Gamat: Hidupan Laut yang Kaya Khasiat

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 01/07/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi di mana anda terjatuh ketika bermain di luar rumah lalu terluka pada lutut serta siku, dan ibu anda menawarkan untuk menyapukan minyak gamat pada luka tersebut? Ini adalah situasi yang biasa dilalui oleh kita semasa zaman kanak-kanak. 

Dari dahulu sehingga kini, minyak gamat sentiasa menjadi ‘first aid’ buat ibu bapa kita. Persoalannya, adakah minyak gamat yang begitu terkenal sebagai  makanan dan ubatan tradisional ini berkesan? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut. 

Apakah itu gamat?

Gamat adalah sejenis hidupan laut daripada keluarga mentimun laut atau Holothuroidea. Ia sangat dikenali dalam kalangan negara-negara Asia sebagai ubat tradisional. Mentimun laut emas atau Stichopus horrens adalah jenis yang biasa digunakan. Juga dikenali sebagai “tripang emas’’, ia biasa dijadikan sebagai minyak, losen atau apa-apa bentuk sapuan yang lain. 

Selain itu, ia juga boleh dicampurkan dengan tanah liat dan dijadikan sebagai topeng muka, atau dicampurkan ke dalam teh dan digunakan untuk mengubati sakit perut. Para pengguna mempercayai bahawa campuran ini boleh menyembuhkan luka, ulser, dan berbagai-bagai lagi masalah kulit serta memperkuatkan sistem imunisasi tubuh badan.

Dalam pada itu, terdapat banyak lagi jenis spesies gamat. Secara umumnya, ia adalah spesies yang tidak bertulang dan mempunyai tubuh badan yang lembut. Kepelbagaian bentuk silinder yang dimilikinya adalah menyerupai tumbuhan daratan mentimun, maka tidak hairanlah ia digelar mentimun laut. Berikut merupakan antara spesies-spesiesnya:

  • Holothuria scabra
  • Holothuria spinifera 
  • Holothuria fuscogilva
  • Actinopyga mauritiana
  • Apostichopus japonicus
  • Parastichopus californicus 
  • Thelenota ananas
  • Acaudina molpadioides

Haiwan ini boleh membesar daripada beberapa millimeter sehingga mencapai saiz melebihi dua meter panjang. Ia terdiri daripada pelbagai kombinasi warna seperti hitam, putih, merah atau biru. Dalam pada itu, ia mempunyai taburan habitat yang luas di seluruh dunia termasuk di perairan Malaysia seperti di Pulau Langkawi dan Pulau Tioman.

Menurut kajian, ia mengandungi protein yang sangat tinggi iaitu sekitar 55% di samping pelbagai lagi nutrien yang lain seperti mucopolysaccharides dan saponin. Manakala, kandungan lemak di dalamnya pula adalah sangat rendah. Selain itu juga, ia turut mengandungi vitamin E yang terkandung dalam cecair badannya yang mempunyai aktiviti antioksida yang berfungsi dalam sistem pertahanan. Ini mampu mengurangkan risiko individu daripada dijangkiti penyakit sekali gus mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Selain itu, kajian awal juga menunjukkan bahawa ia mengandungi nutrien yang boleh berfungsi sebagai antibakteria, antifungus, antikanser atau antiradang. Ini menunjukkan bahawa haiwan ini mempunyai kegunaan yang meluas dan tidak hanya terhad kepada penyelesaian masalah kulit dan kesihatan yang umum sahaja.

Oleh itu, pelbagai kajian saintifik yang lebih mendalam amat diperlukan bagi membuktikan bahawa ia mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan selamat untuk dimakan atau diminum, seterusnya dikomersialkan di peringkat tempatan mahupun global. Jika berjaya, ia boleh jadi antara kaedah perubatan yang sangat popular di persada dunia.

Haiwan ini dikenali di serata dunia dengan pelbagai nama lain yang sangat unik dan menarik. Berikut adalah namanya yang berbeza mengikut bahasa:

Melayu: gamat

Indonesia: trepang

Inggeris: sea cucumber

Portugis: bicho do mar

Perancis: bêche-de-mer

Jepun: namako

Tagalog: balatan

Hawaii: loli

Populariti gamat di Malaysia

Di Malaysia, ia sangat terkenal sebagai ubat tradisional. Berbagai produk diperbuat daripada haiwan ini lalu menyebabkannya menjadi terhad dan sukar untuk ditemui lagi. Disebabkan itu, ia telah menjadi salah satu haiwan yang diancam kepupusan. Antara produk gamat yang paling popular adalah minyak gamat. Kebanyakan rumah di Malaysia pasti ada menyimpan ubat ini untuk digunakan bagi tujuan perubatan tradisional.

Masyarakat Melayu mengenalinya sebagai gamat. Ia akan disediakan sebagai hidangan makanan atau diproses untuk digunakan sebagai perubatan tradisional mahupun untuk tujuan kecantikan. Haiwan ini boleh dijadikan sebagai minyak, losen atau apa-apa bentuk sapuan untuk menyembuhkan luka atau pelbagai lagi masalah kulit yang lain. Disebabkan itu, ia sangat biasa digunakan sebagai sapuan pada wajah dan badan untuk mendapatkan kulit yang cantik. Selain itu, ia juga boleh diminum sebagai tonik kesihatan. 

Masyarakat Cina pula mengenalinya sebagai haishen yang membawa maksud ginseng laut. Ia telah disenaraikan sebagai ramuan perubatan tradisional dalam buku Bencao Gangmu iaitu materia medica, hasil tulisan Li Shezhen. Menurut perspektif perubatan Cina, ia boleh melancarkan perjalanan darah dan menyihatkan organ penting (jing) termasuklah menguatkan buah pinggang (gi). Jadi, mereka biasa menggunakannya untuk merawat masalah urinasi dan kelesuan tubuh badan. Selain itu, ia juga dipercayai sebagai simbol panjang umur. 

Masyarakat India dan pelbagai lagi masyarakat yang tinggal di Malaysia juga mempercayainya sebagai salah satu ubat tradisional yang sangat terkenal dan berkesan untuk merawat pelbagai masalah kulit atau apa-apa masalah kesihatan umum. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa ubat ini adalah ‘magis’ kepada masalah perubatan yang biasa. Pun begitu, tidak wajar untuk anda terlalu bergantung kepadanya. Jika berlaku apa-apa masalah kesihatan yang teruk, segera berjumpa dengan doktor untuk khidmat nasihat atau rawatan.

Gamat Sebagai Ubat Tradisional di Malaysia

Secara tradisional, produk berasaskan gamat digunakan untuk merawat luka, ulser atau apa-apa masalah kulit serta memulihkan kesihatan tubuh badan. Disebabkan itu, ia sangat popular sebagai minuman dalam kalangan wanita selepas melahirkan bayi. Selain itu, ia juga boleh digunakan oleh pesakit yang telah menjalani pembedahan untuk menyembuhkan bekas pembedahan. Dalam pada itu, terdapat juga gamat yang diformulasikan bersama pelbagai lagi herba lain sebagai ubat batuk, minyak angin atau minyak urut.

Sehingga hari ini, produk berasaskan gamat sentiasa mendapat tempat dalam kalangan penggunanya. Pun begitu, produk yang mengandungi gamat bagi pengambilan secara oral iaitu makan atau minum perlu diteliti pada labelnya terlebih dahulu sama ada ia selamat atau tidak untuk diambil sebagai langkah berjaga-jaga. Pengguna juga dinasihatkan untuk memastikan spesis haiwan ini yang diambil secara oral bagi mengurangkan risiko kesan sampingan akibat pengambilan gamat daripada spesis yang berbahaya.

Fakta unik dan menarik mengenai gamat

  • Ia tergolong dalam kumpulan haiwan yang dikenali sebagai echinoderms
  • Keluarganya yang terdekat adalah tapak sulaiman dan landak laut
  • Kebanyakannya hidup di dasar laut namun ada juga yang hidup di permukaan laut
  • Terdapat lebih daripada 1,250 spesiesnya ditemui di seluruh dunia
  • Saiznya bergantung kepada spesies, yang paling kecil boleh mencecah 0.12 inci manakala yang paling besar boleh mencecah 3.9 hingga 12 inci
  • Warnanya bergantung kepada spesies, sama ada hitam, putih, merah, biru, hijau atau coklat
  • Ia berbentuk seperti silinder dan boleh meregang
  • Ia mempunyai badan yang lembut walaupun mempunyai tulang pada luarnya
  • Struktur luarannya yang bertulang digunakan untuk melindungi diri dari pemangsa
  • Ia boleh berubah bentuk sesuai dengan tempat yang ingin dilaluinya
  • Ia menggunakan teknik memenuhkan organ dalamannya dengan toksik yang dipanggil sebagai holothurin untuk melindunginya dari pemangsa
  • Kesemua organ yang hilang akan tumbuh semula selepas 1.5 hingga 5 minggu
  • Ia mempunyai 5 pasangan tentakel pada permukaan badannya dan digunakan untuk bergerak dan makan
  • Ia tidak mempunyai otak dan sistem sarafnya tidak berfungsi dengan baik
  • Ia bernafas melalui anus dengan mengambil oksigen daripada air
  • Dietnya mengandungi pelbagai haiwan organik dan plankton yang terdapat di dasar laut
  • Ia memainkan peranan penting dalam membersihkan alam semula jadi dengan memakan bangkai haiwan yang mereput
  • Ia merupakan haiwan yang aktif pada waktu malam
  • Ia sering berada dan bergerak dalam koloni yang besar
  • 1,000 gamat boleh ditemui di sepanjang pantai di New Zealand
  • Ia membiak secara sendiri yakni tidak memerlukan pasangan berlainan jantina
  • Proses pembiakannya berlaku dalam air selepas sel telur dan sperma digabungkan 
  • Proses kehidupannya bermula daripada larva sebelum berubah menjadi gamat dewasa
  • Jangka hayat hidupnya bergantung kepada spesies dan kebanyakanya hidup di antara 5 hingga 10 tahun
  • Ia sangat terkenal sebagai ubat tradisional di negara Asia

Gamat sebagai makanan

Kebanyakan daripada kita beranggapan bahawa haiwan ini boleh diproses sebagai minyak, losen atau apa-apa bentuk sapuan yang boleh digunakan kepada kulit. Ia biasa digunakan sebagai ubat tradisional untuk menyembuhkan luka, ulser dan pelbagai lagi masalah kulit. Pun begitu, tahukah anda bahawa ia sebenarnya boleh dimakan?

Di kebanyakan negara di benua Asia termasuklah Malaysia, ia sebenarnya banyak dijadikan sebagai hidangan untuk dimakan. Apa yang mengejutkan ialah haiwan ini dikatakan mengandungi pelbagai manfaat dan khasiat seperti makanan laut yang lain. Sejauh manakah kebenarannya?

Sebelum itu, wajar untuk anda tahu mengenai kandungan nutrisi yang terdapat di dalamnya terlebih dahulu. Berikut merupakan contoh nutrisi yang terdapat di dalam 4 auns (112 gram) mentimun laut:

  • Kalori: 60
  • Protein: 14 gram
  • Lemak: kurang daripada 1 gram
  • Vitamin A: 8 peratus daripada RDI
  • Vitamin B2 (Riboflavin): 60 peratus daripada RDI
  • Vitamin B3 (Niacin) 16 peratus daripada RDI
  • Kalsium: 4 peratus daripada RDI
  • Magnesium: 4 peratus daripada RDI

Ia sangat kurang kalori dan lemak serta tinggi protein, menjadikannya sebagai makanan yang sesuai untuk individu yang sedang dalam usaha untuk menurunkan berat badan. Selain itu, ia juga mengandungi pelbagai lagi bahan lain yang kuat seperti antioksidan yang ternyata sangat bagus buat kesihatan anda.

Haiwan ini tinggi kandungan protein, dengan hampir kesemua spesiesnya mengandungi kira-kira 41 hingga 63 peratus protein. Menambahnya dalam diet dan snek anda mampu membantu anda mengawal kelaparan sekali gus membantu mengurangkan berat badan anda.

Berikut adalah kebaikan gamat sebagai makanan laut:

#1. Kaya dengan protein

Ia mengandungi protein yang lebih tinggi berbanding bahagian putih telur. Protein merupakan nutrien yang sangat penting dalam pembinaan semula sel dan tisu yang telah rosak. Ini sangat membantu proses merawat dan menyembuhkan luka. Tambahan lagi, protein yang tinggi juga membantu memberikan tenaga untuk menjalani aktiviti harian.

#2. Kaya dengan vitamin dan mineral

Ia mengandungi vitamin A, B1, B2, B3 dan C. Vitamin A membantu menyihatkan mata, vitamin B membantu menguatkan fungsi badan, manakala vitamin C pula membantu merangsang sistem imun badan. Selain vitamin, ia juga mengandungi pelbagai mineral penting seperti magnesium, zat besi dan kalsium.

#3. Antiradang

Menurut kajian yang dimuatkan dalam Marine Drugs pada Oktober 2011, ia mempunyai sifat antiradang yang boleh mengurangkan risiko pelbagai penyakit seperti artritis.

Sebatian yang terkandung di dalamnya termasuk mucopolysaccharides, chondroitin dan glucosamine memainkan peranan dalam mengurangkan iritasi bahkan boleh merawat keradangan. Ia juga boleh membantu menyembuhkan demam.

#4. Membantu merangsang sistem imunisasi

Memakannya mungkin boleh membantu merangsang sistem ketahanan tubuh badan anda. Ini disebabkan oleh kandungan glycine dan arginine yang mampu membantu menguatkan sistem imun badan. Glycine berperanan merangsang penghasilan antibodi, manakala arginine membantu menguatkan aktiviti limfosit (salah satu daripada komponen sistem imun).

#5. Membantu merawat mati pucuk

Sifat antiradangnya yang disebut di atas membantu dalam merawat banyak keadaan kesihatan. Dalam perubatan Cina, ia sangat dikenali sebagai rawatan kepada mati pucuk. Ini kerana ia kaya dengan chondroitin sulfate, yang juga merupakan komponen di dalam sendi. Maka, ia juga berperanan dalam merawat sakit sendi.

#6. Membantu merawat luka

Mentimun laut ini mampu membina semula tisu badannya apabila rosak atau cedera. Menurut kajian di dalam Marine Drugs, keupayaan ini adalah disebabkan oleh kandungan fatty acid seperti arachidonic acid.

Oleh sebab itu, ia boleh mempercepatkan penyembuhan luka. Antara yang biasa diamalkan adalah semasa tempoh berpantang untuk mempercepatkan penyembuhan luka bersalin.

#7. Membantu mengawal gula dalam darah

Ia juga dapat membantu anda mengawal kandungan gula dalam darah anda. Ini kerana ia adalah makanan yang sangat kaya dengan protein. Seperti yang anda semua tahu, makanan seperti ini sangat sesuai buat individu yang mengalami diabetes dan perlu mengawal pengambilan gula dalam diet seharian mereka.

#8. Membantu menjaga kesihatan jantung

Selain mengawal tahap gula dalam darah, makanan yang sangat kaya dengan protein seperti gamat juga sangat bagus untuk mengawal tekanan darah anda. Ini sekali gus dapat melancarkan perjalanan darah anda serta menjaga kesihatan jantung.

#9. Membantu mencegah kanser

Beberapa komponen di dalam gamat termasuk saponin dan philinopside A adalah agen antikanser yang berkesan. Ia telah dilihat memberikan kesan positif dalam mencegah kanser payudara, kolon (usus), prostat dan pankreas.

Di samping pelbagai manfaat yang diberikan oleh gamat, anda sebaiknya berbincang dengan doktor sebelum mengambilnya dalam bentuk oral (makan atau minum) terutamanya jika anda sedang mengambil ubat-ubatan tertentu. Makanan laut ini mungkin mempunyai tindak balas terhadap ubat-ubatan tersebut.

Konklusi

Konklusinya, gamat atau mentimun laut adalah sejenis haiwan laut yang mempunyai pelbagai kebaikan buat individu. Lihat sahaja penggunaannya di negara-negara Asia seperti Malaysia yang menjadikannya sebagai sumber utama perubatan tradisional. Buktinya, minyak atau losen gamat adalah ubat tradisonal terpenting dan terkenal digunakan oleh kesemua masyarakat di Malaysia tidak kira bangsa;Melayu, Cina, India ataupun lain-lain.

Namun begitu, anda tidak seharusnya bergantung sepenuhnya terhadap ubat tradisional ini walaupun ia sememangnya terbukti berkesan menyembuhkan luka, ulser atau pelbagai lagi masalah kulit dan lain-lain. Sebaiknya, segera berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan sekiranya anda mengalami apa-apa kesakitan. Jika masih ingin menggunakannya, dapatkan khidmat nasihat dan rawatan doktor pakar terlebih dahulu.

Selain itu, jika anda ingin membelinya di farmasi atau mana-mana pusat perubatan, pastikan produknya adalah diperbuat daripada gamat asli dan bukannya bahan buatan tiruan. Ini boleh dipastikan dengan menyemak label dan testimoni pengguna terlebih dahulu.

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda lebih mengenali haiwan ini dan mengetahui 1001 manfaat dan khasiatnya terhadap individu.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Seronoknya Dengar Tip Kembali Langsing Lepas Bersalin, Hanya Menyusukan Bayi, TAPI Benarkah?

    Penyusuan susu ibu berikan banyak faedah untuk ibu. Ini termasuk potensi menurunkan berat badan dengan lebih cepat setelah melahirkan anak. Tapi betul ke?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Keibubapaan, Penyusuan Badan 29/09/2020 . 3 minit bacaan

    Badan Gatal-gatal Kena Gigit Pepijat? Macam Mana Nak Atasi Masalah Ini?

    Badan anda dipenuhi kesan gigitan pepijat? Bagaimana hendak atasi? Pertama sekali, periksa katil anda sama ada ada pepijat atau telur.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Pusat Kesihatan, Keadaan Alergi/Autoimun 29/09/2020 . 4 minit bacaan

    5 Sebab Mengapa Tak Hamil Walaupun Ada Ovulasi, Para Wanita WAJIB Ambil Tahu Jika Nak Anak!

    Mengapa masih tidak hamil sedangkan ketika tempoh subur anda melakukan hubungan seks? Apakah punca yang mungkin menjadi penyebabnya? Ikuti penjelasan ini.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Kehamilan, Rancang Kehamilan 29/09/2020 . 3 minit bacaan

    Kanak-kanak 11 Tahun Maut Akibat Alahan Makanan, Bakteria Dalam Perut Adalah Puncanya?

    Alahan makanan dan minuman tertentu boleh membawa maut. Namun ada kajian terbaharu yang kata bakteria dalam perut boleh jadi jawapannya!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Pemakanan 29/09/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    zakar tidak tegang

    Masalah Mati Pucuk? Mari Fahami Disfungsi Ereksi Dan Cara Mengatasinya!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 30/09/2020 . 3 minit bacaan
    mati pucuk

    Mitos Mengenai Mati Pucuk (ED)

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 30/09/2020 . 3 minit bacaan
    ubat batuk

    Anak Batuk Teruk? Nanti Dulu, Ibu! Jangan Bagi Si Kecil Makan Ubat Batuk Sembarangan, Bahaya!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Diterbitkan pada 30/09/2020 . 3 minit bacaan
    wanita hamil

    Selamat Ke Untuk Wanita Mengandung Pakai Pelitup Muka? Ini Penjelasan Pakar!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 29/09/2020 . 3 minit bacaan