backup og meta

Berada Dalam Golongan Berisiko Kanser Kolorektal? Ini Cara Wajib Dibuat Untuk Langkah Pencegahan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 14/04/2021

    Berada Dalam Golongan Berisiko Kanser Kolorektal? Ini Cara Wajib Dibuat Untuk Langkah Pencegahan

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Kolorektal, sila dapatkannya di sini.

    Bagi mereka yang tidak menunjukkan tanda-tanda kanser, terdapat pelbagai jenis langkah pencegahan yang boleh diamalkan bagi memastikan risiko barah kekal rendah.

    Kanser kolorektal merupakan kanser ketiga tertinggi di dunia yang sering didiagnosis dalam kalangan kedua-dua jantina.

    Punca kepada berlakunya keadaan kesihatan ini merupakan hasil interaksi di antara faktor genetik dan persekitaran.

    Oleh sebab faktor genetik merupakan satu aspek yang tidak boleh diubah, maka langkah pencegahan lebih tertumpu kepada aspek gaya hidup.

    Ujian saringan kanser kolorektal

    Walaupun ujian saringan bukanlah satu langkah pencegahan bagi kanser kolorektal, ia perlu dilakukan bagi mencegah kanser daripada melarat sehingga boleh menyebabkan komplikasi teruk.

    Secara amnya, mereka yang berusia 45 tahun dan ke atas digalakkan untuk menjalani ujian saringan.

    Individu yang mempunyai faktor risiko genetik kebiasaannya akan digalakkan untuk menjalani ujian saringan lebih awal.

    Ujian yang sering digunakan bagi mengesan kanser kolorektal adalah pemeriksaan najis.

    Apabila terdapat darah atau sel kanser pada najis anda, ia akan memberikan keputusan positif.

    Walau bagaimanapun, penting untuk anda faham bahawa ujian ini tidak mengesahkan diagnosis kanser kolorektal.

    Jika positif, pengesahan perlu dibuat melalui prosedur kolonoskopi.

    Pemeriksaan kolonoskopi melibatkan penggunaan tiub fleksibel yang dilengkapi dengan kamera dan lampu.

    Permukaan usus besar akan diperiksa bagi melihat sekiranya terdapat sebarang polip.

    Jika struktur tersebut ditemui, prosedur polipektomi boleh dijalankan atau jika jumlahnya banyak (beratus atau beribu), kolektomi boleh dilaksanakan.

    Kaunseling genetik

    cuci usus

    Oleh sebab terdapat golongan yang mempunyai kecenderungan untuk mendapat kanser kolorektal berikutan masalah genetik, kaunseling boleh membantu memberikan input kepada penghidap supaya lebih peka.

    Mereka yang mempunyai penyakit keturunan seperti Familial Adenomatous Poliposis (FAP) mempunyai risiko yang tinggi untuk didiagnosis dengan kanser kolon.

    Bagi golongan yang berisiko, kaunseling boleh menggalakkan mereka untuk menghadiri sesi ujian saringan. Sekiranya positif, rawatan awal boleh diberikan.

    Liputan tanggungan insurans

    Di Malaysia, kebanyakan kos bagi ujian saringan kanser kolorektal telah disubsidikan oleh kerajaan.

    Namun, bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan swasta, harga yang perlu ditanggung agak tinggi.

    Kos tersebut meliputi pemeriksaan najis bagi mengesan darah atau sel kanser dan prosedur kolonoskopi.

    Oleh itu, penting bagi anda untuk mengetahui liputan tanggungan syarikat insurans yang anda langgan.

    Sesetengah syarikat mempunyai protokol yang agak ketat maka bukti klinikal perlu dikemukakan sebelum kosnya akan ditanggung.

    Masalah berat badan berlebihan

    Kawalan berat badan boleh menghindarkan pelbagai jenis penyakit.

    Ini kerana, masalah berat badan berlebihan dan obesiti mempunyai kaitan yang kuat dengan masalah keradangan.

    Kajian menunjukkan bahawa pengambilan pemakanan tinggi gula dan lemak boleh menyebabkan sistem pertahanan badan menghasilkan protein yang dikenali sebagai PAR2.

    Protein tersebut boleh menyebabkan kenaikan berat badan menjadi bertambah teruk.

    Oleh sebab risiko bagi kanser kolorektal mempunyai kaitan yang kuat dengan saiz pinggang individu (peningkatan lemak abdomen), maka mereka yang obes mempunyai risiko tinggi untuk mendapat barah kolorektal.

    Kawalan terhadap berat badan dan usaha untuk mencapai nilai indeks jisim badan normal boleh membantu mengurangkan risiko kanser kolorektal.

    Pemakanan

    Tabiat pemakanan merupakan kunci utama kepada usaha kawalan berat badan bagi mengurangkan risiko kanser kolorektal.

    Antara perkara yang perlu dititikberatkan berkaitan dengan tabiat makan adalah seperti berikut.

    Peka dengan apa yang anda makan

    Pengambilan lemak sihat seperti minyak ikan dan minyak zaitun boleh membantu mengurangkan keradangan pada usus.

    Mereka yang mengambil makanan dengan kandungan minyak tepu yang tinggi seperti daging merah, mentega dan keju mempunyai risiko untuk mendapat kanser kolorektal.

    Risiko yang hampir sama boleh disebabkan oleh pengambilan makanan segera yang mengandungi kepekatan lemak trans yang tinggi.

    Jenis lemak ini bukan sahaja tidak baik untuk jantung, ia juga boleh meningkatkan risiko untuk didiagnosis dengan kanser.

    Masak daging secukupnya

    cuci usus

    Apabila daging dimasak pada suhu yang tinggi, ia boleh menyebabkan partikel seperti hidrokarbon aromatik polisistik (PAH) dirembes masuk ke dalam makanan.

    Oleh sebab partikel tersebut mempunyai sifat karsinogenik, ia boleh menyebabkan tercetusnya proses mutasi yang boleh mendorong terjadinya kanser kolorektal.

    Partikel PAH juga sering ditemui dalam makanan yang dipanggang. Sebaik-baiknya, ketika memanggang daging, gunakan penyepit dan elakkan daripada memasak menggunakan garfu.

    Ia bagi memastikan jus daging tersebut tidak menitik ke atas arang dan jumlah asap yang mengandungi molekul karsinogenik dapat dikurangkan.

    Ambil makanan berserat secukupnya

    Serat sememangnya baik untuk sistem penghadaman. Ia boleh mengurangkan risiko kanser kolorektal. Namun kajian menunjukkan kebanyakan individu masih tidak mengambil jumlah serat yang mencukupi.

    Anda boleh ambil makanan seperti oat, kekacang, buah beri dan bijirin berserat pada waktu pagi.

    Pastikan juga hidangan makan tengah hari dan malam anda mempunyai sayur dan buah-buahan yang mencukupi.

    Jika anda ingin mengambil roti, pastikan ia 100 peratus bijirin.

    Ambil makanan sihat dan bukannya suplemen semata-mata

    Memang banyak produk suplemen yang mengandungi nutrisi mikro (mineral dan vitamin) yang mencukupi.

    Walau bagaimanapun, pengambilan makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti sayur dan buah lebih digalakkan memandangkan ia turut mengandungi antioksidan dan nutrisi lain.

    Gaya hidup

    Gaya hidup aktif boleh menjamin tahap kesihatan optimum serta menghindarkan individu daripada sebarang bentuk masalah kesihatan termasuklah kanser kolorektal.

    Bersenam secara berkala

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan setiap individu untuk bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu bagi aktiviti berintensiti sederhana.

    Antara contoh aktiviti yang boleh diterap masuk ke dalam kehidupan seharian anda adalah berjalan laju, berjoging, berenang atau berbasikal.

    Anda boleh meningkatkan intensiti senaman sekiranya anda sememangnya sedia aktif dan kerap bersenam dalam tempoh masa seminggu.

    Namun, pastikan anda mendapat kebenaran doktor sebelum berbuat demikian.

    Berhenti merokok dan kurangkan alkohol

    Kajian telah membuktikan bahawa risiko kanser kolorektal boleh dikurangkan dengan perubahan pada tabiat merokok dan pengambilan minuman beralkohol.

    Tabiat merokok adalah punca kepada pelbagai jenis kanser. Ia boleh mengurangkan kadar penyerapan vitamin C lantas menyebabkan badan mengalami kekurangan molekul antioksidan.

    Oleh sebab antioksidan boleh membantu mencegah kanser, kekurangan molekul tersebut meningkatkan risiko kanser.

    Selain itu, pengambilan alkohol boleh mengurangkan jumlah folat yang diserap masuk ke dalam badan.

    Folat merupakan mineral yang penting. Ia berupaya untuk menghindar berlakunya kanser khususnya barah kolorektal.

    Penawar semula jadi

    Walaupun tidak banyak kajian yang membuktikan keberkesanan penawar herba dalam menghindarkan kanser kolorektal, namun terdapat beberapa penawar yang boleh membantu. .

    Vitamin D

    Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2010 oleh Agensi Kajian Kanser Antarabangsa (IARC), kadar kepekatan vitamin D di dalam darah yang tinggi berupaya untuk merendahkan risiko kanser kolorektal.

    Kajian tersebut melibatkan lebih daripada 2,000 orang subjek.

    Dapatan menunjukkan mereka yang mempunyai kadar kepekatan vitamin D tertinggi mengalami penurunan risiko kanser kolorektal setinggi 40 peratus.

    Folat

    Folat terkandung di dalam makanan seperti bayam, asparagus dan bijirin yang diperkayakan dengan molekul tersebut.

    Ia merupakan vitamin B yang berupaya untuk menurunkan risiko kanser kolorektal.

    Kadar pengambilan vitamin tersebut telah ditetapkan pada 400 mcg bagi kebanyakan orang dewasa.

    Namun, bagi ibu mengandung, kadar pengambilan perlu dipertingkatkan kepada 600 mcg sehari memandangkan ia juga penting dalam perkembangan janin.

    Kuersetin

    Kuersetin merupakan bahan bioaktif semula jadi yang terkandung dalam tumbuh-tumbuhan.

    Dalam kajian makmal yang melibatkan proses pengkulturan sel, kuersetin mampu untuk melambatkan proses tumbesaran kanser kolorektal.

    Pada tahun 2010, kajian yang melibatkan 672 subjek telah membuktikan kaitan di antara pengambilan kuersetin dan penurunan risiko kanser kolorektal.

    Ia juga boleh diambil dalam bentuk suplemen.

    Teh

    Teh merupakan minuman herba yang kaya dengan bahan antioksidan semula jadi. Ia mempunyai potensi untuk menjadi salah satu agen berkesan dalam menghalang berlakunya kanser kolorektal. 

    Ini terbukti dalam kajian haiwan dan tiub ujian makmal. Namun, data yang melibatkan subjek manusia masih lagi tidak cukup untuk dijadikan saranan bagi mencegah kanser ini. 

    Perubatan pencegahan

    Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh menurunkan risiko kanser dalam kalangan individu berisiko.

    Sebagai contoh, kajian menunjukkan ubat seperti aspirin dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) boleh menurunkan risiko kanser kolorektal.

    Walau bagaimanapun, penggunaan ubat tersebut boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti pendarahan.

    Malah, menurut Persatuan Kanser Amerika, kebanyakan pakar tidak menyarankan pengambilan NSAID jika ia hanya bertujuan untuk menurunkan risiko kanser kolorektal.

    Ubat lain seperti statin, turut dianggap sebagai modaliti yang berkesan dalam mengawal insiden kanser usus.

    Namun, terdapat segelintir kajian yang tidak berkongsi pendapat yang sama memandangkan mereka tidak menemui kesan yang signifikan berkaitan dengan penurunan risiko kanser.

    Konklusi

    Walaubagaimanapun, anda pernah tak dengar tentang kaedah cuci usus? Sebabnya cuci usus ini dikatakan boleh mencegah barah kolorektal?

    Apapun, sebelum melakukan proses cuci usus ini, apa kata anda rujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum ia mendatangkan risiko di kemudian hari.

    Justeru, amalan gaya hidup sihat boleh memastikan kadar risiko kanser kolorektal anda kekal rendah dan ujian saringan perlu dilakukan secara berkala terutamanya jika anda tergolong dalam individu berisiko. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 14/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan