backup og meta

Varian COVID-19 Lebih Bahaya, Kes Pertama Omicron Malaysia Dikesan Di Perak!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/04/2022

    Varian COVID-19 Lebih Bahaya, Kes Pertama Omicron Malaysia Dikesan Di Perak!

    Terkini, satu kes positif baharu daripada varian Omicron telah dicatatkan berlaku di Ipoh, Perak. Situasi ini mula membimbangkan keadaan semasa COVID-19 Malaysia. Apakah gejala awal COVID 19 jika dijangkiti dengan varian ini?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Situasi semasa COVID-19 Malaysia susulan kemunculan varian Omicron

    Pada 3 Disember 2021, Malaysia telah merekodkan kes pertama varian Omicron COVID-19.

    Kes tersebut melibatkan seorang pelajar warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dari Afrika Selatan.

    Pelajar tersebut berumur 19 tahun dan merupakan penuntut sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.

    Walau bagaimanapun, pelajar itu telah diarahkan untuk dikuarantin wajib di penginapan yang telah disediakan oleh pihak universiti.

    Kesemua kontak rapat kepada pelajar itu juga telah menjalani ujian saringan sebanyak dua kali dan keputusan menunjukkan hasil negatif jangkitan COVID-19.

    Berdasarkan sejarah perjalanannya, pelajar terbabit telah tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lepas. Dia juga telah menjalani ujian Rt-PCR setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Kemudiannya, dia meneruskan perjalanan dari KLIA ke Ipoh dengan menaiki bas yang telah disediakan oleh pihak universiti.

    Pelajar ini juga telah menjalani kuarantin seorang diri selama 10 hari dan telah diberikan pelepasan kuarantin pada 29 November 2021.

    Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengesahkan individu terbabit patuh kepada arahan kuarantin yang telah ditetapkan.

    Lebih bahaya daripada Delta, kini muncul pula Omicron

    Sebelum ini, varian Delta amat hangat diperkatakan sebagai varian berbahaya virus COVID-19.

    Namun kini, muncul pula satu lagi varian yang lebih bahaya daripada Delta iaitu varian Omicron.

    Pihak Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah diberikan laporan awal mengenai kemunculan pertama varian Omicron ini pada 24 November 2021.

    Pada ketika itu, varian ini dikesan di Afrika Selatan buat pertama kali daripada sampel yang diperoleh pada 9 November 2021.

    Berdasarkan laporan yang dikemukakan kepada pihak WHO, varian Omicron ini mempunyai beberapa mutasi yang mungkin akan memberikan kesan terhadap tingkah lakunya.

    Sebagai contoh, seberapa mudah varian ini berjangkit atau tahap keterukan penyakit yang disebabkan olehnya.

    Oleh sebab itu, pada ketika ini ia dianggap sebagai varian yang lebih berbahaya berbanding varian-varian sebelumnya termasuklah varian Delta.

    Pihak pengurusan COVID-19 Malaysia juga sudah mula berjaga-jaga berdasarkan amaran awal daripada pihak WHO dan kewujudan kes pertama varian ini di Ipoh, Perak.

    Baca juga:

    Perkembangan terkini berkenaan varian Omicron

    covid-19 malaysia

    Memandangkan varian ini baru sahaja muncul dalam beberapa minggu yang lalu, tidak banyak yang diketahui dengan jelas bagaimana ia bertindak.

    Namun, para penyelidik dari Afrika Selatan dan seluruh dunia masih menjalankan kajian lanjut untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkenaan varian ini.

    Daripada aspek penularan atau kebolehjangkitan, tidak dapat disahkan dengan jelas sama ada varian Omicron ini lebih mudah berjangkit berbanding varian-varian yang lain.

    Walau bagaimanapun, peningkatan jumlah individu yang disahkan positif COVID-19 di Afrika Selatan baru-baru ini sememangnya berkaitan dengan varian Omicron. 

    Artikel berkaitan: 

    Adakah ia menyebabkan kesan yang lebih teruk kepada individu yang dijangkiti?

    Setakat ini, tidak dapat dipastikan dengan jelas sama ada varian Omicron ini menyebabkan penyakit menjadi lebih teruk berbanding varian-varian yang lain.

    Data awal menunjukkan bahawa, terdapat peningkatan jumlah kemasukan ke hospital di Afrika Selatan akibat jangkitan COVID-19.

    Namun, ia mungkin disebabkan oleh jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti virus COVID-19, dan bukannya disebabkan jangkitan khusus oleh varian Omicron.

    Apakah simptom atau gejala awal COVID 19 disebabkan varian Omicron ini?

    covid-19 malaysia

    Buat masa ini, tiada maklumat yang boleh mengesahkan bahawa gejala awal COVID 19 akibat varian Omicron ini berbeza dengan gejala yang disebabkan varian lain.

    Berdasarkan laporan awal varian ini, jangkitan banyak berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar universiti.

    Golongan yang lebih muda ini cenderung untuk mengalami gejala awal COVID 19 yang bersifat sederhana sahaja.

    Namun, berdasarkan pengalaman-pengalaman daripada varian sebelumnya, ia boleh menyebabkan penyakit yang dialami menjadi lebih teruk sehingga mengakibatkan kematian.

    Apatah lagi, jika ia menjangkiti mereka yang lemah pertahanan tubuh seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit-penyakit komorbiditi dan juga kanak-kanak. 

    COVID-19 Malaysia: Sekatan perjalanan ke 8 negara Afrika

    Buat masa ini, rakyat Malaysia tidak dibenarkan membuat perjalanan ke lapan buah negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia dan juga Zimbabwe.

    Larangan ini merupakan satu langkah pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia bagi mengelakkan penularan varian Omicron di negara ini.

    Pencegahan ini penting berikutan tiga buah negara telah melaporkan kes kematian disebabkan varian ini iaitu Afrika Selatan, Botswana dan juga Hong Kong.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut menyatakan bahawa, kesemua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke lapan negara terbabit dalam tempoh 14 hari telah dikenakan sekatan perjalanan ke negara ini. 

    COVID-19 Malaysia: Jangan leka, terus jaga SOP

    covid-19 malaysia

    Walaupun hanya satu kes COVID-19 Malaysia yang disebabkan oleh varian Omicron, tidak bermakna kita bebas dan boleh melupakan SOP sewenang-wenangnya.

    Ini kerana, varian ini boleh muncul pada bila-bila masa sahaja di kawasan kediaman kita jika SOP tidak diperketatkan dan dipatuhi dengan baik.

    Teruskan menjaga jarak fizikal dengan individu lain sekurang-kurangnya satu meter bagi mengurangkan risiko jangkitan.

    Selain itu, pakai pelitup muka terutama sekali apabila berada di luar rumah dan di tempat-tempat awam.

    Elakkan juga berada di tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai.

    Akhir sekali, jangan lupa untuk sentiasa mencuci kedua-dua belah tangan dengan kerap dan dapatkan suntikan vaksin anda sekiranya masih belum berbuat demikian.

    Ingat, mencegah itu sememangnya lebih baik daripada mengubat. Semoga situasi COVID-19 Malaysia semakin cepat pulih. 

    #HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan