Menjalani pemeriksaan mamogram dapat membantu mengesan jika wujud sebarang risiko kanser payudara. Tetapi pada usia berapakah sesuai untuk melakukan ujian ini?
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenainya, ayuh semak perkongsian artikel Hello Doktor ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.
Apakah itu pemeriksaan mamogram?
Mamografi (mamogram) adalah pengimejan sinar-X pada payudara dengan menggunakan sinar-X bertenaga rendah. Ia alat pemeriksaan untuk memeriksa payudara bagi pengesanan awal dan diagnostik jika wujud risiko kanser payudara.
Prosedur mamografi dapat membantu mengesan barah payudara lebih awal sehingga 3 tahun sebelum munculnya benjolan dalam pemeriksaan payudara sendiri.
Usia disarankan bagi melakukan pemeriksaan mamogram
American Cancer Society (ACS) mengesyorkan untuk mula menjalani mamografi atau berjumpa doktor berkaitan barah payudara kepada wanita:
- Berumur 40-44 tahun: Mempunyai pilihan untuk memulakan pemeriksaan barah payudara tahunan dengan mamogram jika mahu melakukannya
- Berusia 45-54 tahun: Harus menjalani pemeriksaan mamogram setiap tahun
- Berumur 55 tahun ke atas: Boleh menjalani pemeriksaan mamografi sekali setahun atau 2 tahun sekali
Kebiasaannya, doktor tidak menyarankan pemeriksaan ini untuk wanita di bawah usia 40 tahun. Tetapi bagi wanita dengan mutasi yang dikenal pasti dalam gen barah payudara, perlu memulakan pemeriksaan seawal usia 25 tahun.
Waktu sesuai berhenti melakukan pemeriksaan
Umumnya, tiada ketetapan khas untuk berhenti melakukan penyaringan ini. Doktor boleh membantu menentukan masa sesuai untuk tidak melakukan ujian ini bergantung kepada faktor risiko anda.
Namun menurut ACS, sewajarnya pemeriksaan diteruskan dengan syarat kesihatan keseluruhan seseorang individu itu baik dan dijangka akan dapat hidup untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi.
Pun begitu, sebelum memulakan pemeriksaan mamogram, anda harus menyedari manfaat, batasan dan potensi bahaya yang dikaitkan dengan pemeriksaan ini.
Saringan tambahan
Tempoh seseorang untuk menjalani pemeriksaan mamogram boleh berubah jika mempunyai faktor risiko barah payudara. Atas sebab ini, penting untuk anda berbincang dengan doktor dan menentukan masa yang tepat untuk menjalani penyaringan.
Antara faktor risiko tersebut adalah:
- Berusia lebih 50 tahun
- Mutasi genetik, seperti BRCA1 dan BRCA2
- Sejarah peribadi barah payudara
- Sejarah keluarga barah payudara
- Mempunyai tisu payudara padat
- Faktor peribadi seperti haid sebelum usia 12 tahun atau mula menopaus selepas usia 55 tahun
- Pernah menjalani rawatan radiasi
Mamogram bantu kesan risiko kanser payudara
Manfaat penyaringan ini adalah dapat membantu mengesan barah payudara lebih cepat, sekali gus memberikan hasil akhir yang lebih baik dan mengurangkan keperluan rawatan invasif seperti pembedahan.
Menjalani mamografi juga dapat mengurangkan 25 hingga 35% risiko kematian akibat barah.
Risiko menjalani pemeriksaan mamogram
Oleh sebab sinar-X digunakan untuk menghasilkan gambar payudara, anda akan terdedah dengan sedikit jumlah radiasi semasa prosedur.
Pendedahan ini amat rendah, bahkan manfaatnya adalah melebihi risiko pendedahan radiasi.
Pun begitu, pendedahan radiasi semasa kehamilan boleh menyebabkan kecacatan kelahiran. Maka langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk meminimumkan pendedahan radiasi pada janin.
Beberapa ketidakselesaan mungkin dirasai kerana payudara akan ditekan pada plat sinar-X semasa prosedur. Tetapi pemampatan ini tidaklah berbahaya kepada buah dada anda.
Doktor biasanya akan menasihatkan wanita hamil atau yang menyusu badan untuk melakukan kaedah pemeriksaan lain yang lebih selamat seperti imbasan ultrabunyi.
Baca juga: