backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

AWAS! Risiko Dapat Kanser Kolorektal Tinggi Jika Anda Ada 22 Faktor Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/11/2023

    AWAS! Risiko Dapat Kanser Kolorektal Tinggi Jika Anda Ada 22 Faktor Ini

    Kanser kolorektal atau cancer usus merupakan kanser ketiga terlazim di dunia bagi kedua-dua jantina. Ia melibatkan masalah pada organ usus besar dan rektum. 

    Kebanyakan kes barah kolorektal berpunca daripada polip yang merupakan ketumbuhan pada lapisan dalam usus besar. Walau bagaimanapun, kebanyakan polip tidak menyebabkan kanser.

    Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan kecenderungan untuk mendapat kanser kolorektal. Antaranya adalah seperti berikut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Kolorektal, sila dapatkannya di sini.

    Faktor risiko lazim cancer usus

    #1 Usia

    Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC), 90 peratus kes cancer usus melibatkan individu berusia 50 tahun dan ke atas.

    Oleh sebab itu, usia merupakan faktor utama berlakunya barah kolorektal. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna populasi muda tidak boleh didiagnosis dengan masalah ini.

    Insiden kanser kolorektal dalam kalangan individu yang berusia di antara 20 hingga 39 tahun semakin meningkat.

    Puncanya masih tidak jelas dan ia lazimnya tidak berkaitan dengan sindrom genetik.

    #2 Bangsa dan etnik

    Mereka yang berasal daripada bangsa dan etnik berikut mempunyai risiko tinggi untuk didiagnosis dengan kanser kolorektal.

    1. Amerika Afrika
    2. Mereka yang berketurunan Yahudi Eropah Timur

    Meskipun anda tidak tergolong dalam etnik yang tersenarai, namun anda masih digalakkan untuk menjalani ujian saringan sekiranya mempunyai faktor risiko yang lain.

    #3 Masalah berat badan berlebihan dan obesiti

    Bergantung kepada nilai BMI yang menjadi rujukan (Asia atau Eropah), mereka yang dikategorikan dalam kumpulan obes berisiko tinggi untuk mendapat kanser kolorektal.

    Kaitan di antara masalah berat badan berlebihan dengan cancer usus telah terbukti melalui banyak kajian saintifik.

    Namun begitu, usaha menurunkan berat badan dengan diet dan aktiviti fizikal secara berkala boleh melindungi anda daripada peningkatan risiko kanser.

    #4 Kencing manis

    Kajian yang dijalankan oleh Universiti Utrecht, Belanda pada tahun 2015 menunjukkan kaitan yang kuat di antara masalah diabetes terutamanya jenis 2 dengan cancer usus.

    Menurut pengkaji, insiden kenaikan kes tersebut mempunyai hubungan dengan peningkatan paras insulin di dalam darah.

    #5 Sejarah masalah polip pada usus besar

    Walaupun kebanyakan polip tidak menyebabkan barah, terdapat sejenis polip yang mempunyai risiko tinggi untuk mengalami perubahan kanser.

    Polip tersebut dikenali sebagai polip adenomatous. Ia mempunyai pelbagai jenis bentuk, antaranya adalah timbul, rata dan villous (kelihatan seperti jari).

    Secara amnya, jika anda mempunyai 1 atau lebih polip adenomatous, risiko untuk anda mendapat masalah kanser meningkat.

    Walau bagaimanapun, prosedur buang polip menggunakan kaedah kolonoskopi boleh menamatkan peluang untuk usus anda berubah kepada kanser daripada pra kanser.

    #6 Sejarah penyakit radang usus

    Antara masalah radang usus (IBD) yang sering dikaitkan dengan kanser kolorektal adalah kolitis ulseratif dan penyakit Crohn.

    Durasi penyakit merupakan faktor utama yang boleh mempengaruhi risiko anda untuk didiagnosis dengan cancer usus.

    Sebagai contoh, mereka yang didiagnosis dengan penyakit kolitis ulseratif mempunyai variasi risiko mengikut durasi penyakit:

    1. 0.7 peratus 10 tahun selepas diagnosis
    2. 7.9 peratus 20 tahun selepas diagnosis
    3. 33.2 peratus 30 tahun selepas diagnosis

    Selain daripada durasi, ukuran bagi usus besar yang terlibat dengan penyakit radang usus juga boleh mempengaruhi risiko kanser.

    Sebagai contoh, individu yang didiagnosis dengan masalah IBD yang melibatkan keseluruhan usus besar (pan-kolitis) mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser usus.

    #7 Radiasi

    Mereka yang menjalani rawatan radiasi melibatkan bahagian abdomen, pelvik atau tulang belakang semasa kanak-kanak berisiko untuk didiagnosis dengan kanser kolon.

    Oleh sebab itulah Kumpulan Onkologi Kanak-kanak menyarankan saringan dibuat bagi mereka yang pernah menerima rawatan radiasi pada peringkat usia tersebut.

    Mereka perlu disaring 5 tahun selepas rawatan radiasi atau pada usia 30 tahun, mana-mana yang lebih lewat.

    Ini bermakna, jika anda menerima rawatan pada usia 21 tahun, saringan perlu dibuat pada usia 30 tahun.

    Sekiranya rawatan tersebut dibuat pada usia 28 tahun, saringan perlu dibuat pada usia 33 tahun (5 tahun selepas rawatan).

    Terdapat juga kajian yang menunjukkan peningkatan insiden cancer usus dalam kalangan mereka yang menerima rawatan radiasi bagi kanser testis dan prostat.

    Faktor Risiko Genetik Cancer Usus

    cancer usus

    Kajian menunjukkan 1 daripada 4 kes kanser kolorektal mempunyai kaitan dengan faktor genetik.

    Mereka yang mempunyai ahli keluarga kelas pertama (ayah, ibu, adik beradik) dengan kanser kolorektal mempunyai risiko yang tinggi untuk didiagnosis kelak.

    Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa, pada kebanyakan masa, masalah genetik ini berkait dengan sindrom yang lebih spesifik.

    Antaranya adalah seperti berikut.

    #1 Familial Adenomatous Polyposis Syndrome (FAP)

    Sindrom ini boleh menyebabkan beribu polip terbentuk di dalam usus besar anda. Sindrom ini merupakan salah satu punca cancer usus yang ramai tidak tahu. 

    Perubahan pra kanser ini boleh memberikan peluang hampir 100 peratus untuk membentuk kanser kolorektal yang lazimnya sebelum berusia 40 tahun.

    Namun ada juga yang didiagnosis ketika remaja walaupun ia sememangnya jarang berlaku.

    Mereka yang mengalami masalah FAP boleh menunjukkan gejala perubahan pada tabiat buang air besar, sakit abdomen dan darah dalam najis.

    #2 Sindrom cancer usus bukan polip warisan (HNPCC)

    Sindrom genetik ini turut dikenali sebagai sindrom Lynch. Ia merupakan penyakit yang boleh diwarisi dan mampu meningkatkan risiko kanser kolorektal setinggi 80%.

    Mereka yang menghidap masalah kesihatan ini kebiasaannya tidak menunjukkan simptom namun ujian genetik, sejarah kanser dalam keluarga dan ujian saringan boleh membantu doktor mengesan masalah ini lebih awal.

    #3 Sindrom Peutz-Jeghers

    Keadaan kesihatan ini boleh meningkatkan risiko untuk polip pada usus besar berubah menjadi kanser.

    Mereka yang mengalaminya sering dikaitkan dengan beberapa simptom seperti:

    1. Tompok hitam pada bibir atau di dalam mulut
    2. Kepompong kuku (finger clubbing) 
    3. Najis dalam darah

    Sindrom Peutz-Jeghers mempunyai kadar insiden yang rendah di antara 1 dalam 25,000 kelahiran hingga 1 dalam 300,000 kelahiran.

    Faktor risiko gaya hidup

    cancer usus

    Kawalan gaya hidup boleh menurunkan risiko untuk didiagnosis dengan kanser kolorektal.

    Faktor seperti berat badan berlebihan dan gaya hidup tidak aktif perlu dielakkan bagi memastikan tahap kesihatan berada pada paras optimum.

    #1 Pengambilan alkohol

    Minuman beralkohol merupakan punca utama dalam membentuk kanser kolorektal.

    Peningkatan risiko tersebut selaras dengan jumlah pengambilan minuman beralkohol.

    Walaupun ada yang mengatakan pengambilan alkohol dalam kuantiti sederhana boleh memberikan manfaat kesihatan, namun ia turut dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.

    #2 Faktor pemakanan

    Pengambilan makanan yang tinggi lemak dan kolesterol seperti daging merah mempunyai kaitan yang kuat dengan kanser usus.

    Kajian menunjukkan tabiat pemakanan yang melibatkan daging berproses seperti sosej melebihi satu setengah auns sehari boleh meningkatkan risiko kematian akibat kanser.

    Persatuan Dana Kajian Kanser Sedunia (WCRF) menyarankan kurang daripada 500 gram daging merah seminggu.

    Saranan tersebut disokong oleh Persatuan Kanser Amerika dan pengambilan makanan berserat perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko kanser kolorektal.

    #3 Tabiat merokok

    Menurut kajian yang diterbitkan di laman Jurnal Persatuan Perubatan Amerika, perokok mempunyai risiko 18 peratus lebih tinggi berbanding individu tidak merokok untuk mendapat kanser kolorektal.

    Tambahan pula, peningkatan risiko tersebut turut bergantung kepada jumlah tahun mereka merokok.

    Namun, jika anda berhenti merokok, risiko kanser turut menurun.

    Faktor risiko lain cancer usus

    Terdapat juga punca lain yang boleh menyebabkan cancer usus namun kajian masih belum mencukupi untuk membuktikan kaitan di antaranya.

    1. Komplikasi terapi androgen jangka masa panjang (ADT).
    2. Prosedur buang organ hempedu mempunyai kaitan dengan risiko kanser usus besar sebelah kanan.
    3. Kekurangan vitamin D.
    4. Masalah perubatan seperti akromegali dan penyakit jantung.
    5. Prosedur pemindahan buah pinggang berpunca daripada sistem imun lemah.

    Terdapat juga kaitan di antara kanser kolorektal dengan faktor yang lebih menimbulkan kontroversi seperti:

    1. Peningkatan pada bacaan protein C-reaktif (CRP) dalam darah kesan tindak balas proses keradangan di dalam badan.
    2. Penggunaan julap secara kerap terutamanya produk bukan serat.
    3. Masalah sembelit kronik.
    4. Jangkitan oleh bakteria atau virus seperti Helicobacter pylori.

    Konklusi

    Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan berlakunya kanser kolorektal. Antaranya ialah masalah radang usus besar, faktor gaya hidup dan juga usia.

    Lazimnya, barah kolorektal berlaku kesan daripada interaksi pelbagai jenis faktor risiko yang boleh meningkatkan kecenderungan anda untuk mendapat kanser.

    Jika anda mengalami simptom atau mempunyai faktor risiko kanser, dapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan daripada doktor berdekatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan