Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Payudara, sila dapatkannya di sini.
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Payudara, sila dapatkannya di sini.
Penyakit kanser payudara merupakan barah yang paling banyak mengorbankan nyawa kaum wanita di Malaysia.
Statistik terkini mencatatkan 1 daripada 19 orang wanita menghidap kanser payudara di Malaysia, manakala di Eropah pula 1 daripada 8 orang wanita berisiko untuk didiagnos dengan penyakit yang sama.
Kebanyakan wanita dikesan menghidap kanser payudara ketika umur mereka sudah menginjak 50 tahun.
Walau bagaimanapun, wanita yang lebih muda dan kaum lelaki juga tidak terkecuali daripada menghidap kanser payudara.
Ini kerana 1% penghidap kanser payudara adalah daripada golongan lelaki.
Kanser payudara bermula di bahagian payudara. Jenis kanser payudara pula bergantung kepada jenis sel yang telah bertukar menjadi sel kanser.
Payudara terdiri daripada 3 bahagian utama: sel kelenjar lobul (lobules), saluran yang membawa susu ke bahagian puting (ducts) dan tisu penghubung yang membentuk keseluruhan payudara (connective tissue).
Kebanyakan penyakit kanser bermula pada bahagian saluran ataupun lobul pada bahagian payudara.
Seperti barah lain, sel kanser yang berasal daripada payudara boleh merebak dan menjangkiti sel-sel berdekatan yang sihat.
;
Jika anda mengalami simptom di bawah, segera berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut walaupun anda baru sahaja melakukan ujian saringan untuk barah payudara.
Antara simptom lazim penyakit ini ialah:
Ketulan pada bahagian payudara merupakan salah satu simptom terawal kanser payudara.
Melalui pemeriksaan kendiri, anda boleh periksa sama ada mempunyai ketulan yang abnormal pada kawasan payudara anda.
Inflammatory breast cancer (IBC) akan menyebabkan pesakit mengalami rasa sakit pada bahagian payudara. Sakit tersebut juga akan diikuti bengkak dan kulit payudara menjadi kemerah-merahan.
Satu lagi simptom barah payudara ialah saiz buah dada yang berubah secara tiba-tiba.
Normal untuk wanita mengalami perbezaan dalam bentuk payudara ketika datang bulan ataupun mencapai akil baligh. Namun, tidak normal untuk saiz payudara berubah secara tiba-tiba.
Jangan tangguh untuk berjumpa doktor jika payudara anda mengalami pembesaran yang abnormal. Selain itu, pesakit akan rasa kulitnya tegang di sekitar kawasan payudara.
Pesakit kanser jenis ini boleh mengalami ulser pada kawasan payudara. Jika tidak dirawat, luka boleh berjangkit dan akan menghasilkan bau yang tidak enak.
Satu lagi simptom awal inflammatory breast cancer (IBC) ialah rasa gatal yang berpanjangan pada sekitar payudara. Selalunya simptom ini akan diikuti dengan kemunculan ruam yang seakan-akan gigitan serangga.
Kawasan payudara juga akan menjadi kemerah-merahan, bengkak dan rasa panas.
Pesakit yang menghidap kanser payudara akan rasa sakit atau mengalami perubahan pada bahagian puting.
Penyakit Paget (Paget’s disease) merupakan sejenis barah payudara yang menjangkiti kawasan puting.
Barah jenis ini akan membuatkan pesakitnya mempunyai puting yang bersisik, gatal ataupun kemerah-merahan.
Disebabkan risiko untuk mendapat penyakit kanser payudara meningkat seiring dengan peningkatan umur, maka semua wanita yang telah mencecah umur 50 -70 tahun disarankan untuk menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnnya sekali dalam masa 3 tahun.
Barah payudara boleh didiagnos dengan beberapa jenis ujian seperti mamogram, ultrasound, MRI dan juga biopsi.
Mamogram merupakan sejenis X-ray yang dijalankan ke atas pesakit untuk memeriksa sama ada pesakit mempunyai sebarang kelainan pada bahagian payudara.
Imej yang dihasilkan oleh mamogram boleh membantu doktor mengesan pertumbuhan yang tidak normal pada bahagian payudara pesakit.
Jika doktor menemui sesuatu yang mencurigakan ketika menjalankan mamogram, doktor mungkin akan mengarahkan ujian ultrasound untuk dijalankan ke atas pesakit.
Ujian ultrasound menggunakan gelombang bunyi untuk membantu doktor menentukan jenis sista yang dialami pesakit barah payudara.
Ujian ini selalunya dicadangkan oleh doktor sejurus selepas pesakit melakukan ujian mamogram ataupun ultrasound supaya doktor boleh mendapatkan imej tumor dengan lebih jelas.
Semasa biopsi, doktor akan mengambil sedikit sampel tisu untuk diuji di makmal. Hasil ujian ini akan menentukan sama ada sel barah tersebut bersifat kanser ataupun tidak.
Sel yang diambil akan diperiksa di bawah mikroskop untuk mengesan kehadiran kanser.
Biopsi adalah satu-satunya ujian yang boleh menentukan sama ada tumor itu bersifat kanser ataupun tidak.
Baca juga:
Terdapat dua jenis rawatan untuk pesakit kanser payudara iaitu rawatan secara setempat (local treatment) dan juga rawatan secara sistemik (systemic treatment).
Rawatan yang akan dicadangkan oleh doktor pula mungkin berbeza mengikut jenis, tahap kanser dan juga keadaan kesihatan pesakit.
Seperti namanya, rawatan ini bersifat setempat dan tidak akan mengganggu kawasan tubuh badan yang lain.
Rawatan secara pembedahan dan terapi radiasi merupakan dua contoh rawatan secara setempat.
1. Pembedahan
Pembedahan merupakan rawatan pertama yang akan diterima oleh pesakit barah payudara, diikuti pula dengan terapi lain seperti kemoterapi ataupun terapi radio.
Jenis pembedahan yang mungkin dilakukan terhadap pesakit kanser ialah lumpectomy dan mastectomy.
2. Terapi radiasi
Terapi radiasi ialah rawatan yang menggunakan radiasi untuk membunuh sel barah yang tinggal selepas pembedahan. Selalunya, terapi ini dijalankan sebulan selepas pembedahan.
Bertentangan dengan rawatan secara setempat, rawatan secara sistemik boleh merawat kanser pada mana-mana bahagian tubuh badan sekalipun.
Rawatan ini boleh diberi secara oral ataupun dimasukkan terus ke dalam salur darah. Rawatan secara sistemik merangkumi:
1. Kemoterapi
Kemoterapi ialah sejenis rawatan yang menggunakan ubat-ubatan yang toksik untuk membunuh sel kanser. Selalunya, kemoterapi dijalankan selepas pembedahan. Namun, doktor juga boleh memberikan rawatan ini sebelum pembedahan.
2. Terapi hormon
Terapi hormon dijalankan terhadap pesakit selepas pembedahan. Tetapi, terapi hormon mungkin juga dijalankan sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz tumor.
3. Terapi biologikal
Terapi biologikal menggunakan ubat khas untuk memusnahkan sel barah secara spesifik.
4. Terapi imun
Terapi imun ataupun immunotherapy merupakan sejenis rawatan yang menggunakan ubat-ubatan yang akan merangsang sistem imun pesakit untuk mengenal dan memusnahkan sel kanser dengan lebih efektif.
Rawatan untuk kanser payudara dan kanser lain mempunyai kesan yang buruk terhadap tubuh badan seseorang. Penting untuk anda tahu risiko yang datang bersama rawatan tersebut sebelum membuat apa-apa keputusan.
Oleh itu, berbincang dengan doktor anda untuk mengurangkan kesan sampingan yang bakal anda terima akibat rawatan tersebut.
Segera berjumpa doktor jika anda mengalami tanda-tanda berikut:
Pesakit mungkin rasa ragu untuk berjumpa doktor walaupun mengalami simptom seperti yang dinyatakan di atas. Rasa malu dan segan perlu diketepikan kerana kanser payudara tidak akan sembuh dengan sendirinya.
Kanser tersebut akan jadi makin sukar untuk dirawat jika anda kerap tunda tarikh untuk berjumpa doktor.
Bahagian payudara merupakan kawasan intim bagi wanita. Namun, doktor yang berpengalaman tidak akan membuatkan anda rasa tak selesa ketika melakukan diagnosis.
Kanser payudara mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi jika dirawat dengan lebih cepat pada peringkat awal.
Wanita yang mempunyai keraguan tentang payudara mereka adalah digalakkan untuk membuat temu janji dengan doktor. Anda tidak perlu tunggu hingga simptom muncul untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar.
Baca juga:
Bukan mudah untuk hidup dengan kanser payudara. Malah, mereka yang telah melalui rawatan juga tidak dapat menarik nafas lega kerana risau jika kanser tersebut kembali berulang.
Walaupun pesakit telahpun mendapat rawatan kanser payudara, itu tidak bermakna wanita tersebut terus bebas daripada kanser.
Mereka boleh menghidap kanser baru yang tidak ada sebarang kaitan pun dengan kanser payudara. Keadaan ini dipanggil kanser kedua (second cancer).
Malah, wanita yang sedang mengalami rawatan juga mudah diserang rasa penat yang amat sangat.
Jika menghadapi keadaan ini, pastikan anda mendapat nutrisi yang cukup. Anda juga boleh membuat senaman ringan dan cuba untuk tangani stres bagi mengelakkan rasa penat setiap hari.
Tidak ada sebarang penawar yang boleh menghalang semua jenis kanser. Namun, ada beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk merendahkan risiko kanser.
Sebagai contoh, anda boleh menjauhkan diri daripada tabiat merokok, pastikan berat anda dalam lingkungan berat yang normal, makan secara sihat dan elakkan daripada terlalu banyak minum alkohol.
Kini, semakin ramai yang lebih sedar akan isu yang berkaitan dengan barah payudara. Malah, ramai yang mengambil alternatif untuk menjalani ujian saringan secara berkala sebagai langkah pengesanan awal.
Jika anda merupakan ahli keluarga ataupun teman rapat kepada pesakit kanser, anda perlu faham bahawa, bukan mudah untuk pesakit bercakap tentang kondisi dirinya. Jadi berilah ruang secukupnya untuk mereka.
Rasa takut merupakan perkara normal jika ahli keluarga terdekat mempunyai kanser. Namun, apa yang paling penting ialah anda perlu berikan pesakit sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Jika pesakit perlukan bantuan profesional, bawa mereka berjumpa dengan ahli terapi di hospital yang berdekatan.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Disemak secara perubatan oleh
Panel Perubatan Hello Doktor
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen