Ramai pesakit diabetes tidak sedar bahawa perubahan pada sistem saraf boleh bermula daripada tanda awal seperti kaki pesakit kencing manis yang sering kebas, rasa mencucuk, atau menjadi lebih sensitif.
Kaki pesakit kencing manis merujuk kepada keadaan apabila saraf dan salur darah di bahagian kaki mengalami kerosakan akibat paras glukosa yang tinggi dalam jangka masa panjang. Kerosakan inilah yang akhirnya menyebabkan pesakit mengalami simptom seperti kebas, kesemutan, rasa terbakar serta perubahan pada warna kulit, dan jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius.
Apabila masalah saraf ini bertembung pula dengan jangkitan kayap, kesannya boleh menjadi lebih teruk dan berpanjangan.
Kedua-dua diabetes dan kayap sebenarnya berkongsi laluan kerosakan saraf yang saling berkaitan, menjadikan pesakit lebih mudah mengalami kesakitan mendalam serta proses pemulihan yang perlahan.
Artikel ini akan menerangkan bagaimana kedua-dua keadaan ini menjejaskan saraf, kesannya terhadap tubuh, dan mengapa pengesanan awal amat penting.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Kaki pesakit kencing manis: apa yang berlaku pada saraf ketika jangkitan kayap?
Kayap berlaku apabila virus cacar air, varicella-zoster virus atau VZV) yang pernah wujud dalam badan sejak kecil kembali aktif.
Statistik menunjukkan bahawa 1 daripada 3 orang akan mengalami pengaktifan semula virus ini sepanjang hidup mereka.1,2,3
Apabila VZV “kembali aktif”, ia bergerak melalui urat saraf menuju ke kulit.
Pergerakan inilah yang menyebabkan rasa panas, mencucuk, menyengat, atau seperti ditikam. Kesemua ini merupakan gejala awal yang biasa muncul beberapa hari sebelum ruam timbul.
Ruam kayap pula muncul mengikut laluan saraf terlibat, biasanya pada satu bahagian badan atau muka.
Namun, VZV boleh menyerang pelbagai jenis saraf, menjadikan simptom setiap pesakit berbeza dan kadangkala tidak dijangka.1

Infografik ini adalah hak milik Hello Doktor.
Rujukan: Mayo Clinic Staff. (2022, August 20). Shingles – Symptoms and causes. Mayo Clinic. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/shingles/symptoms-causes/syc-20353054.
Lebih membimbangkan, kayap boleh mencetuskan komplikasi jangka panjang seperti postherpetic neuralgia (PHN), iaitu sakit saraf yang boleh berlangsung selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun walaupun ruam sudah sembuh.1
Seseorang yang telah mempunyai masalah saraf seperti rasa kebas di tapak tangan dan kaki akan berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi saraf yang lebih teruk kerana laluan saraf yang sedia ada telah pun lemah sebelum virus kayap mula menyerang.,
Kenapa pesakit diabetes lebih mudah terjejas bila diserang kayap?

Kejadian kayap meningkat dengan ketara apabila seseorang mula memasuki usia 50-60 tahun.1* (Data Amerika Syarikat,¹ mungkin tidak mewakili situasi di seluruh dunia)
Pada masa yang sama, diabetes menyerang saraf menerusi keadaan yang dikenali sebagai neuropati diabetes, iaitu kerosakan saraf akibat paras gula yang tinggi secara kronik.
Keadaan ini biasa disebut sebagai kaki kencing manis kerana kerap berlaku pada anggota badan bahagian bawah seperti kaki.
Apabila paras glukosa terlalu tinggi dalam tempoh lama, ia akan menyebabkan:
- Salur darah kecil yang membekalkan oksigen kepada saraf menjadi rosak
- Nutrisi ke saraf berkurang
- Saraf menjadi lemah, meradang dan lambat menghantar isyarat
Ini menyebabkan pesakit kaki kencing manis mengalami simptom seperti:
- Rasa kebas di kaki
- Kesemutan
- Rasa terbakar atau mencucuk
- Perubahan pada kulit seperti kehitaman di kaki yang hampir sama dengan simptom saraf akibat kayap.
Disebabkan saraf pesakit diabetes sudah pun dalam tekanan, apabila kayap menyerang, ia menghasilkan “double hit“ atau tekanan berganda pada sistem saraf:
- Imuniti lemah akibat diabetes meningkatkan risiko jangkitan termasuk kayap.4 5 6 7
- Virus cacar air aktif semula, merosakkan saraf yang sudah pun tidak stabil.
- Penuaan & stres turut melemahkan sistem imun, mengurangkan keupayaan tubuh melawan keradangan.
Hasilnya, pesakit diabetes sering mengalami:8 9 10 11
- Sakit yang lebih teruk berbanding mereka tanpa diabetes
- Risiko komplikasi saraf lebih tinggi
Tidak hairan jika ramai yang melaporkan rasa kebas di kaki menjadi lebih teruk semasa atau selepas episod kayap.
Bila neuropati diabetes & kayap bertembung: kenapa sakit kaki kencing manis jadi lebih teruk?
Jika seseorang yang sudah mempunyai neuropati diabetes diserang kayap, kerosakan saraf menjadi lebih kompleks.
Antara kesan yang boleh berlaku:
#1. Saraf sukar pulih
Saraf pesakit diabetes sudah pun kurang bekalan oksigen dan nutrisi.
Apabila VZV menyebabkan keradangan saraf, proses pemulihan menjadi lebih perlahan.12 13
#2. Pengaliran darah perlahan 14
Sirkulasi darah yang kurang baik melambatkan pengaliran nutrisi ke kawasan radang, menjadikan pemulihan kulit dan saraf mengambil masa lebih lama daripada biasa.
#3. Kesakitan menjadi lebih kuat
Apabila saraf pesakit diabetes telah mula mengalami kerosakan, maka serangan kayap yang ringan pun boleh dirasakan terlalu sakit atau seperti rasa terbakar.15
#4. Risiko PHN meningkat
Ramai pesakit diabetes mengalami sakit saraf berpanjangan selepas ruam hilang akibat kerosakan saraf berganda.12
#5. Aktiviti harian terjejas12
Geseran fabrik baju, peluh, malah hembusan angin pun boleh mencetuskan rasa ngilu atau “electric shock“.
Kombinasi ini menjadikan pengurusan gejala semakin kompleks dan memerlukan perhatian doktor lebih awal.
Memahami bagaimana kaki kencing manis, neuropati, dan kayap saling berkait dapat membantu pesakit mengurus gejala dengan lebih baik.
Nampak tanda awal kayap? Pesakit kencing manis wajib jumpa doktor segera!

Simptom awal kayap selalunya bermula dengan:16
- Rasa pedih
- Kulit sensitif pada satu sisi badan
- Rasa panas, mencucuk, menyengat atau kesemutan
Bagi pesakit diabetes khususnya mereka dengan keadaan kaki kencing manis yang teruk dan mengalami kaki kebas, tanda awal sebegini perlu diberi perhatian serius kerana:
- Ia boleh disalah anggap sebagai tanda tanda kencing manis pada kaki
- Rawatan antiviral yang dimulakan awal boleh mengurangkan risiko komplikasi saraf
- Stres akibat kayap boleh meningkatkan paras gula buat sementara
Berjumpa doktor lebih awal membolehkan:
- Pengesahan diagnosis sama ada ia kayap atau neuropati
- Rawatan antiviral dimulakan secepat mungkin
- Pemantauan paras glukosa yang lebih ketat
- Strategi mengurus kesakitan dan penyembuhan saraf
Selain rawatan, amalan seperti tidur mencukupi, mengurangkan stres dan mengawal pengambilan gula juga membantu meningkatkan kesihatan pesakit.17
Namun perlu diingat bahawa langkah-langkah ini bukan untuk mencegah kayap, tetapi untuk menyokong proses pemulihan saraf.
Dapatkan nasihat doktor untuk memahami dengan lebih jelas tentang jangkitan kayap.
*Semua kandungan dihasilkan oleh Hello Doktor

Program pendidikan ini dibawakan kepada anda oleh GSK.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi doktor anda.
GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd 195801000141(3277-U)
©2026 syarikat kumpulan GSK.
NP-MY-HZU-WCNT-250001 1/26
[embed-health-tool-bmi]



