Paxlovid merupakan ubat khas untuk rawatan COVID 19 yang kini sedang menjadi perbualan hangat orang ramai. Di negara kita, ubat Paxlovid Malaysia dijangkakan akan mula digunakan secepat mungkin untuk membanteras penyebaran COVID-19.
Tetapi, apakah yang istimewa mengenai Paxlovid? Ubat antiviral oral ini boleh diambil di rumah untuk mengelakkan pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi daripada dimasukkan ke hospital.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 48,000 pil Paxlovid telah diterima pada 11 April lalu.
Ubat untuk rawatan COVID 19 ini digalakkan untuk pesakit berisiko tinggi, penghidap COVID 19 tahap dua dan tiga serta mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang tidak memerlukan bantuan oksigen, namun berisiko untuk mengalami simptom yang serius.
Jadi, apakah Paxlovid dan bagaimana ia berfungsi? Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai Paxlovid Malaysia, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Paxlovid – Rawatan COVID 19 baharu dalam bentuk pil
Paxlovid merupakan sejenis ubat yang diambil secara oral. Ia mengandungi dua bahan aktif iaitu PF07321332/Nirmatrelvir dan Ritonavir dalam dua ubat yang berbeza.
Ubat ini dapat mengurangkan replikasi virus dan membolehkan sistem pertahanan badan melawan jangkitan.
Ubat yang dihasilkan oleh Pfizer ini mempunyai banyak kelebihan. Ia dikatakan dapat mengurangkan 89% risiko hospitalisasi disebabkan COVID-19.
Malah, National Institutes of Health (NIH) juga menggalakkan pengambilan Paxlovid sebagai rawatan COVID 19. Ia lebih murah, mudah diambil dan mungkin berkesan untuk melawan varian Omicron.
Walau bagaimanapun, Paxlovid bukanlah pengganti vaksin. Vaksin masih lagi wajib diambil. Jadi, anggaplah ubat COVID-19 ini sebagai senjata tambahan.
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai Paxlovid Malaysia, rawatan COVID 19 yang terbaharu untuk melawan virus ini.
Bagaimana Paxlovid berfungsi?
Paxlovid merupakan sejenis ubat antiviral yang mengandungi dua ubat berbeza. Dalam sebungkus Paxlovid, ada 2 pil nirmatrelvir dan 1 pil ritonavir.
Nirmatrelvir merupakan ubat yang bertanggungjawab menghentikan virus daripada melakukan replikasi, manakala ritonavir pula adalah ubat yang pernah digunakan untuk merawat HIV/AIDS dan berfungsi untuk menguatkan lagi tahap keberkesanan ubat antiviral ini.
Dalam rawatan COVID 19, ritonavir mempunyai fungsi tambahan. Ia akan menghentikan proses metabolisme nirmatrelvir supaya ia tidak akan disingkirkan daripada badan dengan pantas.
Oleh sebab itu, ubat ini dapat kekal lebih lama dalam badan dan membantu sistem imun pesakit untuk melawan jangkitan dengan lebih efektif.
Bilakah saya perlu mengambil Paxlovid?
Pesakit digalakkan untuk mengambil Paxlovid pada 5 hari pertama COVID-19. Malah, ubat ini paling berkesan jika diambil secepat mungkin.
Menurut Dr. Jeffrey Topal dari Yale Medicine, Paxlovid paling berkesan jika digunakan pada awal jangkitan.
Jika pesakit telah dijangkiti COVID-19 lebih dari seminggu, sebarang kerosakan pada badan disebabkan virus ini sudah terlalu serius untuk diubati.
Sama seperti ubat lain, Paxlovid juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri.
Menurut ujian klinikal yang dijalankan, 5.6% pesakit akan alami dysgeusia (masalah merasa), 3.1% mengalami cirit birit, 1.4% pening kepala dan 1.1% lagi muntah-muntah.
Warga emas adalah golongan yang perlu dipantau untuk sebarang kesan sampingan.
Pesakit perlu mengambil pil Paxlovid dua kali sehari dalam masa 5 hari. Jadi, jumlah kesemua pil yang perlu diambil adalah sebanyak 30 biji.
Pesakit buah pinggang atau kerosakan hati juga tidak digalakkan untuk mengambil Paxlovid. Oleh sebab itu, mereka yang menghidap penyakit ini perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai dos yang patut diambil.
Adakah ubat ini berkesan terhadap Omicron?
Ujian klinikal yang dijalankan oleh Pfizer dilakukan sebelum varian Omicron melanda.
Walau bagaimanapun, Pfizer yakin akan keberkesanan Paxlovid terhadap varian super, terutamanya Omicron.
Buat masa ini, ada 3 kajian yang dapat menyokong kenyataan di atas – dua daripada kajian tersebut dilakukan oleh Pfizer sendiri manakala satu lagi merupakan kolaborasi bersama Icahn School of Medicine di Mount Sinai.
Salah satu daripada kajian tersebut mendapati nirmatrelvir sangat efektif untuk membantutkan replikasi virus COVID 19.
Sama jugalah dengan kajian yang dijalankan oleh Icahn School of Medicine. Pakar mendapati Paxlovid efektif terhadap Omicron dan juga varian lain.
Walau bagaimanapun, kesemua kajian ini masih belum diterbitkan.
Baca juga:
- Delta+Omicron=Deltacron, Varian Terbaharu COVID-19 Yang Lebih Bahaya?
- Adakah Omicron Lebih Bahaya? Ini Update Terbaharu Varian Virus COVID-19!
Kesimpulan
Walaupun kita mempunyai ubat untuk merawat COVID-19, namun ubat ini bukanlah pengganti vaksinasi. Buat masa ini, vaksinasi masih lagi cara yang terbaik untuk melindungi diri kita serta masyarakat daripada jangkitan COVID-19.
Paxlovid Malaysia juga hanya akan diberikan kepada pesakit yang berisiko untuk menghidap COVID-19 yang serius.
Oleh sebab itu, pesakit yang mempunyai penyakit tertentu seperti kanser, diabetes, obesiti dan lain-lain akan diutamakan. Sama jugalah dengan mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko. Paxlovid juga adalah rawatan COVID 19 yang hanya akan diberikan secara preskripsi.