Apa Itu Kanser Kolorektal: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 22/10/2020 . 7 minit bacaan
Share now

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Kolorektal, sila dapatkannya di sini.

Kanser kolorektal merupakan sejenis barah pada organ usus besar dan rektum. Ia juga dikenali sebagai kanser kolon (usus besar) atau kanser rektum (penghujung usus besar) bergantung dari mana ia bermula.

Oleh sebab kedua-duanya berkongsi ciri-ciri yang hampir sama, penggunaan istilah kanser kolorektal lebih lazim berbanding dengan kanser kolon, kanser rektal atau barah usus besar. 

Usus besar dan rektum merupakan laluan pada penghujung sistem pencernaan manusia. Fungsinya adalah untuk mencerna makanan, menyerap masuk nutrisi dan air serta menyingkirkan bahan kumuh badan.

Berbeza dengan usus kecil, proses fisiologi yang berlaku dalam organ usus besar lebih tertumpu kepada penyerapan mineral dan air.

Apabila bahan kumuh mencecah organ rektum (kira-kira 6 inci pada penghujung sistem pencernaan), ia akan keluar sebagai tinja melalui dubur.

Seperti penyakit barah yang lain, kanser kolorektal berlaku akibat daripada pertumbuhan sel kolon atau rektum yang tidak terkawal.

Ia mempunyai potensi untuk menyebabkan komplikasi dan merebak ke organ lain.

Jenis Kanser Kolorektal

Kategori kanser kolorektal dibuat berdasarkan kepada perubahan tisu yang terlibat dalam proses patologi dalam membentuk kanser. Antaranya adalah seperti berikut.

Adenokarsinoma

Menurut Persatuan Kanser Amerika (ACS), kanser kolorektal jenis adenokarsinoma merangkumi 96% bagi semua kes kanser kolon. Ia merupakan tumor yang bermula pada lapisan dalaman, iaitu pada sel yang mempunyai fungsi kelenjar.

Adenokarsinoma tidak spesifik kepada kanser kolorektal sahaja. Kanser organ lain seperti payudara dan peparu turut mempunyai perubahan sel jenis ini.

Dalam kes kanser kolorektal, perubahan awal bermula pada struktur polip (ketumbuhan tisu tidak normal yang berbentuk seperti kepala cendawan) yang boleh berubah kepada sel malignan kelak.

Oleh sebab kanser jenis ini sangat lazim dan jika anda tidak diberitahu oleh doktor akan jenis barah yang dialami, besar kemungkinan ia adalah kanser kolorektal adenokarsinoma.

Ketumbuhan karsinoid

Kanser kolorektal yang berpunca daripada ketumbuhan karsinoid jarang berlaku.

Seperti jenis adenokarsinoma, karsinoid tidak spesifik kepada kanser kolorektal semata-mata.

Ia merupakan sub jenis ketumbuhan neuroendokrin yang boleh melibatkan mana-mana organ yang terdapat dalam sistem pencernaan seperti perut, apendiks, usus kecil, usus besar dan rektum.

Selain daripada itu, ketumbuhan karsinoid turut boleh berlaku pada organ peparu.

Tumor stroma gastrousus (GIST)

Ini merupakan sejenis ketumbuhan kolorektal yang bermula pada tisu otot sistem pencernaan yang lazimnya berlaku pada organ seperti perut dan usus kecil. 

Selain daripada itu, kes GIST turut berlaku pada organ seperti esofagus, kolon, rektum dan lokasi lain namun insidennya sangat rendah.

Walaupun secara amnya kebanyakan kes GIST tidak bersifat kanser namun ia boleh berubah kepada kanser. 

Limfoma 

Limfoma adalah kanser yang melibatkan komponen sel darah putih yang dipanggil limfosit. 

Apabila proses pembahagian sel berlaku pada kadar tidak terkawal ia boleh menyebabkan berlakunya ketumbuhan pada kelenjar limfa yang terletak di seluruh badan.

Kira-kira 40% limfoma berlaku di luar sistem limfatik dan kebiasaannya ia melibatkan laluan gastrousus.

Mereka yang mengalami keadaan kesihatan ini kebiasaannya tidak menunjukkan simptom maka diagnosis sering dibuat apabila pesakit sudah berada pada tahap lewat kanser.

Sarkoma

Sarkoma yang melibatkan organ kolorektal sangat jarang didiagnosis.

Ia merupakan barah yang melibatkan salur darah, lapisan otot dan tisu penghubung pada dinding kolon dan rektum. 

Baca juga 

Kanser Kolorektal Ketiga Didiagnosis Di Dunia, Kenali Simptom Penyakit Ini Dari Awal 

Punca Kanser Kolorektal, Ini Faktor Risiko Yang Cenderung Buat Anda Mendapat Kanser 

Simptom Kanser Kolorektal

Seperti masalah kanser yang lain, perubahan awal pada organ kolorektal yang melibatkan kanser tidak menunjukkan sebarang simptom. 

Walau bagaimanapun, manifestasi kanser bagi setiap individu tidak sama.

Ada yang mengalami simptom semasa peringkat awal dan ada juga yang hanya menunjukkan simptom ketika berada di tahap lewat.

Mereka yang mengalami kanser kolorektal boleh menunjukkan gejala seperti:

  1. Perubahan pada karakter tinja semasa buang air besar seperti cirit birit, sembelit atau najis berbentuk pensel
  2. Pendarahan pada najis 
  3. Rasa seperti tidak puas selepas buang air besar
  4. Kram atau sakit pada bahagian abdomen
  5. Kelesuan walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti
  6. Rasa loya dan muntah
  7. Jaundis 

Tanpa pemeriksaan lanjut oleh doktor perubatan, diagnosis kanser sukar untuk dibuat dengan hanya berdasarkan simptom tersenarai.

Ia berikutan gejala tersebut turut dimanifestasikan pada pesakit yang mengalami masalah gastrousus seperti jangkitan kuman, keradangan dan sebagainya.

Aspek ujian makmal juga penting bagi memastikan ketepatan diagnosis dapat dijamin dan pesakit boleh diberikan rawatan bersesuaian dengan keadaan kesihatan yang dialami.

Punca kanser kolorektal

Bagaimana kanser kolorektal berlaku?

Walaupun banyak kajian telah membuktikan kaitan di antara faktor risiko tertentu dengan kanser kolorektal, namun mekanisme patologinya masih tidak jelas.

Secara amnya, masalah barah usus besar boleh berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan fungsi di antara dua jenis gen yang mengawal tumbesaran, pembahagian dan kematian sel.

  1. Onkogen merupakan gen yang membantu sel untuk membesar, membahagi dan mengekalkan jangka hayat sel.
  2. Gen penindas tumor (tumour suppressor gene) bertanggungjawab untuk mengawal tahap pembahagian sel dan menyebabkan sel mati pada waktu tertentu.

Apabila mutasi menyebabkan onkogen aktif dan gen penindas tumor nyahaktif, ia boleh menyebabkan sel membahagi di luar kawalan.

Secara amnya mutasi boleh dibahagikan kepada 2.

Mutasi genetik yang diwarisi

Segelintir mutasi maklumat genetik boleh diwariskan kepada generasi seterusnya lantas membuatkan mereka berisiko untuk mendapat masalah kanser kolorektal.

Antara masalah kesihatan genetik yang sering dikaitkan dengan kanser kolorektal adalah:

  1. Familial adenomatous polyposis (FAP), attenuated FAP (AFAP) dan sindrom Gardner melibatkan perubahan pada gen penindas tumor, APC. Perkara ini boleh menyebabkan individu tersebut mendapat beratus polip dalam usus besar. Ia merupakan keadaan pra kanser bagi barah kolorektal.
  2. Sindrom Lynch (hereditary non-polyposis colon cancer atau HNPCC) melibatkan perubahan pada gen yang bertanggungjawab untuk membaiki DNA yang rosak. 
  3. Sindrom Peutz-Jeghers menyebabkan masalah nyahfungsi pada gen STK11 yang merupakan gen penindas tumor.
  4. Poliposis berkait dengan gen MYH (MAP). Gen tersebut bertanggungjawab untuk menyemak kerosakan DNA semasa sel membahagi. Tanpanya, kebarangkalian untuk mendapat kanser kolorektal agak tinggi.

Mutasi genetik yang diperolehi

Kebanyakan masalah berkaitan dengan mutasi genetik sehingga menyebabkan kanser merupakan perubahan mutasi hasil daripada faktor yang diperolehi.

Ini bermakna, punca kepada kanser berlaku sepanjang mereka hidup dan ia tidak diwariskan kepada generasi seterusnya,

Walaupun pelbagai jenis faktor risiko boleh menyebabkan berlakunya mutasi, namun kaitannya dengan kanser kolorektal masih lagi tidak jelas.

Pada kebanyakan kes, kanser kolorektal berlaku hasil interaksi daripada pelbagai jenis mutasi yang menyebabkan sel membahagi di luar kawalan.

Siapa yang berisiko untuk mendapat kanser kolorektal?

Faktor yang meningkatkan kebarangkalian untuk anda mendapat kanser kolorektal terbahagi kepada dua iaitu:

Faktor risiko kanser kolorektal yang boleh diubah

radang usus

  1. Masalah berat badan berlebihan atau obes
  2. Hidup tidak aktif (kurang aktiviti fizikal) 
  3. Ambil makanan yang tinggi kandungan daging merah seperti lembu, babi, kambing atau makanan berproses seperti sosej. 
  4. Kurang pengambilan makanan berserat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin
  5. Tabiat merokok
  6. Pengambilan minuman beralkohol secara berlebihan

Faktor risiko kanser kolorektal yang tidak boleh diubah

  1. Berusia 50 tahun ke atas
  2. Sejarah penyakit polip kolorektal atau kanser kolorektal
  3. Menghidap penyakit radang usus (kolitis ulseratif, penyakit Crohn dan sebagainya)
  4. Sejarah keluarga kanser kolorektal atau polip
  5. Menghidap masalah sindrom kanser warisan seperti HNPCC, FAP, sindrom Lynch dan sebagainya.
  6. Menghidap masalah kencing manis tidak terkawal

Langkah pencegahan kanser perut

Tiada cara mutlak yang dapat menghindarkan mana-mana individu daripada didiagnosis dengan masalah kanser kolorektal atau kanser usus.

Walau bagaimanapun, risikonya boleh dikurangkan melalui beberapa langkah pencegahan seperti berikut.

Saringan kanser kolorektal

Bagi mereka yang tidak menunjukkan simptom, saringan boleh membantu mengesan perubahan kanser kolorektal pada peringkat awal.

Oleh sebab polip yang terbentuk pada permukaan usus besar mengambil masa sekitar 10 hingga 15 tahun untuk menjadi kanser kolorektal, ia boleh dikesan lebih awal dan dibuang sebelum melarat menjadi barah.

Mereka yang berusia 45 tahun dan ke atas digalakkan untuk melalui saringan kanser kolorektal.

Jika anda mempunyai sejarah keluarga dengan masalah kanser kolorektal, ujian saringan boleh dilakukan lebih awal.

Perubahan gaya hidup

Faktor risiko seperti diet tidak seimbang, tidak melakukan aktiviti fizikal dan masalah berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko kanser.

Kawalan berat badan pada tahap ideal (mengikut jisim berat badan, BMI) boleh membantu mengurangkan risiko untuk mendapat kanser kolorektal.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan aktiviti fizikal berintensiti sederhana seperti joging perlu dilakukan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

Jika intensiti tersebut dapat dipertingkatkan, ia boleh membantu mengurangkan risiko kanser.

Bagi pemakanan pula, secara amnya, pengambilan makanan berserat boleh melindungi sistem pencernaan daripada penyakit termasuklah kanser kolorektal.

Kajian juga menunjukkan pengambilan alkohol melebihi 2 kali sehari bagi lelaki dan 1 kali sehari bagi wanita boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal.

Berhenti merokok elak kanser kolorektal

Bukan sahaja kanser kolorektal, tapi dengan merokok juga boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser lain. 

Mereka yang berhenti merokok boleh merendahkan risiko pada kadar yang sangat signifikan dalam konteks barah usus besar.

Bagi mereka yang mengalami kesukaran untuk berhenti, boleh dapatkan bantuan profesional daripada fasiliti kesihatan berdekatan.

Penggunaan ubat anti radang bukan steroid (NSAID)

Banyak kajian telah membuktikan kaitan di antara pengambilan ubat aspirin dan NSAID dengan penurunan risiko untuk mendapat kanser kolorektal.

Namun, kedua-dua ubat tersebut boleh menyebabkan kesan sampingan yang mengancam nyawa seperti pendarahan dalaman dan ulser perut.

Pemberian ubat tersebut perlu dipertimbangkan dengan risiko yang boleh dialami pesakit.

Anda perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mula mengambil ubat aspirin atau sebarang NSAID.

Terapi gantian hormon bagi wanita

Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan terapi hormon estrogen dan progesteron boleh menurunkan risiko kanser kolorektal, tapi ia juga boleh meningkatkan masalah kesihatan lain terutamanya pada wanita sesudah menopaus.

Sebelum mencuba kaedah berkaitan dengan terapi gantian hormon, pastikan anda mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor. 

Bila anda perlu berjumpa doktor?

radang usus

Masih ramai yang tidak mengenali simptom kanser kolorektal walaupun ia lazim didiagnosis dalam kalangan lelaki dan wanita.

Ada juga yang malu memandangkan pemeriksaan doktor melibatkan penggunaan alatan kolonoskopi untuk melihat keadaan di dalam usus besar.

Apa yang anda perlu tahu adalah simptom kanser kolorektal atau barah usus besar mempunyai persamaan dengan masalah kesihatan lain.

Oleh itu, sukar untuk kita tentukan bila masa yang sesuai untuk seseorang itu berjumpa dengan doktor.

Namun, jika anda mengalami simptom dan risau akan risiko anda, pemeriksaan doktor boleh memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan dengan penyakit yang anda alami.

Jika ia bukan kanser, anda akan lebih bertenang. Jika ia kanser, rawatan awal boleh diberikan bagi mencapai kadar kesembuhan yang tinggi.

Pemeriksaan fizikal yang akan dibuat oleh doktor bergantung kepada simptom dan faktor risiko yang dikenal pasti semasa pengambilan sejarah perubatan.

Suhu, tekanan darah dan kadar denyutan nadi merupakan ukuran standard yang akan diambil berserta dengan pemeriksaan abdomen.

Jika terdapat tanda-tanda yang menunjukkan anda mungkin menghidap masalah kanser perut, ujian makmal akan dibuat bagi mengesahkan diagnosis tersebut

Hidup dengan kanser perut

Bagi kebanyakan individu, rawatan bagi masalah kanser kolorektal atau barah usus besar mempunyai kadar kesembuhan yang sangat tinggi.

Namun, seperti masalah kanser lain, jika tidak dipantau secara berkala, kanser tersebut boleh kembali.

Maka, beberapa aspek perlu diberikan penekanan setelah anda didiagnosis atau telah mendapatkan rawatan kanser kolorektal.

Antaranya adalah:

  1. Pelan penjagaan bagi pesakit kanser kolorektal. Ini termasuklah kekerapan janji temu, ujian makmal atau saringan yang perlu dijalani (kolonoskopi, proktoskopi), saranan pelan pemakanan dan rawatan kepada komplikasi jangka masa panjang atau kesan sampingan rawatan kanser.
  2. Patuhi janji temu bagi mendapatkan pemantauan berkala. Kebiasaannya kekerapan janji temu adalah sekitar 3 hingga 6 bulan sekali.
  3. Pastikan anda menyimpan rekod perubatan dan insurans kesihatan. 
  4. Jika anda menjalani prosedur kolostomi, pastikan anda mengetahui cara penjagaannya.
  5. Jangan ambil suplemen melainkan sudah disahkan doktor. Masih tiada bukti yang mencukupi menunjukkan pengambilan suplemen boleh menurunkan risiko kanser kolorektal.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

Ini 7 Golongan Berisiko Dapat Kanser Rahim, Termasuk Wanita Yang Tak Pernah Hamil, Hati-Hati!

Tahukah anda, ada 7 golongan berisiko untuk mendapat kanser rahim. Adakah tanda kanser rahim jelas untuk pesakit kanser rahim ini? Boleh kesan lebih awal?

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Wanita 08/05/2020 . 4 minit bacaan

Will Smith Alami Kanser Kolon?

Benarkah bahawa Will Smith mempunyai kanser kolon setelah dia menjalani kolonoskopi? Apakah pula yang anda tahu mengenai kanser kolon ini?

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Berita, Berita Antarabangsa 17/12/2019 . 4 minit bacaan

Diet Rendah Karbohidrat Boleh Sebabkan Kanser Usus, Benarkah?

Anda ingin mengamalkan diet rendah karbohidrat? Ikuti artikel ini untuk mengetahui bagaimana diet tersebut boleh menyebabkan kanser usus.

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
Kanser, Kanser Kolorektal 29/10/2019 . 3 minit bacaan

Tip Kekal Positif Dan Bermotivasi

Tip Kekal Positif Dan Bermotivasi adalah untuk membantu anda kekal bersemangat menempuhi kehidupan walaupun didiagnosis dengan kanser kolorektal

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Gaya Hidup Sihat, Pusat Kesihatan, Tips Kesihatan 17/04/2019 . 2 minit bacaan

Artikel lain untuk anda

penyebab kanser kolon

Kanser Kolon, Pembunuh Senyap Yang Berbahaya? Awasi Penyebab Sebenar Ia Berlaku!

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Ahmad Farid
Diterbitkan pada 13/11/2020 . 3 minit bacaan
penghadaman

Sentiasa Jaga Kesihatan Usus, Ambil Tahu 7 Tanda Sistem Penghadaman Tidak Sihat Ini

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
Diterbitkan pada 03/11/2020 . 3 minit bacaan
kanser kolorektal

Makanan Yang Dilarang Untuk Pesakit Kanser Kolorektal, Apa Yang Harus Dielakkan?

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Nisreen Nadiah
Diterbitkan pada 04/09/2020 . 3 minit bacaan
bahaya kanser kolon

‘Wakanda Selamanya!’, 4 Tahun Mendiang Chadwick Boseman Berjuang Melawan Kanser Kolon

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Ahmad Farid
Diterbitkan pada 02/09/2020 . 3 minit bacaan