Wabak virus korona baharu (COVID-19) masih lagi menjadi topik hangat global. Biarpun sudah ada vaksin untuk penyakit ini, namun isu mengenainya masih belum putus lagi. Kebanyakan individu sudah pun familiar dengan simptom yang boleh dialami oleh mereka yang dijangkiti virus seperti demam, sakit kerongkong dan tekak, serta sesak nafas.
Namun, sehingga kini, pelbagai jenis simptom baharu yang sering dikaji dan diperbincangkan oleh ahli akademik bagi memahami corak jangkitan virus COVID-19.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Topik yang akan diperbincangkan dalam artikel ini berkaitan dengan sakit kerongkong dan COVID-19.
Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Mekanisme jangkitan COVID-19 dibantu oleh protein khas virus
Mekanisme jangkitan virus COVID-19 agak kompleks dan manifestasinya hampir sama dengan penyakit lain.
Oleh sebab itulah simptom seperti sakit tekak atau sakit kerongkong sukar untuk dibezakan dengan jangkitan virus lain.
Kebolehannya untuk melekat dan masuk ke dalam sel badan melalui reseptor sel bergantung kepada struktur protein pada virus tersebut.
Secara amnya, kesemua virus yang berasal daripada keluarga coronaviridae mempunyai 4 protein yang menjadi tunjang utama bagi meningkatkan potensi kebolehjangkitan mereka.
- Protein pepaku (spike).
- Membran.
- Nukleokapsid.
- Protein selubung (envelope).
Protein pepaku yang terdapat pada permukaan virus ini membentuk struktur seakan-akan mahkota.
Oleh sebab itulah ia diberi nama corona yang membawa maksud mahkota dalam bahasa latin.
Struktur ini mempunyai bahagian yang membolehkan ia melekat pada reseptor yang dikenali sebagai angiotensin converting enzyme 2 (ACE2).
Reseptor ACE2 dimiliki oleh pelbagai jenis organ termasuklah peparu manusia.
Apabila virus tersebut melekat pada reseptor ACE2, tindak balas kimia yang melibatkan protein pada permukaan virus akan membolehkan membran virus untuk diserap masuk ke dalam sel.
Kemudiannya, maklumat genetik virus yang dikenali sebagai RNA akan memasuki struktur nukleus sel (pusat kawalan sel) untuk melalui proses replikasi.
Kesan daripada proses biologi ini, lebih banyak protein virus dapat dihasilkan dan virus yang baru terbentuk akan berlepas keluar untuk menjangkiti sel lain.
Apa yang membezakan struktur virus korona baharu dengan spesies virus korona yang lain adalah protein pepakunya boleh bertindak balas dengan enzim lain yang dikenali sebagai furin.
Sebelum tahu simptom sakit kerongkong, kenal pasti saluran utama jangkitan COVID-19
Ramai sudah sedia maklum bahawa jangkitan COVID-19 boleh disebarkan melalui titisan air yang keluar ketika seseorang bersin dan batuk.
Selain itu, mereka yang menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus (fomit) turut berisiko mengalami jangkitan.
Apabila ujian COVID-19 dibuat pada pesakit, para pengkaji telah mendapati bahawa jumlah virus yang dapat dikesan melalui swab hidung adalah lebih tinggi berbanding dengan swab oral.
Perkara ini secara tidak langsung membuktikan transmisi virus berlaku melalui hidung sebagai saluran utama sebelum ia bergerak masuk menerusi ruangan oral dan akhirnya peparu.
Jumlah reseptor ACE2 yang terdapat pada ruangan hidung adalah lebih tinggi berbanding dengan kawasan lain pada saluran pernafasan manusia.
Ini bermakna, virus COVID-19 yang berupaya untuk masuk ke dalam hidung mudah untuk menyebabkan jangkitan.