backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Masalah Sembelit Teruk, Apa Punca, Gejala &Rawatan Yang Anda Kena Cuba?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/03/2023

    Masalah Sembelit Teruk, Apa Punca, Gejala &Rawatan Yang Anda Kena Cuba?

    Penyakit sembelit teruk adalah apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk membuang air besar dan mempunyai tekstur najis yang sangat keras.

    Jika najis berada dalam saluran kolon (usus besar), ia akan membuatkan ia menjadi keras dan semakin sukar untuk disingkirkan.

    Sistem pencernaan adalah satu fungsi badan yang sangat berkesan.

    Dalam tempoh beberapa jam, sistem pencernaan akan menyerap nutrisi daripada makanan dan minuman yang anda ambil, memprosesnya ke dalam aliran darah, dan menyediakan sisa buangan untuk disingkirkan.

    Sisa buangan yang akan disingkirkan akan melalui usus sebelum disimpan sementara dalam usus besar, dan sebelum dikeluarkan daripada tubuh, dalam masa 1 atau 2 hari.

    Najis yang normal adalah tidak memiliki tekstur yang keras atau terlalu cair, dan tidak menyakitkan anda apabila ingin membuangnya daripada tubuh.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Sistem Penghadaman, sila klik di sini.

    Apa dia punca sembelit teruk?

    Tugas utama kolon adalah untuk menyerap air daripada sisa makanan yang melalui sistem pencernaan dan menghasilkan najis (sisa buangan).

    Otot-otot kolon akan mengeluarkan sisa melalui rektum untuk disingkirkan, dan najis yang berada untuk tempoh yang lama di dalam kolon, akan menyebabkan ia menjadi keras serta sukar untuk melalui rektum.

    sembelit teruk

    Jika keadaan ini berterusan, penyakit sembelit yang kronik juga boleh menjadi simptom kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

    Ini termasuklah sindrom usus besar, kanser kolorektal, kencing manis, penyakit Parkinson, kemurungan, atau kelenjar tiroid menjadi kurang aktif.

    Kecenderungan usus untuk menjalankan fungsinya adalah bergantung kepada usia, diet pemakanan, aktiviti harian anda dan keadaan persekitaran.

    Sebagai contoh, bayi yang diberi susu formula lebih berpotensi mempunyai najis yang keras dan berdepan masalah sembelit berbanding bayi yang hanya minum susu ibu.

    Bagi sesetengah kanak-kanak, mereka berdepan isu sembelit ini apabila memulakan sesi persekolahan kerana malu untuk meminta izin menggunakan tandas.

    Bagi kanak-kanak yang sedang berlatih menggunakan tandas (toilet training) pula, mereka turut berpotensi berdepan masalah ini jika mereka tidak mahu atau takut untuk menggunakan tandas.

    Akibat daripada kesakitan yang dirasai ketika proses membuang air besar semasa sembelit, ini menjadikan kanak-kanak cenderung mengelakkan diri untuk ke tandas.

    Faktor risiko yang memicu masalah ini

    Masalah sembelit teruk juga boleh berlaku jika memakan makanan tertentu seperti produk tenusu.

    Untuk individu dewasa yang lebih berusia, masalah ini akan kerap dihadapi terutama jika mereka kurang aktif.

    Gaya hidup yang sibuk, tidak makan serat atau minum air secukupnya, tekanan, kurang bersenam, perubahan rutin harian, tidak menghiraukan keinginan atau rasa untuk ke bilik air adalah penyebab timbulnya masalah sembelit ini.

    sembelit teruk

    Antara faktor risiko lain yang menyebabkan sembelit:

    • Diet rendah serat (diet tinggi daging, susu atau keju)
    • Dehidrasi
    • Melancong atau berjalan jauh
    • Pengambilan ubatan tertentu
    • Kehamilan
    • Masalah kesihatan

    Apa pula gejala sembelit teruk?

    Kekerapan membuang air besar adalah berbeza bagi setiap individu, sesetengahnya mungkin akan membuang 3 kali sehari, sementara yang lain mungkin 3 kali seminggu.

    Walau bagaimanapun, anda mungkin mendapat sembelit jika mengalami simptom berikut:

    • Kurang 3 kali seminggu membuang air besar
    • Najis keras
    • Kesakitan semasa membuang air besar
    • Tetap berasa kenyang walaupun selepas membuang air besar
    • Mengalami masalah rektum tersumbat

    Siapa lebih tinggi risiko mengalaminya?

    Pengambilan diet yang tidak seimbang dan kurang bersenam adalah faktor utama sembelit teruk. Anda mungkin berdepan risiko yang lebih tinggi jika anda:

    • Berusia 65 tahun dan ke atas. Individu dewasa lebih berusia cenderung untuk kurang aktif secara fizikal, mempunyai masalah kesihatan dan kurang mengamalkan diet pemakanan yang sihat
    • Tidak banyak bergerak. Individu yang dalam keadaan perubatan tertentu, mengalami kecederaan saraf tunjang
    • Wanita dan kanak-kanak. Individu wanita lebih kerap berdepan masalah sembelit berbanding lelaki, dan kanak-kanak lebih banyak berdepan isu ini berbanding individu dewasa
    • Hamil. Perubahan hormon dan tekanan pada usus daripada janin yang meningkat setiap hari boleh mengakibatkan sembelit

    Ini antara rawatan sembelit teruk yang efektif!

    sembelit teruk

    Ubah diet pemakanan dan tingkatkan aktiviti fizikal adalah cara paling mudah dan berkesan untuk merawat sembelit. Anda boleh mencuba teknik berikut:

    • Perbanyakkan minum air kosong, untuk menghidratkan badan
    • Hadkan pengambilan alkohol dan minuman berkafein
    • Tambahkan makanan serat dalam diet anda, seperti buahan dan sayuran, bijirin dan kekacang
    • Kurangkan makanan rendah serat seperti daging, susu, keju dan makanan diproses
    • Bersenam, berjalan, berenang ataupun berbasikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu
    • Jika merasa ingin membuang air, jangan berlengah
    • Tambahan supleman serat jika perlu
    • Gunakan julap. Pastikan anda mendapat nasihat dan berbincang dengan doktor dahulu
    • Cuba tambah probiotik dalam diet anda, seperti yang terdapat dalam yogurt

    Kesimpulannya, jika anda masih terfikir atau tertanya apa itu sembelit teruk dan ragu-ragu sama ada mempunyai penyakit sembelit ataupun tidak, periksa simptom yang kami nyatakan di atas.

    Namun, jika anda masih tidak pasti sama ada mengalami masalah ini, dapatkan konsultasi daripada doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan