backup og meta

Perempuan Yang Sudah Menopaus Akan Terhindar Daripada Penyakit Wanita, Fakta @ Auta?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/03/2022

    Perempuan Yang Sudah Menopaus Akan Terhindar Daripada Penyakit Wanita, Fakta @ Auta?

    “Apabila sudah mengalami menopause wanita, penyakit-penyakit berkaitan organ pembiakan akan hilang sendirinya…”

    Hmmm.. Masuk akal juga untuk berfikiran begitu, kan? Lebih-lebih bagi penyakit wanita seperti PCOS, endometriosis mahupun fibroid rahim, namun itu tidak semestinya benar.

    Mari ikuti artikel ini merungkai sama ada penyakit-penyakit wanita berpotensi untuk pulih atau sebaliknya, apabila menopaus.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.

    Endometriosis selepas menopause wanita, apa bezanya?

    Endometriosis terjadi apabila tisu di bahagian dalam rahim, yakni endometrium, tumbuh di luar rahim. Tisu endometrium akan terkumpul dan digugurkan setiap bulan.

    Tetapi apabila tisu ini berada di luar rahim, ia tidak dapat dikeluarkan melalui faraj, lalu terperangkap di dalam badan dan mengakibatkan kesakitan, keradangan, pembentukan tisu parut, dan masalah usus!

    Tisu endometrium memerlukan hormon estrogen untuk tumbuh.

    Apabila anda melalui proses menopause wanita secara semula jadi, penghasilan estrogen di ovari akan mula berkurangan.

    Begitu juga sekiranya anda telah menjalani pembedahan pembuangan ovari, estrogen di dalam badan bakal menurun. Akibatnya, gejala yang dihadapi mungkin akan berkurang.

    Pun begitu, badan wanita masih akan menghasilkan estrogen dalam jumlah kecil, dan itu boleh membuatkan gejala tertentu berlanjutan.

    Selain itu, jika pesakit endometriosis mengambil terapi penggantian hormon setelah ovari disingkirkan, gejala mereka mungkin bertambah buruk!

    Senario yang berpotensi berlaku akan bergantung sepenuhnya pada tahap keparahan gejala anda sebelum menopaus.

    Menurut Dr. Kenny Sinervo dari Pusat Penjagaan Endometriosis di Atlanta, Georgia, jika endometriosis dialami di tahap ringan, peluang untuk ia pulih dengan menopaus adalah tidak mustahil.

    Tetapi jika penyakit anda sudah pun teruk, simptom lebih cenderung untuk berterusan.

    Bukan itu sahaja, tempoh gejala berlangsung turut memainkan peranan!

    Misalnya, jika anda sudah menghadapi gejala yang menyakitkan selama 20 tahun, ia mungkin tidak akan menghilang apabila menopaus.

    Justeru, jika simptom endometriosis masih berterusan selepas menopause wanita sehingga menjejaskan kualiti hidup, pembedahan adalah opsyen rawatan terbaik!

    Pembedahan untuk menyingkirkan kesemua tompokan endometriosis selalunya lebih berkesan berbanding pengambilan ubat-ubatan, tambah Dr. Sinervo.

    Bagaimana pula dengan fibroid rahim?

    menopause wanita

    Fibroid pula merupakan pertumbuhan benign (bukan kanser) di rahim yang boleh memicu pendarahan faraj yang abnormal.

    Hormon estrogen dan progesteron bertanggungjawab dalam merangsang pertumbuhannya. Apabila fibroid membesar, ia juga boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan.

    Anda mungkin ‘berhusnuzon’ memikirkan fibroid bakal menyusut atau hilang sebaik sahaja menopaus, kerana tahap hormon yang menurun secara mendadak.

    Tetapi… Senario itu tidak selalunya berlaku, kata Dr. Matthew Siedhoff, Pengarah Pembedahan Ginekologi Invasif Minimum di University of North Carolina, Chapel Hill.

    Tambah beliau, jika wanita memilih terapi penggantian hormon (HRT) setelah menopaus, mereka masih berisiko mengalami pendarahan dan bahkan, pertumbuhan fibroid!

    Dr. Siedhoff menasihati, sekiranya fibroid wanita tidak menimbulkan gejala selepas putus haid, jangan lakukan apa-apa!

    Tetapi jika ukuran fibroid berubah atau anda mula berdarah dan tidak menjalani sebarang terapi penggantian hormon, segera temui doktor atau pakar sakit puan untuk mengenal pasti puncanya.

    Simptom-simptom boleh merangkumi tekanan pelvis seakan senggugut, selalu rasa hendak kencing kerana tumor menekan pundi kencing, dan kembung perut apabila fibroid membesar.

    Sekiranya gejala fibroid anda masih mengganggu apabila menopaus, pembedahan mungkin harus dipertimbangkan, tambah Dr. Siedhoff.

    Dalam sesetengah kes, ahli radiologi intervensi boleh menjalankan prosedur embolisasi yang mengecutkan fibroid dengan memotong bekalan darahnya.

    Namun, prosedur ini tidak begitu digalakkan dalam kalangan wanita menopaus, kerana fibroid mungkin telah menyusut seiring penurunan paras estrogen.

    Sama seperti endometriosis, pembedahan juga mungkin menjadi pilihan terbaik untuk fibroid rahim.

    Antara prosedur yang boleh dijalankan selepas menopause wanita; histerektomi (membuang rahim) atau myomektomi (penyingkiran fibroid).

    Sindrom polisistik ovari & menopause wanita

    Sindrom polisistik ovari (PCOS) adalah gangguan hormon yang berlaku apabila ovari wanita menghasilkan hormon lelaki (androgen) dengan berlebihan.

    Akibatnya, kitaran haid yang tidak teratur, pertumbuhan bulu badan di tempat yang tidak diingini, rambut gugur, kenaikan berat badan, dan rintangan insulin bakal menjadi simptom-simptomnya.

    menopause wanita

    Lebih menyeramkan, sesetengah gejala berisiko menjadi lebih parah selepas menopause wanita!

    Tapi sekurang-kurangnya, usai menopaus anda tidak lagi memerlukan rawatan untuk mengembalikan haid, menurut Dr. Maryam Siddiqui, Penolong Profesor Obstetrik dan Ginekologi di University of Chicago Medicine.

    Pun begitu, PCOS masih mampu meletakkan wanita pada risiko yang lebih besar terhadap penyakit kardiovaskular, diabetes, tekanan darah tinggi, dan apnea tidur. Malah, penuaan boleh menyumbang kepada komplikasi ini.

    Atas sebab itu, Dr. Siddiqui menyarankan pesakit PCOS yang meningkat usia dan mengalami menopause wanita agar lebih berhati-hati dalam menguruskan faktor risiko berkaitan penyakit yang serius ini.

    Peringatan untuk penghidap PCOS! Jalani pemeriksaan kolesterol tinggi dan diabetes. Juga, sentiasa perhatikan tekanan dan berat badan anda, okey?

    Akhir kata…

    Dapat disimpulkan, ura-ura yang mengatakan menopause wanita sebagai ‘jalan keluar’ semula jadi bagi penyakit PCOS, fibroid rahim dan endometriosis tidak begitu boleh dipercayai!

    Oleh itu, mengapa perlu mengambil risiko, kan?

    Jika anda sememangnya memiliki mana-mana antara kondisi tersebut, dapatkan khidmat nasihat doktor bertauliah mengenai rawatan yang bersesuaian okey!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan