backup og meta

Ini 7 Tanda Usus Anda Tidak Sihat! Nak Atasinya, Ikut 7 Langkah Mudah Ini

Ini 7 Tanda Usus Anda Tidak Sihat! Nak Atasinya, Ikut 7 Langkah Mudah Ini

Selalu alami cirit-birit atau sembelit? Adakah ini petanda masalah usus atau mungkin disebabkan kanser kolorektal? Ingin tahu cara mengatasi masalah penghadaman?

Teruskan membaca artikel ini.

Bagaimana cara mengatasi masalah penghadaman?

Sistem penghadaman manusia merupakan satu bentuk persekitaran mikro yang kompleks. Pelbagai jenis kajian telah mengaitkan hubungan di antara kesihatan usus dengan sistem lain seperti sistem imun, kesihatan mental, masalah endokrin dan kanser.

Suatu ketika dahulu, sistem penghadaman pernah dianggap sebagai satu bentuk sistem badan yang ringkas.

Namun, penemuan lebih daripada 500 spesies bakteria baik di dalam usus membuktikan tanggapan itu salah.

Kebanyakan hidupan mikro yang mendiami usus besar manusia mempunyai fungsi fisiologi yang dapat membantu mencerna makanan dan memberikan faedah kesihatan yang lain.

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan 7 tanda usus anda tidak sihat dan 7 cara mengatasi masalah penghadaman.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Kolorektal, sila dapatkannya di sini.

7 tanda sistem penghadaman anda tidak sihat

Terdapat pelbagai keadaan yang memberikan petanda bahawa usus anda mungkin tidak sihat.

#1 Sakit perut, simptom yang lazim dialami penghidap masalah usus

Simptom seperti sakit perut, kekembungan, sembelit, cirit-birit dan pedih ulu hati boleh menjadi tanda bahawa sistem penghadaman anda berada dalam keadaan yang tidak berapa baik.

Ia boleh memberikan implikasi buruk kepada proses pencernaan makanan membuatkan simptom yang dialami boleh menjadi bertambah teruk.

#2 Amalan diet tinggi gula undang padah

Pengambilan makanan berproses dan tinggi gula boleh mempengaruhi jumlah koloni bakteria baik yang sering dijumpai di dalam usus manusia.

Ketidakseimbangan nutrisi yang berlaku boleh menyebabkan anda kerap mengidam benda manis.

Perkara ini boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku pada dinding usus besar, kesan daripada proses keradangan akibat pengambilan terlalu banyak makanan bergula.

Seperti yang anda sedia maklum, proses keradangan boleh menyebabkan masalah kanser.

#3 Perubahan berat mendadak

cara mengatasi masalah penghadaman

Jika anda hilang atau bertambah berat badan tanpa membuat sebarang perubahan signifikan terhadap rutin senaman atau corak pemakanan, ia boleh menjadi tanda bahawa usus anda tidak sihat.

Proses ketidakseimbangan yang berlaku boleh merencatkan keupayaan badan untuk menyerap masuk nutrien, mengawal gula dalam darah dan menyimpan lemak.

Masalah perubahan berat badan mendadak juga sering dikaitkan dengan kanser kolorektal. Sekiranya anda mengalami ini, lebih baik anda membuat pemeriksaan dengan doktor dalam kadar yang segera.

#4 Gangguan tidur dan sering berasa penat

Usus yang tidak sihat boleh menyebabkan penghasilan hormon serotonin terganggu.

Oleh sebab serotonin boleh mempengaruhi mood dan kebolehan untuk tidur, mereka yang mengalami masalah usus boleh berhadapan dengan simptom insomnia dan kelesuan kronik. 

Segelintir pesakit yang mengalami masalah gangguan tidur juga boleh didiagnosis dengan masalah fibromyalgia (kesakitan di keseluruhan badan).

#5 Ekzema, tanda usus anda tidak sihat

Kadangkala, masalah ekzema boleh berlaku kesan daripada tahap kesihatan usus yang merundum.

Proses keradangan yang berlaku di dalam usus akibat pengambilan makanan tidak seimbang atau masalah alergi makanan boleh menyebabkan protein tertentu untuk masuk ke dalam aliran darah.

Keadaan ini boleh menyebabkan proses iritasi kulit seterusnya masalah ekzema.

#6 Masalah autoimun tanda sistem penghadaman huru hara

Kajian berkenaan dengan kaitan di antara kesihatan usus dan sistem pertahanan badan masih lagi sedang diteruskan.

Saintis pernah membuat hipotesis bahawa proses keradangan yang berlaku pada usus boleh mempengaruhi integriti dan fungsi sistem pertahanan badan manusia.

Keadaan ini boleh menyumbang kepada masalah autoimun, situasi di masa sel imun menyerang sel badan sendiri.

#7 Makanan tidak cerna sepenuhnya

Ketidakcernaan makanan adalah situasi yang berbeza dengan alergi terhadap sesuatu makanan. 

Keadaan ini boleh berlaku disebabkan oleh kualiti bakteria usus yang teruk menyebabkan proses pencernaan makanan menjadi sukar dan anda mudah mengalami simptom seperti:

  1. Kekembungan.
  2. Cirit-birit.
  3. Sakit abdomen.
  4. Loya.

Alergi pula berlaku akibat tindak balas sistem imun terhadap makanan yang diambil.

Cara mengatasi masalah penghadaman bagi meningkatkan tahap kesihatan usus

cara mengatasi masalah penghadaman

Terdapat beberapa tip yang boleh kita amalkan bagi memastikan fungsi usus berada pada tahap yang optimum

Antara cara mengatasi masalah penghadaman ialah:

  1. Pastikan tahap stres anda rendah. Pelbagai jenis penyakit kronik sering dikaitkan dengan paras tekanan yang tinggi. Anda boleh cuba untuk bermeditasi, bersenam, dapatkan perkhidmatan urutan dan sebagainya.
  2. Tidur secukupnya. Tidur bukan sahaja boleh mempengaruhi tumpuan, ia juga boleh memberi impak kepada tahap kesihatan usus. Tidur sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam sehari.
  3. Makan secara perlahan. Kunyah makanan anda sehingga lumat bagi memastikan proses pencernaan menjadi lebih mudah. 
  4. Minum air secukupnya. Pastikan anda minum air kosong secukupnya, elakkan daripada mengambil minuman berperisa. Ia merupakan cara mengatasi masalah penghadaman yang berkesan.
  5. Ambil suplemen prebiotik dan probiotik. Lebih baik sekiranya anda merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang suplemen tambahan. Ini berikutan masalah kesihatan tertentu boleh menjadi bertambah teruk sekiranya anda mengambil probiotik seperti SIBO (pertumbuhan bakteria berlebihan di dalam usus kecil).
  6. Ambil tahu sekiranya anda mengalami masalah ketidakcernaan makanan. Simptom seperti kekembungan, sakit perut, cirit-birit, ruam, loya dan kelesuan boleh memberi klu kepada anda berkaitan dengan masalah kesihatan ini.
  7. Tukar diet anda. Elakkan daripada mengambil makanan yang tinggi dengan kandungan gula dan lemak. Ambil makanan berserat seperti sayur dan protein tanpa lemak adalah antara cara mengatasi masalah penghadaman.

Sekiranya anda mengalami kesukaran atau sebarang masalah berkaitan dengan sistem penghadaman, rujuk doktor dengan kadar segera.

Setiap individu mempunyai tahap kesesuaian berbeza. Bukan semua cara mengatasi masalah penghadaman di atas sesuai untuk semua individu.

Sekiranya anda berisiko untuk mengalami masalah kesihatan yang berkait dengan genetik seperti kanser kolorektal, buat pemeriksaan awal untuk mengetahui status anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Exploring the role of gut bacteria in digestion. (https://phys.org/news/2010-08-exploring-role-gut-bacteria-digestion.html). Diakses pada 3 November 2020.
  2. Food Problems: Is it an Allergy or Intolerance. (https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/10009-food-problems-is-it-an-allergy-or-intolerance). Diakses pada 3 November 2020.
  3. Food allergy. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/food-allergy/symptoms-causes/syc-20355095). Diakses pada 3 November 2020.
  4. Stress management. https://www.helpguide.org/articles/stress/stress-management.htm. Diakses pada 3 November 2020.
  5. Gut Bacteria in Health and Disease. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3983973/). Diakses pada 3 November 2020.

Versi Terbaru

27/07/2023

Ditulis oleh Nurul Halifah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Apa Itu Kanser Kolorektal: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

AWAS! Risiko Dapat Kanser Kolorektal Tinggi Jika Anda Ada 22 Faktor Ini


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 27/07/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan