Ductal carcinoma in situ (DCIS)
Ductal carcinoma in situ atau DCIS bermaksud kanser tersebut bermula pada bahagian saluran susu di payudara.
Disebabkan kanser ini merupakan jenis yang tidak invasif, sel kanser tidak merebak ke luar bahagian saluran susu. Oleh itu, DCIS merupakan salah satu jenis kanser payudara mempunyai peratusan yang tinggi untuk dirawat.
Hampir kesemua pesakit yang dikesan mempunyai DCIS boleh dirawat. Walau bagaimanapun, jika dibiarkan, DCIS boleh bertukar menjadi invasif dan bertindak menjangkiti sel lain.
Paget disease of the breast
Penyakit Paget ialah salah satu jenis kanser yang amat jarang berlaku. Sel kanser akan berkumpul di sekitar kawasan puting dan mengakibatkannya jadi bersisik, gatal, dan kemerah-merahan.
Kurang daripada 5% pesakit kanser payudara akan alami Paget’s disease. Kanser jenis ini akan menjangkiti kawasan saluran susu terlebih dahulu sebelum merebak pada bahagian areola.
Angiosarcoma
Angiosarcoma merupakan sejenis kanser yang bermula daripada sel yang melapisi bahagian saluran darah ataupun nodus limfa di sekitar payudara.
Kanser jenis ini selalunya merupakan kesan daripada terapi radiasi yang pernah pesakit alami sebelum ini. Angiosarcoma boleh menyerang pesakit kanser walaupun selepas 8 hingga 10 tahun mengalami rawatan terapi radiasi.
Angiosarcoma merupakan kanser yang amat jarang terjadi. Ia juga mampu tersebar dan membesar dengan pantas. Rawatan yang diberikan kepada pesakit angiosarcoma ialah dengan melakukan pembedahan untuk membuang payudara (mastectomy).
Phyllodes tumor
Phyllodes tumor merupakan sesuatu yang amat jarang terjadi dan hanya merangkumi 1% daripada kesemua kes kanser payudara. Nama phyllodes merujuk kepada istilah Greek yang bermaksud ‘seperti daun’.
Pesakit phyllodes tumor akan mengalami tumor yang tumbuh menyerupai bentuk daun. Tumor jenis ini selalunya merebak dengan pantas, namun ia jarang menjangkiti bahagian luar payudara.
Jenis kanser payudara dalam kalangan lelaki
Kanser payudara di kalangan lelaki berlaku kurang daripada 1% daripada bilangan keseluruhan kes kanser payudara.
Walaupun ramai yang anggap lelaki tidak mempunyai payudara, namun sebenarnya lelaki mempunyai tisu payudara yang sama seperti perempuan. Apa yang membezakannya ialah tisu tersebut kekal pejal dan kecil dalam kalangan kaum Adam.
Disebabkan bilangan kes kanser payudara dalam kalangan lelaki amat sedikit, sukar untuk pakar melakukan kajian dengan lebih mendalam.
Antara faktor risiko kanser payudara dalam kalangan lelaki:
- Lelaki yang berumur 68 tahun ke atas lebih mudah mendapat kanser payudara.
- Tahap estrogen yang tinggi – Lelaki boleh mengalami masalah ini jika mereka mengambil ubat hormon, obes ataupun terdedah dengan estrogen yang berada di sekeliling mereka.
Baca juga:
Tahap kanser payudara
Kanser payudara mempunyai 5 tahap yang berbeza. Setiap tahap ini ditentukan oleh jenis atau karakter kanser tersebut. Tahap kanser akan membantu anda dan doktor untuk:
- Menentukan punca kanser tersebut dan kesannya
- Menentukan rawatan yang terbaik untuk pesakit
- Mencadangkan jika ada ujian klinikal yang sesuai kepada pesakit
Kanser payudara tahap 0 bermaksud kanser tersebut masih lagi tidak merebak dan berada di lokasi asal manakala kanser tahap 4 bermaksud kanser tersebut telahpun merebak keluar daripada kawasan payudara dan telah menjangkiti organ lain.

Tahap 0
Tahap 0 menandakan bahawa kanser masih lagi berada dalam kawasan payudara dan belum lagi merebak ke kawasan lain.
Sebagai contoh, pesakit boleh menghidap kanser DCIS (ductal carcinoma in situ) yang merupakan sejenis kanser yang tidak invasif.
Tahap 1
Tahap 1 menandakan kanser payudara sudah mula merebak ke bahagian tisu yang berdekatan. Kanser payudara tahap 1 kemudiannya dibahagikan kepada dua bahagian:
- Tahap 1A – Tumor bersaiz 2 sentimeter dan kanser masih lagi tidak merebak ke luar kawasan payudara. Tidak ada jangkitan pada bahagian nodus limfa.
- Tahap 1B – Tidak ada tumor dalam kawasan payudara, tetapi ada gumpalan kecil sel kanser yang lebih besar daripada 0.2 milimiter (mm) tetapi lebih kecil daripada 2 mm. Ketulan ini mungkin berada dalam kawasan nodus limfa.
Ataupun, ada tumor dalam kawasan payudara yang lebih kecil daripada 2 cm, tetapi dalam masa yang sama ada ketulan kecil sel kanser yang lebih besar dalam lingkungan 0.2 hingga 2 mm dalam kawasan nodus limfa.
Walaupun begitu, jika kanser tersebut merupakan sejenis kanser yang mempunyai reseptor-positif-estrogen ataupun reseptor-positif-progesteron, kanser tersebut akan diklasifikasikan sebagai tahap 1A.
Tahap 2
- Tahap 2A – Tumor bersaiz lebih kecil daripada 2 mm dan telah merebak ke 1 – 3 nodus limfa yang berdekatan atau ia bersaiz dalam lingkungan 2 – 5 cm dan tidak merebak ke nodus limfa.
- Tahap 2B – Tumor bersaiz antara 2 cm hingga 5 cm dan telah merebak ke bahagian axillary lymph node atau bersaiz antara 2 cm hingga 5 cm tetapi telah merebak ke nodus limfa yang terletak dekat dengan tulang dada atau tumor lebih besar daripada 5 cm tetapi masih belum merebak
Tahap 3
- Tahap 3A – Kanser telahpun merebak ke 4-9 axillary lymph nodes atau telah menyebabkan nodus limfa membengkak. Tumor asal bagi tahap 3A boleh terdiri daripada apa-apa saiz. Tahap 3A juga menandakan bahawa tumor telah membesar lebih daripada 5 cm dan telah menjangkiti 1 -3 nodus limfa berdekatan tulang dada.
- Tahap 3B – Tumor telahpun muncul pada bahagian dada/kulit dan mungkin telah menjangkiti sekurang-kurangnya 9 nodus limfa.
- Tahap 3C – Sel kanser ditemui di dalam 10 atau lebih di axillary lymph nodes atau telah merebak ke nodus limfa atas tulang selangka atau telah merebak ke nodus limfa berdekatan tulang dada.
Tahap 4
Kanser tahap 4 boleh terdiri daripada tumor pelbagai saiz. Namun, sel kanser tersebut haruslah telahpun merebak ke nodus limfa yang lain serta menjangkiti organ yang terdekat.