backup og meta

Buah Pinggang Rosak? Ini 4 Penyakit Utama Yang Menyebabkan Ginjal Tak Dapat Berfungsi!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 05/10/2022

    Buah Pinggang Rosak? Ini 4 Penyakit Utama Yang Menyebabkan Ginjal Tak Dapat Berfungsi!

    Buah pinggang merupakan salah satu organ badan yang sangat penting. Antara punca buah pinggang rosak yang lazim ialah kecederaan fizikal atau penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

    Buah pinggang dikatakan rosak apabila 85% hingga 90% fungsinya telah hilang. Pada waktu ini, buah pinggang tidak dapat lagi menjalankan tugasnya dengan baik.

    Namun, tanda kerosakan buah pinggang sukar untuk dikenal pasti. Disebabkan organ ini mempunyai daya tahan yang tinggi, simptom hanya akan mulai muncul apabila buah pinggang sudahpun rosak.

    Sebarang kerosakan pada buah pinggang tidak berlaku dalam masa sehari. Malah, organ ini hanya akan rosak setelah bertahun-tahun bertahan dengan gaya hidup yang tidak sihat.

    Oleh sebab itu, tidak hairanlah ramai pesakit buah pinggang hanya akan merasai simptom ketika penyakit ini sudah menjadi serius.

    Tetapi, apakah punca buah pinggang rosak? Mari ikuti penjelasan kami di dalam artikel di bawah.

    Punca buah pinggang rosak

    Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. 

    Antara penyebabnya ialah pengaliran darah yang terbatas, kerosakan pada organ tersebut atau wujudnya halangan pada saluran urinari.

    Namun, ada beberapa kondisi atau penyakit yang boleh menjadi punca buah pinggang rosak. Antaranya ialah:

    1. Tekanan darah tinggi

    punca buah pinggang rosak

    Tahukah anda, buah pinggang dan saluran darah kita sebenarnya saling bergantung antara satu sama lain? Bahan buangan dari darah dikumuhkan dari badan dengan bantuan buah pinggang.

    Namun, untuk menjalankan tugas ini, buah pinggang memerlukan banyak saluran darah. Apabila saluran darah ini rosak atau tercedera, penapis kecil yang terletak pada buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik.

    Inilah sebabnya mengapa tekanan darah tinggi merupakan antara punca buah pinggang rosak yang utama.

    Lama-kelamaan, tekanan darah tinggi boleh menyebabkan saluran darah di sekeliling buah pinggang untuk menyempit dan mengeras.

    Akibatnya, buah pinggang akan jadi semakin lemah kerana salur darah di sekelilingnya rosak secara perlahan-lahan.

    Bukan itu sahaja, buah pinggang juga mempunyai tugas yang tersendiri dalam mengekalkan tekanan darah seseorang. Jika ia rosak, badan akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan tekanan darah dalam paras yang normal.

    2. Diabetes boleh menyebabkan buah pinggang rosak

    punca buah pinggang rosak

    Penyakit diabetes berlaku apabila badan anda tidak dapat membuat atau menggunakan hormon insulin yang mencukupi.

    Salah satu fungsi insulin adalah mengawal jumlah gula dalam darah. Tanpa hormon ini, sukar untuk tubuh mengawal kadar gula dalam badan. 

    Tahap gula yang tinggi di dalam badan boleh mencetuskan pelbagai masalah pada jantung, buah pinggang, mata dan otak. Lama-kelamaan, perkara ini juga boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang.

    Apabila diabetes tidak dikawal, tahap gula dalam darah akan meningkat naik. Kondisi ini dikenali sebagai hiperglisemia dan boleh merosakkan banyak bahagian badan.

    Sama seperti tekanan darah tinggi, diabetes juga boleh merosakkan saluran darah dan saraf pada kawasan buah pinggang. Tanpa bekalan darah yang mencukupi, buah pinggang akan rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

    3. Kegagalan jantung dan kegagalan buah pinggang

    Tahukah anda, penyakit jantung boleh menyebabkan masalah buah pinggang? Malah, penyakit jantung juga merupakan antara punca kematian yang lazim dalam kalangan individu yang sedang menjalani dialisis.

    Apabila jantung mengalami kegagalan, buah pinggang juga boleh mendapat kemerosotan dari segi fungsi. Bukan itu sahaja, sakit jantung juga boleh menyebabkan penyakit buah pinggang kronik.

    Tetapi, bagaimanakah perkara ini berlaku? Penghidap penyakit jantung tidak dapat mengepam darah dengan cara yang betul. Akibatnya, jantung pesakit akan dipenuhi dengan darah.

    Pada masa yang sama, salur darah utama yang menuju ke buah pinggang akan mengalami peningkatan tekanan. Tekanan ini akan menyebabkan salur darah tersumbat dan mengurangkan bekalan darah kepada buah pinggang.

    4. Penyakit kanser

    punca buah pinggang rosak

    Kanser juga boleh menjadi punca kerosakan buah pinggang, salah satunya ialah kanser buah pinggang. Sama seperti kebanyakan kanser yang lain, penghidap kanser ini mungkin tidak akan mengalami sebarang tanda atau simptom awal.

    Malah, kanser buah pinggang juga selalunya ditemui secara tidak sengaja ketika pesakit melakukan imbasan pada kawasan perut disebabkan masalah kesihatan lain.

    Kajian menunjukkan ada kaitan di antara kanser buah pinggang dan penyakit buah pinggang. Malah, mereka yang mengalami kerosakan buah pinggang juga didapati berisiko untuk menghidap kanser disebabkan dialisis yang berpanjangan dan pengambilan ubat-ubatan.

    Kesimpulan

    Sebenarnya, ada banyak lagi punca buah pinggang rosak yang tidak digariskan di dalam artikel ini.

    Sebagai contoh, darah beku atau kolesterol pada kawasan buah pinggang, penyakit glomerulonephritis, jangkitan, ubat-ubatan dan juga penyakit imun seperti Lupus juga boleh menjadi punca buah pinggang rosak.

    Kegagalan buah pinggang sukar untuk dikesan awal atau dicegah. Namun, dengan penjagaan yang betul, risiko kerosakan buah pinggang dapat dikurangkan.

    Sebagai contoh, pastikan anda peka dengan ubat-ubatan yang diambil untuk mengawal kesakitan. Ubat tahan sakit ini jika diambil dengan terlalu banyak boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

    Akhir sekali, pastikan anda bekerjasama dengan doktor untuk mengawal masalah buah pinggang yang dialami. Jangan lupa makan ubat terutamanya jika anda menghidap penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan