang.

5. Gejala serviks sakit – Kaki bengkak

Apabila kanser telah merebak ke bahagian nodus linfa, pesakit mungkin akan mengalami bengkak pada bahagian kaki akibat daripada pengumpulan cecair. Keadaan ini turut dikenali sebagai lymphoedema. 1,9

Lymphoedema perlu dirawat dengan kadar yang segera. Jika tidak, ia akan jadi semakin teruk dan sukar untuk dirawat. 10

Kadang kala, kaki pesakit juga boleh bengkak selepas melalui rawatan kanser. Sebagai contoh, kemoterapi boleh mengakibatkan cecair berkumpul pada bahagian kaki pesakit.

Gejala serviks #6. Sakit ketika buang air kecil dan besar

Simptom ini berlaku disebabkan oleh tumor padakawasan buah pinggang, pundi kencing atau usus besar yang bertindak menekan atau menghalang saluran kencing dan tahi atau kedua-duanya.

Simptom ini juga merupakan gejala yang biasa dialami oleh pesakit yang telah sembuh daripada kanser serviks. Sebahagian daripada mereka mengalami masalah untuk membuang air kecil yang berlarutan setelah menerima rawatan. 11

Bagaimana HPV berkait dengan kanser serviks?

gejala serviks
Ambil berat perubahan yang berlaku pada tubuh anda.

HPV adalah jangkitan seksual yang boleh menjejaskan kulit, kawasan kemaluan, kawasan dubur dan tekak. HPV ialah virus yang sangat biasa dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang aktif secara seksual.12

Jangkitan HPV tidak dinafikan boleh menyebabkan kanser serviks. Tetapi kanser serviks akan mengambil masa 20 tahun atau lebih lama untuk merebak selepas jangkitan HPV. 13

Strain berisiko tinggi jangkitan HPV boleh menyebabkan perubahan sel prakanser. Perubahan sel ini akhirnya boleh menyebabkan kanser jika ia tidak diurus. 14

Disebabkan jangkitan HPV dan kanser serviks awal biasanya tidak mempunyai gejala ketara. Oleh itu, kesedaran dan pencegahan awal daripada anda adalah solusi terbaik untuk melindungi diri.

Disebabkan itulah, wanita berumur 30-65 tahun disyorkan untuk melakukan ujian pap smear setiap 3 tahun bagi memeriksa sel serviks untuk kanser.  13

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko perkembangan kanser termasuklah gred onkogenisiti jenis HPV, status imun, kehadiran jangkitan seksual lain, bilangan kelahiran, usia muda pada kehamilan pertama, penggunaan kontraseptif hormon dan merokok. 2

Tetapi, lelaki juga boleh dijangkiti HPV 

Walaupun gejala kanser serviks berlaku pada wanita, HPV bukanlah menjadi isu kepada wanita semata-mata. Lelaki juga boleh dijangkiti virus ini melalui hubungan intim. Malah, kebanyakan lelaki tidak menunjukkan sebarang simptom, menyebabkan virus boleh tersebar tanpa disedari.

HPV dalam kalangan lelaki boleh menyebabkan: 15
  1. Ketuat kelamin
  2. Kanser zakar
  3. Kanser dubur
  4. Kanser tekak dan tonsil

Untuk mengetahui sama ada anda dijangkiti HPV atau tidak, ketuat kelamin adalah simptom pertama yang mungkin anda perhatikan. 15

Selain daripada ketuat kelamin, anda juga boleh alami ketuat biasa, ketuat leper atau ketuat plantar. Hal ini kerana, jenis HPV yang berbeza menghasilkan ketuat yang berbeza. 13

Oleh kerana ramai lelaki tidak mempunyai tanda jelas di peringkat awal, penularan HPV boleh berlaku dalam hubungan tanpa kedua-dua pihak menyedarinya. Kesedaran mengenai HPV tidak terletak pada wanita sahaja, tapi pada lelaki kerana mereka juga berisiko untuk dijangkiti HPV.

gejala serviks
Bagaimana vaksin HPV mencegah kanser serviks?

 Kesimpulan

Kebanyakan maklumat tentang virus HPV tertumpu kepada wanita kerana mempunyai virus yang meningkatkan risiko mereka mendapat kanser serviks. Tetapi virus HPV pada lelaki boleh menyebabkan masalah kesihatan juga. Adalah penting bagi lelaki untuk memahami cara mengurangkan risiko jangkitan HPV.

Tidak dinafikan juga dengan stigma isu kesihatan menjadikan individu enggan mendapatkan pemeriksaan lanjut. 

Gejala serviks yang dikesan pada peringkat awal dapat membantu mencegah ia merebak ke tahap yang lebih serius. Oleh itu, jangan abaikan tanda kanser serviks walaupun ia kelihatan ringan kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Don’t Ignore These Cervical Cancer Warning Signs. https://www.unitypoint.org/livewell/article.aspx?id=13df80b7-fb1c-4fd6-83de-2ff05a178b81. Accessed August 31, 2020.
  2. Cervical cancer. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cervical-cancer . Accessed Feb 13, 2026
  3. Do You Bleed After Sex? When to See a Doctor. https://health.clevelandclinic.org/what-should-you-do-if-you-bleed-after-sex/. Accessed August 31, 2020.
  4. Vaginal bleeding between periods or after sex.
    https://www.nhs.uk/symptoms/vaginal-bleeding-between-periods-or-after-sex/ . Accessed Feb 13, 2026
  5. Heavy menstrual bleeding . https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/menorrhagia/symptoms-causes/syc-20352829 . Accessed Feb 13, 2026
  6. Pelvic Pain. https://www.mayoclinic.org/symptoms/pelvic-pain/basics/causes/sym-20050898. Accessed August 31, 2020.
  7. Vaginal discharge. https://www.nhs.uk/conditions/vaginal-discharge/. Accessed August 31, 2020.
  8. Symptoms of advanced cancer . https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/cervical-cancer/advanced/symptoms . Accessed Feb 13, 2026
  9. Signs and Symptoms of Cervical Cancer. https://www.cancer.org/cancer/cervical-cancer/detection-diagnosis-staging/signs-symptoms.html. Accessed August 31, 2020.
  10. Lymphedema. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lymphedema/symptoms-causes/syc-20374682 . Accessed Feb 13, 2026
  11. Donovan, K. A., Boyington, A. R., Judson, P. L., & Wyman, J. F. (2014). Bladder and bowel symptoms in cervical and endometrial cancer survivors. Psycho-oncology, 23(6), 672–678. https://doi.org/10.1002/pon.346 . Accessed Feb 13, 2026  
  12. Human papillomavirus (HPV). https://www.nhs.uk/conditions/human-papilloma-virus-hpv/ . Accessed Feb 13, 2026  
  13. HPV infection . https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hpv-infection/symptoms-causes/syc-20351596 . Accessed Feb 13, 2026  
  14. HPV (Human Papillomavirus) . https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/11901-hpv-human-papilloma-virus . Accessed Feb 13, 2026   
  15. HPV Infection in Men . https://www.webmd.com/sexual-conditions/hpv-genital-warts/hpv-virus-men . Accessed Feb 13, 2026   

Versi Terbaru

13/02/2026

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Norhanan Abdul Latip


Artikel Berkaitan

Selain Jangkitan HPV, Ini Punca Lain Yang Boleh Menyebabkan Kanser Serviks, Anda Wajib Tahu

Lakukan Ujian Diagnosis Untuk Memeriksa Kanser Serviks, Jangan Takut Untuk Buat Prosedur Ini


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 2 hari lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan