backup og meta

RSV Undang Bahaya Pada Anak, Parents Lakukan Langkah Pencegahan Ini!

Antara penyakit pernafasan yang berisiko menjangkiti bayi dan kanak-kanak adalah Respiratory Syncytial Virus (RSV). Apa itu RSV dan bagaimana untuk mencegahnya?

Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.

Apa itu RSV?

Respiratory Syncytial Virus (RSV) adalah virus pernafasan yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru dan saluran pernafasan.

Adakah RSV penyakit berjangkit?

Ya, RSV adalah satu penyakit berjangkit malah ia sangat mudah berjangkit. 

Biasanya simptom RSV pada kanak-kanak dan bayi akan menyebabkan mereka mengalami keadaan seperti batuk, demam, hidung berair dan selesema

Bagi kebanyakan individu dewasa dan kanak-kanak yang lebih besar, jangkitan RSV mungkin hanya seperti selesema biasa. 

Namun bagi bayi, terutamanya yang berusia di bawah 2 tahun, RSV boleh menjadi lebih serius. Malah menyebabkan penyakit lebih teruk seperti bronkiolitis (radang salur udara kecil dalam paru-paru) dan pneumonia (radang paru-paru).

[embed-health-tool-vaccination-tool]

Dianggarkan hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti RSV sekurang-kurangnya sekali sebelum usia 2 tahun.

Walaupun majoriti pulih tanpa komplikasi, terdapat sebilangan yang memerlukan rawatan di hospital akibat kesukaran bernafas dan paras oksigen rendah.

Apa itu RSV: Vaksin?

Vaksin RSV adalah satu bentuk imunisasi yang direka untuk melindungi individu daripada jangkitan serius disebabkan oleh virus ini.

Terdapat beberapa bentuk perlindungan terhadap RSV:

Vaksin RSV untuk wanita hamil – diberikan kepada ibu pada trimester ketiga kehamilan untuk memindahkan antibodi perlindungan kepada bayi dalam kandungan.

Suntikan antibodi (monoklonal) – diberikan secara terus kepada bayi selepas lahir untuk memberi perlindungan segera dan berpanjangan.

apa itu RSV
Bayi selepas lahir juga boleh terus diberikan suntikan antibodi RSV.

Vaksin untuk orang dewasa warga emas dan individu berisiko tinggi – bertujuan melindungi golongan dewasa dengan imuniti rendah.

Untuk kanak-kanak, terutamanya bayi baru lahir dan bayi pramatang, suntikan antibodi RSV terbukti sangat berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan yang serius.

Adakah vaksin ini selamat?

Ya, vaksin RSV dan suntikan antibodi yang diluluskan telah menjalani kajian klinikal yang ketat untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya.

Kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini adalah ringan dan sementara, seperti bengkak di tempat suntikan atau demam ringan.

Pun begitu, anda digalakkan untuk berbincang dengan doktor atau profesional kesihatan terlebih dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sesuai dengan keperluan anda dan keadaan si kecil.

Apa itu RSV: Pentingnya vaksin RSV untuk anak

Persoalan tentang apa itu RSV dan adakah RSV penyakit berjangkit sudah pun terjawab. Jom kami kongsikan pula kepentingan untuk memastikan anak menerima suntikan vaksin RSV.

1. Mencegah penyakit pernafasan serius

RSV boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan yang teruk seperti bronkiolitis dan pneumonia, terutamanya dalam kalangan bayi bawah 2 tahun.

Vaksin RSV atau suntikan antibodi membantu mengurangkan risiko jangkitan ini dengan menguatkan sistem imun anak, sekaligus mengelakkan komplikasi yang boleh menjejaskan perkembangan paru-paru mereka.

2. Lindungi bayi pramatang dan lemah imun

Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan mempunyai paru-paru yang belum matang dan sistem imun yang lemah. Mereka juga tidak sempat menerima antibodi secukupnya daripada ibu semasa dalam kandungan.

apa itu RSV
Bayi pramatang amat terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan.

Vaksin RSV menjadi penting sebagai perlindungan tambahan kepada kumpulan ini. Ia juga sangat berguna untuk kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung kongenital atau masalah paru-paru kronik.

3. Kurangkan beban kesihatan

Setiap tahun, ribuan bayi dimasukkan ke hospital akibat RSV. Dengan vaksin, kadar kemasukan ke hospital dapat dikurangkan.

Ini sekali gus mengurangkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan serta mengelakkan tekanan emosi dan kewangan kepada ibu bapa.

Apa itu RSV #4. Berikan perlindungan awal 

RSV lazimnya menjangkiti bayi dalam tahun pertama kehidupan mereka. Dengan pemberian imunisasi kepada ibu hamil atau bayi selepas lahir, perlindungan dapat diberikan sejak awal – ketika mereka paling rentan terhadap jangkitan.

5. Kurangkan risiko jangka panjang terhadap paru-paru

Terdapat kajian yang menunjukkan bayi yang pernah dijangkiti RSV teruk mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami masalah pernafasan kronik seperti asma atau hiperaktif saluran pernafasan apabila mereka besar. 

Vaksin RSV dapat mengurangkan kemungkinan jangkitan teruk dan seterusnya membantu menjaga kesihatan paru-paru dalam jangka panjang.

apa itu RSV
Risiko alami masalah pernafasan kronik lebih tinggi jika pernah dijangkiti RSV.

6. Menyokong kehadiran ke taska dan prasekolah

Kanak-kanak yang dijangkiti RSV perlu berehat di rumah dalam tempoh yang lama. Ini boleh menjejaskan kehadiran ke pusat jagaan harian atau prasekolah serta mengganggu rutin harian keluarga. Dengan perlindungan melalui vaksin, risiko ini dapat dikurangkan.

Apa itu RSV #Kesimpulan 

RSV merupakan virus yang sangat biasa tetapi boleh membawa kesan serius kepada kanak-kanak kecil, terutamanya bayi. 

Ibu bapa kini mempunyai cara untuk melindungi anak daripada penyakit berbahaya ini melalui suntikan vaksin RSV. Berbincanglah dengan doktor atau pakar pediatrik untuk mengetahui pilihan imunisasi RSV yang sesuai bagi anak anda. 

Pencegahan sentiasa lebih baik daripada merawat – dan dalam kes RSV, langkah pencegahan ini boleh menyelamatkan nyawa.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Respiratory syncytial virus (RSV). https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/respiratory-syncytial-virus/symptoms-causes/syc-20353098. Accessed on May 19, 2025.
  2. RSV (Respiratory Syncytial Virus). https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/rsv-respiratory-syncytial-virus. Accessed on May 19, 2025.
  3. RSV (Respiratory Syncytial Virus). https://www.cdc.gov/vaccines/vpd/rsv/index.html. Accessed on May 19, 2025.
  4. RSV vaccine. https://www.nhs.uk/vaccinations/rsv-vaccine/. Accessed on May 19, 2025. 
  5. Respiratory syncytial virus (RSV) immunisation for children. https://pch.health.wa.gov.au/~/media/Files/Hospitals/PCH/General-documents/Patients-and-Families/Health-facts/RSV-immunisation-for-children.pdf. Accessed on May 19, 2025.
  6. Respiratory syncytial virus (RSV) vaccine. https://www.health.gov.au/topics/immunisation/vaccines/respiratory-syncytial-virus-rsv-vaccine. Accessed on May 19, 2025.
  7. What you should know about RSV and the RSV vaccine. https://www.mayoclinichealthsystem.org/hometown-health/featured-topic/what-parents-should-know-about-rsv. Accessed on May 19, 2025. 
  8. Can an RSV Vaccine Protect Infants From the Virus? https://health.clevelandclinic.org/rsv-vaccine-kids. Accessed on May 19, 2025.
  9. RSV Immunization Guidance for Infants and Young Children. https://www.cdc.gov/rsv/hcp/vaccine-clinical-guidance/infants-young-children.html. Accessed on May 19, 2025.

Versi Terbaru

21/05/2025

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Bayi Bawah 1 Tahun Berisiko Alami Batuk Kokol, Elak Dengan Vaksin 6 Serangkai Ini

Hati-Hati Jika Alami 7 Perkara Ini, Anda Mungkin Terkena Jangkitan Pernafasan Paru-Paru!


Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor · · · Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Dikemas kini 21/05/2025

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan