Selami Manfaat Ikan Haruan Yang Kaya Dengan Albumin

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 02/07/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Kebanyakan daripada kita pasti pernah terbaca atau terdengar berkenaan manfaat makan ikan haruan yang dikatakan boleh membantu menyembuhkan luka kanak-kanak lelaki bersunat atau wanita hamil bersalin. Persoalannya, adakah ini benar atau sekadar mitos semata-mata? Selain itu, adakah terdapat manfaat makan ikan haruan yang lain? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu ikan haruan?

Ikan haruan adalah sejenis ikan air tawar dan merupakan karnivor. Ia juga adalah spesies asli dari hutan hujan tropika yang boleh hidup dalam air payau serta biasa ditemui di Asia Tenggara termasuklah negara kita dan negara serantau. Kebiasaannya, saiz ikan ini yang besar akan dikenali sebagai toman manakala yang kecil akan dikenali sebagai haruan.

Di seantero dunia, terdapat lebih kurang 30 spesies ikan haruan dengan lapan daripadanya hidup di Sarawak, dua pula di Sabah dan empat lagi di Semenanjung Malaysia. Untuk pengetahuan anda, ikan toman, ikan haruan dan ikan bujuk merupakan satu keluarga yang sama cuma berlainan spesies.

Nama lain ikan haruan

Ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striata juga mempunyai pelbagai nama lain mengikut masyarakat negara masing-masing. Berikut merupakan nama-nama lainya:

  • Haruan – Malaysia
  • Gabus – Indonesia
  • Dalak – Brunei
  • Haloan / Halwan – Filipina
  • Pla chol – Thailand
  • Ngayan – Myanmar
  • Nga-mu porom – Meitei
  • Trey ross – Khmer
  • Xol – Assamese
  • Shol – Bengali
  • Sheula – Odia
  • Madenji – Tulu
  • Varaal – Kerala
  • Viral / Mural – Tamil
  • Loola – Sri Lanka
  • Snakehead – Inggeris

Deskripsi ikan haruan

Ikan haruan yang dewasa akan menunjukkan perlakuan monogami selain mempunyai daya penguasaan wilayah yang cukup kuat. Ia boleh hidup dalam pelbagai kondisi atau kawasan yang berair seperti air bertakung, air berlumpur serta air yang cetek. Pun begitu, ikan ini sebenarnya lebih mudah ditemui di kawasan kolam, sungai, tasik, sawah, muara sungai ataupun terusan pertanian.

Ikan ini kebanyakannya ditemui di negara China, Pakistan, India, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan kebanyakan negara di Asia Tenggara termasuklah Malaysia dan negara serantaunya. Pada permulaan abad ke-20, dikatakan bahawa ikan ini mula diperkenalkan di kawasan pulau seperti Kepulauan Mauritius, Oahu, Hawaii dan kemudiannya menular ke Madagascar. 

Ikan ini boleh membesar sehingga beberapa meter panjang. Pun begitu, saiz sebegini agak sukar ditemui lagi kini kerana aktiviti penangkapan ikan ini yang kian berleluasa terutamanya di kawasan luar bandar. Ikan dewasa adalah berwarna coklat gelap dengan corak berwarna hitam terang di sepanjang badannya. Ikan jantan dan betina kedua-duanya akan saling membantu dalam membina sarang menggunakan pelbagai tumbuhan laut semasa musim mengawan. Telur yang terhasil daripada perhubungan ini akan dijaga oleh kedua-dua mereka sehingga mereka menetas. Selepas menetas pula, anak ikan yang berwarna seakan-akan oren juga akan dijaga oleh kedua ibu bapa mereka sehingga mereka besar dan berwarna seakan-akan hijau dengan panjang sekitar 5 hingga 6 cm.

Ikan ini biasa ditemui di kawasan air tawar, di mana ia akan bermigrasi daripada sungai dan tasik ataupun memasukkan diri mereka ke dalam lumpur. Makanannya adalah katak, kumbang, ikan yang lebih kecil dan akan menyerang apa sahaja yang bergerak di hadapannya.

Fakta unik dan menarik tentang ikan haruan

  • Ikan ini merupakan sumber protein (albumin) sangat yang baik, iaitu dapat membekalkan kira-kira 60 hingga 70 peratus protein kepada manusia
  • Ikan ini mengandungi kandungan lemak yang rendah berbanding dengan ikan air tawar lain iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan beratnya sahaja adalah lemak
  • Ikan ini mengandungi sejumlah besar Vitamin A yang membantu menambah daya penglihatan, melembabkan kulit dan bertindak sebagai antioksidan yang melambatkan proses penuaan
  • Ikan ini mengandungi asid amino yang penting untuk menyembuhkan luka dan juga baik untuk penyakit gastrik
  • Ikan ini mengandungi glisin yang merupakan satu daripada komponen penting kolagen dalam kulit manusia
  • Ikan ini turut mengandungi asid arakidonik yang tinggi yang membantu memulakan proses darah menjadi beku dan bertanggungjawab untuk pertumbuhan semula sel baru

Ikan haruan sebagai sumber makanan

Ikan haruan adalah salah satu daripada sumber makanan laut utama pelbagai jenis masyarakat termasuklah masyarakat kita. Di negara kita, ia biasa dibuat sup atau digoreng atau dipanggang sahaja. Di Indonesia pula, ia sangat popular dimasak bersama dengan ubi kayu sebagai kari. Manakala di Filipina, ia selalu dihidangkan sama ada digoreng, dipanggang atau dijadikan sup.

Di Thailand, ikan ini sangat terkenal dengan kepelbagaian cara memasaknya. Ikan ini boleh ditemui di mana-mana pasar di sana. Antara menu yang paling mendapat sambutan hangat di sana adalah pla ra, sejenis sos ikan yang telah diperap untuk sekian lama.

Di Bangladesh pula, ikan ini biasa dimakan bersama nasi. Bukan sahaja di sini, malahan hampir di seluruh kawasan yang merupakan pemakan ikan ini juga banyak yang memakannya bersama dengan nasi, termasuklah masyarakat kita juga.

Kandungan nutrisi ikan haruan

Bagi setiap 150 gram hidangan ikan haruan, kandungan nutrisinya adalah seperti berikut:

Kalori 118 Sodium 0 mg
Lemak 4 g Potasium 0 mg
Lemak tepu 0 g Karbohidrat 15 g
Lemak tidak tepu 0 g Serat 0 g
Lemak tidak tepu tunggal 0 g Gula 0 g
Lemak trans 0 g Protein 20 g
Kolesterol 0 mg Kalsium 6%
Vitamin A 0% Zat besi 2%
Vitamin C 0%

Ikan haruan mempunyai pelbagai jenis nutrisi seperti mana yang tertulis di atas. Pun begitu, antara manfaat utama ikan ini adalah ia merupakan sumber protein dan karbohidrat yang sangat baik.

Manfaat ikan haruan terhadap kesihatan

Seperti yang anda ketahui, ikan haruan sangat kaya dengan protein. Jenis protein yang terdapat di dalam ikan ini adalah albumin, yang sangat penting buat tubuh badan. Berikut merupakan manfaat albumin terhadap kesihatan kita.

#1. Membantu mengekalkan cecair dalam tubuh badan

Untuk pengetahuan anda, tubuh badan kita mengandungi 70% air. Kita memang memerlukan air untuk terus hidup namun pengambilannya tidak selalu mencukupi. Sel dalam tubuh badan pula memerlukan banyak air untuk proses metabolisma. Jadi, bagaimana untuk mengekalkan keseimbangan air dalam tubuh badan? Jawapannya adalah albumin yang terdapat dalam ikan ini. Ia mampu membantu menyeimbangkan kandungan air dalam sel darah sekiranya sel darah kita kekurangan air. Jika kandungan air ini melebihi yang sepatutnya pula, ia akan berperanan mengeluarkan air tersebut daripada sel dan masuk kembali ke dalam darah, sehingga kandungan air dalam tubuh badan kita menjadi stabil.

 

#2. Membantu membentuk sel darah putih

Sel darah putih berfungsi sebagai bahagian penting dalam sistem imun tubuh badan. Apabila ada objek asing memasuki tubuh badan, sel darah putih adalah pertahanan penting tubuh badan yang mempunyai sifat-sifat fagosit. Albumin yang terdapat di dalam ikan ini boleh memainkan peranan penting dalam pembentukan sel darah putih. Kekurangannya pula boleh menyebabkan tubuh badan mudah mengalami kesakitan atau keradangan.

#3. Membantu membaiki sel tisu rosak

Albumin yang terdapat dalam ikan ini memainkan peranan yang sangat penting dalam membaiki proses pertumbuhan semula sel dalam tubuh badan. Ini adalah sangat penting jika tisu dalam tubuh badan anda telah rosak. Ia bukan sahaja mampu melancarkan proses itu, malahan juga akan menghantar isyarat kepada sistem imun tubuh badan jika ada sel dan tisu yang rosak. Tanpa albumin, proses ini masih berlaku tetapi sedikit lambat.

#4. Membantu mengelakkan pembengkakan

Albumin merupakan protein yang sangat diperlukan untuk mengelakkan pembengkakan. Untuk pengetahuan anda, pembengkakan atau edema berlaku kerana sel darah mula hilang bentuk. Meskipun sel darah adalah berbentuk cecair, akan tetapi di dalamnya terdapat molekul dan partikel yang biasanya tidak bercampur antara satu sama lain. Albumin yang terdapat dalam ikan ini adalah bahan yang mampu untuk mencampurkan sel-sel darah ini. Sekiranya albumin dalam tubuh badan tidak mencukupi, ia mungkin akan menyebabkan perkumpulan darah pada sesuatu bahagian pada tubuh badan sekali gus mengakibatkan pembengkakan.

 

#5. Membantu menyimpan nutrisi dan hormon

Sama seperti asid lemak yang membantu menyimpan dan memproses vitamin, albumin juga mempunyai fungsi yang sama. Albumin yang terdapat dalam ikan ini bukan sahaja akan membantu menyimpan sel darah, malahan juga pelbagai lagi nutrisi yang lain. Hormon, protein dan mineral akan disimpan di dalam albumin untuk disebarkan ke keseluruhan tubuh badan. Jadi, kekurangan albumin ini pasti akan mengakibatkan gangguan dalam sistem peredaran tubuh badan kita.

#6. Membantu menyembuhkan sakit kulit

Ikan haruan dengan kesihatan kulit adalah saling bersinonim antara satu sama lain. Banyak kajian yang mengatakan bahawa hampir kesemua jenis penyakit kulit menunjukkan tanda penyembuhan yang lebih cepat apabila pesakit memakan ikan ini ataupun apa-apa produk yang berasaskannya. Antara penyakit kulit yang dapat dirawat dengan ekstrak ikan ini adalah kurap, kayap, luka serta bengkak. 

Berdasarkan satu kajian, ditemui bahawa ikan ini mengandungi asid arachidonik yang tinggi dan sangat bermanfaat dalam membantu proses penyembuhan sebarang penyakit kulit. Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa ikan ini mempunyai hampir semua asid amino dan asid lemak yang sangat bermanfaat untuk menyembuhkan penyakit kulit. Disebabkan itu, banyak produk perubatan kulit adalah berasaskan ikan haruan.

#7. Membantu melambatkan proses penuaan

Selain sangat bermanfaat untuk menyembuhkan sakit kulit, ikan ini mengandungi asid olelik dan linolik tidak tepu dan menariknya, kandungan kolagen yang dapat mencantikkan kulit.Bukan itu sahaja, ikan ini juga mengandungi kandungan vitamin A yang sangat tinggi yang berupaya untuk membantu menambah daya penglihatan, melembapkan kulit dan bertindak sebagai antioksidan sekali gus melambatkan proses penuaan. 

Manfaat ikan haruan yang lain

Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa manfaat ikan haruan ini bukan sahaja kerana kandungan albumin, malahan juga disebabkan oleh kandungan lain di dalamnya. Berikut merupakan beberapa manfaat ikan haruan yang lain:

  • Terdapat beberapa penyakit yang disebabkan oleh kekurangan albumin, seperti sakit buah pinggang, kanser, strok, diabetes dan tuberkulosis. Rawatan bagi penyakit-penyakit ini pula adalah dengan pengambilan albumin.
  • Ia digunakan untuk meningkatkan tekanan darah osmotik, yang kebiasaannya akan menjadi rendah (kurang daripada 3.5 – 5.5 g/dl) yang akan menyebabkan inflamasi atau edema di sebahagian tubuh badan.
  • Sebagai contoh, ada individu yang menghidapi diabetes dan mengalami kebengkakan pada kaki. Antara cara untuk meningkatkan albumin adalah pengambilan albumin secara terapi perubatan. Pun begitu, ada juga cara lain yang boleh memberikan tubuh badan kita albumin yang diperlukan seperti makan ikan haruan tidak kira dalam bentuk makanan, kapsul, jel, pati atau cecair.
  • Selain itu, albumin yang terdapat dalam ikan ini juga mengandungi zat besi yang sangat popular dalam penyembuhan luka. Disebabkan itu, ramai individu dari Sulawesi dan Kalimantan, Indonesia menggunakan ikan ini untuk menyembuhkan luka yang disebabkan oleh proses berkhatan kanak-kanak lelaki dan proses bersalin wanita hamil.
  • Albumin yang terdapat dalam ikan ini juga diketahui mempunyai asid amino di dalamnya. Jenis-jenis asid amino seperti arginin, lisin, isoleusi, vialin, glutamine dan histidin. Sebagai contoh, glutamine boleh digunakan untuk memperbaiki sistem imun dalam tubuh badan. Jadi, ia sudah pasti mampu mempercepatkan lagi proses penyembuhan luka. 
  • Ramai individu yang telah menggunakan manfaat ikan haruan ini untuk kesihatan mereka, termasuklah pesakit kanser. Dikatakan, pesakit kanser sangat mudah kehilangan rambut mereka. Namun begitu, jika mereka banyak mengambil albumin dari ikan ini, kemungkinan untuk mereka mengalaminya adalah lebih rendah.

Khasiat ikan haruan terhadap ibu bersalin

Ikan haruan sangat popular digunakan di dalam proses penyembuhan luka selain merawat penyakit berkaitan kulit seperti keradangan, kegatalan dan sebagainya. Pernahkah anda terbaca atau terdengar mengenai khasiat ikan ini terhadap ibu bersalin? Adakah ini benar?

Ya, memang ada individu yang mengambil pati ikan haruan untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka selepas bersalin, terutamanya yang bersalin dengan menggunakan proses pembedahan caesarean.

Persoalannya, mengapa ikan haruan yang dipilih untuk digunakan?

Ini kerana ekstrak ikan ini mengandungi khasiat tertentu yang mampu membantu proses penyembuhan luka seperti glisin dan asid amino yang sangat diperlukan. Selain itu, ia juga mempunyai asid arakidonat dan asid lemak tidak tepu pada tahap yang tinggi untuk menghasilkan kesan antiradang serta menggalakkan sintesis prostaglandin yang sangat penting dalam membantu tubuh badan membaiki kerosakan pada tisu. Dalam pada itu, ia juga menggalakkan pembentukan semula kolagen melalui sintesis sambung silang intermolekul dan intramolekul protein. Ini akan menghasilkan peningkatan yang ketara dalam kekuatan tegangan yang mempercepatkan lagi proses penyembuhan luka.

Menurut kajian yang pernah dilakukan oleh Prof. Dr. Nurpudji dari Universiti Hasanudin, Makassar, ditemui bahawa kadar albumin pesakit di Hospital Wahidin Sudiro Husodo telah meningkat dengan mendadak selepas beberapa kali memakan ikan haruan, sekali gus mempercepatkan proses penyembuhannya selepas bersalin.

Manakala kajian sama yang telah dilakukan oleh Dr. Saiful Anwar Malang menunjukkan bahawa pemberian 2kg ikan haruan masak setiap hari kepada pesakit di hospital selepas bersalin mampu mengembalikan paras albumin mereka menjadi normal semula.

Sementara itu, kajian sama yang dilakukan di Universiti Hasanudin juga menunjukkan bahawa kadar albumin dalam darah pesakit mula meningkat dari 0.6 hingga 0.8 g/dl selepas diberikan ekstrak ikan haruan selama kira-kira 2 minggu.

Konklusi

Konklusinya, ikan haruan adalah sejenis ikan air tawar yang sangat bagus untuk kesihatan tubuh badan kita terutamanya bahagian kulit. Kandungan albuminnya yang sangat tinggi menjadikannya sangat sesuai digunakan oleh ibu yang baru sahaja bersalin untuk proses mempercepatkan proses penyembuhan luka.

Pun begitu, lebih banyak kajian mengenainya perlu dijalankan untuk mengetahui kesahihannya. Sila rujuk doktor untuk mendapat lebih kepastian mengenainya. Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu mengetahui dan mengenali ikan haruan dan menjawab kesemua persoalan anda. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Menghidap Kanser Prostat, Jangan Takut Untuk Buat Saringan & Diagnosis Ini

    Kanser pada kelenjar prostat adalah kanser kedua terlazim didiagnosis di seluruh dunia. Ketahui cara dan prosedur yang dijalankan bagi mendiagnosisnya.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Prostat, Kanser 22/10/2020 . 6 minit bacaan

    Apa Itu Kanser Prostat: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

    Kanser prostat lazim didiagnosis dalam kalangan lelaki terutamanya mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas. Rawatan bagi masalah ini...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Prostat, Kanser 22/10/2020 . 6 minit bacaan

    Kenapa Berhenti Jalani Rawatan Kanser Payudara Ketika Pandemik? Jom Sokong Kempen #UnPause!

    Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara ketika pandemik COVID-19 tahun ini, marilah kita bersama menyokong kempen #UnPause. Apakah ia? Baca ini.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Kanser Payudara, Kanser 22/10/2020 . 3 minit bacaan

    Malaysia Pernah Jadi Negara Bebas Polio, Tapi Jangan Anggap Kita Sudah Selamat, Wajib Ambil Vaksin!

    Bersempena Hari Polio Sedunia 2020 ini, marilah kita bersama mengingati akan bahaya dan kesan penyakit ini. Jom baca artikel untuk tahu lebih lanjut!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Kesihatan A-Z, Kesihatan A-Z 22/10/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    barah prostat

    Ambil Tahu Punca Dan Faktor Risiko Kanser Prostat, Cegah Sebelum Terlambat

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 5 minit bacaan
    Pencegahan prostat

    Pencegahan Kanser Prostat

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 4 minit bacaan
    terapi prostat

    Rawatan Kanser Prostat

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 5 minit bacaan
    prostat bengkak

    Mengalami Masalah Kencing Yang Teruk? Hati-Hati Ia Mungkin Simptom Kanser Prostat

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 5 minit bacaan