Dalam usaha untuk menjadi individu yang tinggi kualiti, kita semua perlu tahu cara-cara menjaga kebersihan diri di samping kecantikan dan kesihatan tubuh badan. Persoalannya, bagaimana anda boleh merealisasikan hasrat ini dengan total? Jom terus baca artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.
Kepentingan asas cara menjaga kebersihan diri
Sebenarnya, syarat utama untuk individu mencapai kualiti tertinggi dalam hidup itu terletak pada bagaimana cara mereka menjaga kesihatan, kecantikan dan kebersihan diri masing-masing.
Khususnya dalam aspek kebersihan, ini adalah sangat penting demi melawan jangkitan, mencegah alahan, mengelak bau busuk di samping memastikan diri sentiasa suci daripada anasir tidak baik.
Mungkin ada individu yang cenderung fokus kepada kebersihan persekitaran mereka sahaja tetapi agak kurang dalam cara menjaga kebersihan diri sedangkan kedua-duanya adalah sama mustahak.
Memandangkan kita semua kini hidup di dalam era endemik COVID-19 di samping pelbagai lagi penyakit angkara bakteria serta virus yang kian menular seperti monkeypox dan lain-lain, adalah sangat penting untuk kita tahu asas cara menjaga kebersihan diri.
Rambut & kulit kepala
Rambut adalah mahkota individu yang perlu dijaga dengan baik untuk memastikan ia kekal lebat, lembut, lembap dan licin. Tanpa cara menjaga kebersihan diri yang baik, rambut mudah rosak.
Sebenarnya, bukan sukar untuk menjaga kebersihan rambut dan kulit kepala. Beberapa rutin atau produk yang penting adalah syampu, perapi, pelembut dan mungkin serum atau tonik jika perlu.
Sebaiknya, individu wajar syampu rambut sekurang-kurangnya 2 ke 3 kali sahaja dalam seminggu. Pencucian yang terlalu banyak mungkin akan menyebabkan rambut dan kulit kepala anda kering.
Disebabkan itu pula, penggunaan perapi, pelembut dan lain-lain produk rambut adalah mustahak!
Kebersihan wajah
Kebersihan kulit muka begitu penting kerana ia adalah aset dan imej utama seorang individu. Pun begitu, wujud banyak jenis masalah yang mungkin agak biasa terjadi pada wajah anda termasuk:
- Jerawat
- Jeragat
- Komedo (whitehead, blackhead)
- Kulit kering
- Kulit berminyak
- Kulit berparut
- Kulit berkedut
- Tona kulit tidak sekata
Meskipun tidak semua, beberapa daripada masalah di atas ini mungkin boleh selesai jika individu menjaga tahap kebersihannya. Caranya, adalah dengan mengamalkan rutin dan produk yang sesuai.
Sebelum itu, anda perlu tahu jenis kulit anda terlebih dahulu untuk tahu apa yang ideal buat anda. Sentiasa ingat untuk cuci muka sekurang-kurangnya sekali ketika siang dan sekali ketika malam.
Kebersihan mulut
Mulut atau oral merangkumi bibir, gigi, gusi, lidah, lelangit dan lain-lain organ yang amat penting untuk individu itu berkomunikasi di antara satu sama lain. Bayangkan jika ia kotor dan busuk?
https://wp.hellodoktor.com/kesihatan-mulut/mulut-lain/tip-mengubah-nafas-berbau-anda/
Perkara paling penting dalam aspek kebersihan mulut adalah memberus gigi. Ini mesti dilakukan sekurang-kurangnya 2 kali sehari ataupun setiap kali selepas anda makan untuk ia kekal bersih.
Dalam pada itu, individu juga dinasihatkan untuk berhenti melakukan tabiat buruk seperti menghisap rokok, meminum alkohol serta mengambil makanan berbau kuat untuk mencegah masalah bau mulut.
Jika anda ada apa-apa masalah berkaitan oral, usah malu atau takut untuk berjumpa doktor gigi!
Penjagaan alat sulit
Alat kelamin manusia – zakar untuk lelaki dan faraj untuk wanita bakal memainkan dua peranan penting di dalam kehidupan iaitu perkumuhan serta pembiakan. Kalau ia tidak bersih, maka akan lebih tinggi risiko untuk individu terkena STD!
Ada banyak jenis STD yang biasa terjadi termasuk herpes, sifilis, genorrea, klamidia dan lain-lain. Tidak menjaga kebersihan adalah salah satu faktor risiko yang boleh menjadi punca kondisi ini.
Jadi, apa yang anda boleh buat? Individu mesti cakna cara-cara menjaga kebersihan diri terutama alat sulit masing-masing. Sebenarnya, dengan hanya mencuci dengan air dan sabun itu belum memadai.
Pertimbangkan juga untuk mencukur bulu dan menyental daki pada kadar kekerapan yang ideal. Ini adalah antara cara menjaga kebersihan diri yang juga penting.
Kebersihan tangan
Tangan adalah anggota dalam tubuh badan yang paling banyak digunakan untuk menyentuh dan memegang sesuatu. Maka, ia akan sangat mudah terdedah kepada pelbagai jenis mikrob termasuk bakteria, virus, parasit dan macam-macam anasir lain.
Menurut Pengarah Bersama Elizabeth Scott, tangan manusia adalah anggota yang paling penting kerana ia adalah ‘penghubung’ segala benda yang bakal masuk atau keluar daripada tubuh badan.
“Individu tidak boleh kawal apa yang bakal terdedah pada tangan namun masih mampu menjaga tahap kebersihan tangan dalam usaha untuk melawan segala jenis penyakit,” jelas beliau lagi.
Caranya? Tentu sahaja dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer. Sebaiknya, sila cuci tangan anda setiap kali sebelum dan selepas buat aktiviti rutin seperti makan dan minum.
Kebersihan kaki
Sama juga seperti tangan, anggota kaki turut bakal terdedah dengan pelbagai jenis mikrob di luar sana. Namun, ia mungkin agak selamat kerana lebih kerap tertutup dengan kasut atau selipar.
Mungkin masalah yang biasa berlaku padanya adalah kaki berbau akibat sarung kaki yang kurang sesuai. Selain mengenakan fabrik ideal dengan kulit, cucilah kaki dengan cara yang tepat.
Dalam pada itu, jangan lupa untuk potong kuku kaki dan tangan agar ia kekal pendek dan bersih. Bagi kuku tangan, sekali seminggu adalah amat memadai manakala kuku kaki yang tumbuh lebih lambat itu mungkin perlu dipotong sekali dalam 2 atau 3 minggu.
Kawasan yang di celah-celah
Selain alat sulit, ada lagi kawasan di celah-celah yang selalu diabaikan ketika mandi seperti ketiak, leher, punggung, kelangkang dan lain-lain. Mungkin ia tersorok namun tidak boleh diabaikan ya?
Cara menjaga kebersihan diri untuk kawasan yang di celah-celah ini juga perlu dibersihkan ketika mandi dengan lebih baik dan teliti. Maka, sila ambil masa lebih lama ketika mandi selepas ini!
[embed-health-tool-bmi]