Ovari adalah 2 kelenjar pembiakan wanita yang menghasilkan ovum, yang mengandungi hormon estrogen dan progesteron. Kanser ovari terjadi apabila sel-sel abnormal di ovari mula membiak di luar kawalan dan membentuk tumor. Jika tidak dirawat, tumor merebak ke bahagian badan yang lain. Jadi, apakah tanda awal kanser ovari yang perlu diperhatikan?
Barah ini mempunyai gejala amaran tersendiri, tetapi tanda awal kanser ovari selalunya tidak jelas, jadi wanita mudah terlepas pandang.
Kaum Hawa, teruskan pembacaan untuk memahami barah ovari dengan lebih mendalam!
Tanda-tanda awal kanser ovari
Simptom-simptom awal barah ini cenderung disalahertikan kerana ia boleh mirip dengan penyakit biasa yang lain.
Untuk makluman, gejala awalnya merangkumi:
- Kerap kencing
- Kesukaran untuk makan
- Kekembungan dan rasa sakit di perut
- Rasa kenyang yang tidak normal selepas makan
Kanser ovari juga boleh menyebabkan simptom-simptom lain, seperti:
- Sembelit
- Kelesuan
- Dermatomyositis
- Ketakcernaan
- Pedih ulu hati
- Sakit belakang
Ketidaktentuan menstruasi
- Seks yang menyakitkan
Tanda-tanda awal kanser ovari ini mungkin berlaku atas pelbagai sebab yang berbeza, dan tidak semestinya dipicu oleh barah tersebut.
Simptom-simptom ini juga selalunya bersifat sementara dan bertindak balas terhadap rawatan yang ringkas, dalam kebanyakan kes.
Namun, gejalanya akan berlanjutan sekiranya ia disebabkan oleh barah ovari, malah berupaya menjadi lebih teruk apabila tumor tumbuh.
Apabila ketumbuhan mula menumbuh, ini bermakna kanser telah merebak ke luar ovari, menjadikannya lebih sukar dirawat dengan berkesan.
Sememangnya, penyakit ini dapat dirawat dengan baik sekiranya tanda awal kanser ovari berjaya dikesan.
Jenis-jenis
Ovari terdiri daripada 3 jenis sel. Setiap sel boleh berkembang menjadi jenis tumor yang berbeza:
- Germ cell tumors membentuk di sel penghasil telur dan ia jarang berlaku.
- Epithelial tumors terbentuk di lapisan tisu di bahagian luar ovari. Kira-kira 90% daripada kanser ovari adalah tumor epithelial.
- Stromal tumors tumbuh di sel penghasil hormon. 7% daripada kanser tersebut adalah tumor stromal.
Bagaimana pula dengan sista ovari?
Majoriti sista ovari bersifat bening (bukan barah). Pun begitu, sebilangan kecil daripadanya masih berisiko menjadi kanser!
Sista ovari adalah sekumpulan cecair atau udara yang terbentuk di dalam atau di sekitar ovari.
Sebilangan besar sista ovari terbentuk sebagai proses ovulasi yang normal, iaitu ketika ovari melepaskan telur.
Ia juga biasanya hanya mengakibatkan simptom yang ringan, seperti kekembungan dan akan menghilang tanpa rawatan.
Tetapi, sista ini akan menjadi 1 kebimbangan jika ia terbentuk setelah kalian tidak berovulasi (menopaus).
Sekiranya sista ovari terbentuk selepas menopaus, doktor mungkin akan melakukan lebih banyak ujian untuk mengetahui puncanya, terutama jika bersaiz besar atau tidak hilang dalam tempoh beberapa bulan.
Sekiranya sista tersebut masih tidak menghilang, doktor boleh mengesyorkan pembedahan penyingkiran kerana dikhuatiri menjadi tanda awal kanser ovari.
Apakah faktor-faktor risikonya?
Malangnya, pemicu sebenar kanser ovari masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun, faktor-faktor berikut berupaya meningkatkan risiko anda:
- Kegemukan
- Endometriosis
- Tiada sejarah kehamilan
- Sejarah keluarga kanser ovari
- Sejarah peribadi barah payudara, rahim, atau usus besar
- Penggunaan ubat kesuburan atau terapi hormon tertentu
- Mutasi gen yang berkaitan dengan kanser ovari, seperti BRCA1 atau BRCA2
Usia yang lebih tua juga adalah faktor risiko lain, kerana majoriti kes kanser ovari terbentuk selepas menopaus.
Perlu anda faham, barah ini masih boleh terbentuk tanpa memiliki faktor risiko di atas.
Begitu juga sebaliknya, mempunyai salah satu faktor risiko ini tidak semestinya membuatkan anda menghidap barah ovari.
Bagaimana barah ovari didiagnosis?
Sekiranya doktor mengesyaki anda memiliki tanda awal kanser ovari, mereka mungkin akan mengesyorkan pemeriksaan pelvis.
Menjalani ujian pelvis dapat membantu doktor anda menemui sebarang abnormaliti, tetapi tumor ovari yang kecil sangat sukar dirasakan.
Semasa tumor menumbuh, ia boleh menekan pundi kencing dan rektum. Doktor anda mungkin akan dapat mengesan abnormaliti semasa pemeriksaan rectovaginal pelvic.
Doktor juga boleh melakukan ujian-ujian berikut:
- Biopsi: Biopsi melibatkan pengambilan sampel tisu kecil dari ovari dan menganalisis sampel di bawah mikroskop.
- Imbasan CT perut dan pelvis: Jika anda alah kepada pewarna, doktor mungkin akan menjalankan imbasan MRI pelvis.
- Transvaginal ultrasound (TVUS): TVUS, ujian pencitraan yang menggunakan gelombang bunyi untuk mengesan tumor pada organ pembiakan, termasuk ovari. Pun begitu, TVUS tidak dapat membantu doktor menentukan sama ada tumor tersebut adalah barah atau sebaliknya.
- Ujian darah untuk mengukur paras antigen barah 125 (CA-125): Ujian CA-125 adalah biomarker yang digunakan untuk menilai tindak balas rawatan untuk kanser ovari dan kanser organ pembiakan yang lain. Namun, haid, fibroid rahim, dan kanser rahim juga boleh menjejaskan paras CA-125 dalam darah.
Bolehkah kanser ovari dicegah?
Tiada kaedah spesifik yang terbukti dapat menghilangkan risiko anda terkena kanser ovari.
Namun, masih ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko anda.
Faktor-faktor yang terbukti dapat menurunkan risiko anda terhadap barah ovari, merangkumi:
- Mengambil pil pencegah kehamilan secara oral
- Penyusuan susu ibu
- Kehamilan