Punca Kanser Payudara Yang Harus Dikenalpasti Lebih Awal

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 14/10/2020 . 5 minit bacaan
Share now

Tidak ada siapa yang benar-benar pasti tentang penyebab ataupun punca sebenar yang menyebabkan kanser payudara. Kadang kala, wanita yang nampak sihat pada luarannya dan sering amalkan gaya hidup sihat boleh dikesan menghidap barah payudara. Tetapi, apa sebabnya?

Sebenarnya, doktor sendiri tidak mampu untuk menghuraikan penyebab sebenar yang menyebabkan seseorang itu menghidap kanser. Namun, wanita yang mempunyai kecacatan genetik dan mempunyai faktor risiko tertentu dikesan lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara.

Menurut kajian, faktor seperti persekitaran, hormon dan juga gaya hidup kesemuanya mempunyai impak yang tersendiri terhadap kesihatan seseorang.

Kanser payudara yang berlaku mungkin merupakan kesan interaksi yang kompleks antara kesemua faktor di atas. 

Penyebab lazim kanser payudara

Ada beberapa penyebab yang secara lazimnya boleh mengakibatkan kanser payudara. Faktor-faktor ini meningkatkan risiko untuk anda untuk menghidap kanser payudara.

1.   Umur

penyebab kanser payudara

Umur merupakan faktor risiko kanser yang paling besar. Apabila umur bertambah, risiko anda untuk menghidap kanser payudara turut meningkat.

85% daripada kes kanser payudara berlaku dalam kalangan wanita yang berusia 50 tahun ke atas. Hanya 5% daripada kes tersebut berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 40 tahun ke bawah.

2.   Umur ketika datang haid dan menopaus

Wanita yang datang bulan lebih awal daripada usia 12 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara. Risiko yang sama juga turut dihadapi oleh wanita yang mengalami menopaus pada umur lebih daripada 55 tahun.

Semakin lama wanita mengalami menstruasi, semakin besar risiko untuk mereka menghidap kanser payudara. Pendedahan kepada hormon estrogen dan progesteron merupakan antara faktor yang memainkan peranan yang penting dalam pembentukan kanser payudara.

3.   Mempunyai tisu payudara yang lebih tumpat

Wanita yang mempunyai tisu payudara yang lebih tumpat dan padat didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara. Namun, pakar sendiri tidak pasti punca sebenar yang mengaitkan faktor ini dengan kanser.

Ketika mamogram, tisu yang tumpat akan muncul sebagai tompokan berwarna putih yang menyukarkan doktor untuk mengesan kehadiran tumor pada kawasan payudara.

Selalunya, wanita yang lebih muda, mempunyai BMI yang rendah dan sedang melalui terapi hormon untuk menopaus mempunyai payudara yang lebih tumpat daripada biasa.

4.   Melakukan terapi hormon

Pesakit yang melakukan terapi hormon (menopausal hormone therapy) untuk mengurangkan simptom yang diakibatkan oleh menopaus berisiko untuk mendapat beberapa jenis kanser. 

Malah, wanita yang melakukan terapi hormon ini turut mengalami risiko yang lebih tinggi untuk menghidap sakit jantung ataupun strok.

5.   Pernah menghidap kanser

Pesakit yang pernah didiagnosis dengan kanser, tidak kiralah kanser apa pun, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara.

Selain itu, jika anda pernah menghidap kanser payudara pada salah satu payudara anda, maka anda mempunyai risiko sebanyak 3 atau 4 kali ganda untuk menghidap kanser payudara di bahagian payudara yang sihat ataupun pada payudara yang sama. 

6.   Kehamilan dan menyusukan anak

Wanita yang tidak pernah hamil ataupun mengandung setelah berumur 30 tahun didapati lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara berbanding wanita yang bersalin sebelum umur 30 tahun.

Wanita yang menyusukan anak pula mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap kanser payudara, lebih-lebih lagi wanita yang menyusukan anak lebih daripada 1 tahun.

Wanita yang sedang hamil dan menyusukan anak selalunya akan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat seperti tidak merokok ataupun minum arak. Oleh itu, mereka kurang berisiko untuk menghidap kanser payudara

Baca juga:

Faktor keturunan atau genetik yang menyebabkan kanser payudara

Tidak mustahil sama ada ibu ataupun bapa untuk mewariskan gen kanser kepada anak-anak mereka. Malah, hampir 5% – 10% kanser payudara adalah disebabkan oleh faktor genetik.

Faktor yang lazim untuk kanser payudara yang bersifat genetik ialah mutasi pada gen BRCA1 ataupun BRCA2 yang boleh mengakibatkan sel membesar secara abnormal.

7 daripada 10 wanita yang mengalami mutasi pada gen BRCA1 atau BRCA2 akan menghidap kanser payudara ketika umur mereka menginjak 80 tahun.

Lelaki yang mempunyai gen yang sama juga lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara dan juga kanser prostat.

Wanita yang mempunyai ibu, saudara mara terdekat, adik beradik perempuan ataupun anak perempuan yang menghidap kanser mempunyai risiko sebanyak dua kali ganda. 

Malah, 15% daripada wanita yang menghidap kanser payudara mempunyai ahli keluarga yang turut menderita penyakit yang sama.

 

Faktor gaya hidup penyebab kanser payudara

Faktor gaya hidup juga boleh menyebabkan seseorang itu lebih berisiko untuk menghidap kanser. Namun, faktor ini boleh diubah jika anda ingin mengurangkan risiko kanser payudara.

1.   Merokok

penyebab kanser payudara

Ramai yang sedia maklum tentang keburukan merokok. Merokok bukan sahaja dapat meningkatkan risiko anda untuk menghidap kanser payudara, malah, ia juga turut memberi kesan terhadap ahli keluarga serta sahabat handai yang sering menghabiskan masa bersama anda.

Individu yang terdedah dengan asap sekunder mempunyai risiko untuk menghidap kanser payudara, lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita yang sudah menopaus.

Jika anda sukar untuk berhenti merokok, anda boleh merujuk hospital yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor. 

Anda juga boleh kunjungi Klinik Berhenti Merokok yang menawarkan khidmat nasihat dan sokongan kepada individu yang ingin berhenti merokok.

2.   Minum alkohol

Walaupun banyak kajian yang mengesahkan tentang kebaikan minum wine segelas sehari, namun, anda tidak patut minum dengan kadar berlebihan, lebih-lebih lagi jika anda menghidap kanser payudara.

Menurut pakar, wanita yang minum tiga minuman beralkohol seminggu mempunyai 15% risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara. 

Setiap gelas tambahan yang diambil oleh wanita setiap hari akan meningkatkan risiko sebanyak 10%. Kajian membuktikan bahawa mengambil minuman beralkohol mempunyai kesan yang buruk terhadap kesihatan seseorang walaupun mereka minum dengan sederhana.

Alkohol boleh meningkatkan tahap estrogen dalam badan wanita yang boleh menyebabkan kanser payudara menjadi lebih teruk. Selain itu, tabiat minum minuman keras juga boleh meningkatkan risiko kanser kerana ia berupaya untuk memusnahkan DNA dalam sel-sel badan.

Sama seperti tabiat merokok, amalan minum minuman beralkohol juga merupakan salah satu punca utama kanser payudara. Amalan ini perlu dihentikan jika anda ingin menurunkan risiko menghidap penyakit ini. 

3.   Berat badan

Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara berbanding wanita yang sentiasa mengekalkan berat badan dalam lingkungan BMI yang sihat.

Sel lemak dalam badan manusia akan menghasilkan estrogen. Oleh itu, lemak yang berlebihan bermaksud badan akan menghasilkan lebih banyak estrogen.

Justeru, langkah yang terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan menurunkan berat badan secara sihat dan selamat. Tidak ada masalah untuk individu yang sudah berusia untuk menurunkan berat badan bagi tujuan kesihatan. Cuma, pastikan penurunan tersebut merupakan penurunan yang sihat.

4.   Diet

Diet atau corak pemakanan memainkan peranan yang besar dalam pembentukan kanser. Hampir 30% hingga 40% kanser berpunca daripada corak pemakanan seseorang.

Individu yang gemar ambil makanan yang berlemak didapati lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara. 

Kajian mendapati negara yang mengamalkan pemakanan yang sihat; lebih sayur-sayuran dan rendah lemak mempunyai bilangan pesakit kanser yang lebih rendah berbanding negara lain.

Sebagai permulaan, cuba elakkan makan lebih daripada 30 gram lemak setiap hari. Elakkan makan makanan yang kaya dengan lemak trans seperti keropok, snek ataupun biskut.

Selain itu, anda juga boleh kurangkan makan daging merah seperti daging lembu. Sebagai ganti, makan ayam, ikan atau telur untuk mendapatkan protein yang secukupnya.

 

Penyebab atau punca kanser payudara berbeza mengikut individu

Ada pelbagai punca atau penyebab yang boleh mengakibatkan kanser payudara, namun, bukan semuanya bersifat kekal dan tidak boleh diubah.

Jika kanser payudara merupakan sesuatu yang anda risaukan, anda boleh lakukan perubahan dari segi gaya hidup seperti mengawal berat badan dan amalkan diet yang sihat sebagai salah satu langkah untuk kurangkan risiko kanser payudara. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan