backup og meta

CT Value Tinggi Tanda Jangkitan COVID-19 Serius? Ini Sebab Sebenarnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    CT Value Tinggi Tanda Jangkitan COVID-19 Serius? Ini Sebab Sebenarnya!

    Pernahkah anda dengar mengenai CT value tinggi? CT value merupakan sesuatu yang lazim diperkatakan dalam kalangan pesakit COVID-19, terutamanya yang pernah melakukan ujian RT-PCR. Malah, ada juga yang kata ada makna tertentu di sebalik CT value rendah dan tinggi.

    Namun, benarkah ada kaitan di antara CT value dan keseriusan jangkitan COVID-19 yang dialami seseorang? Ingin tahu jawapannya? Mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Apakah maksud CT value?

    ct value tinggi

    CT value atau ‘cycle threshold’ adalah nilai kitaran ambang yang menandakan sebanyak manakah mesin RT-PCR perlu melakukan salinan material genetik virus tertentu sebelum ia dapat mengesannya.

    Untuk melakukan ujian RT-PCR, RNA daripada pesakit akan digunakan. Sebab itulah, pesakit akan di’swab’. Semua ini adalah untuk mendapatkan material genetik dari badan pesakit.

    Melalui proses ini, RNA akan ditukar ke DNA dan jumlahnya akan digandakan. Penggandaan ini berlaku dalam beberapa kitaran atau cycle. Pada kitaran pertama, 1 DNA akan menjadi 2, dan kemudiannya 2 akan menjadi 4 dan seterusnya.

    Proses ini akan dihentikan setelah jumlah virus yang cukup dihasilkan. Jika virus masih belum dapat dikesan setelah kitaran ke 37-40, individu itu dikira negatif COVID-19.

    Secara tidak langsung, CT value juga boleh digunakan untuk menentukan jumlah material genetik yang dikesan daripada spesimen tertentu pada masa tertentu.

    CT value tinggi bermaksud beban virus yang rendah, manakala CT value yang rendah pula menandakan beban virus yang tinggi.

    Mereka yang mempunyai beban virus yang tinggi lebih berisiko menyebarkan COVID-19 kepada orang lain.

    CT value tinggi, adakah COVID-19 yang saya alami tidak serius?

    ct value tinggi

    Jawapannya adalah tidak. Walaupun CT value tinggi membawa beban virus yang rendah, namun ia tidak bermaksud jangkitan yang dialami tidak serius.

    Jadi, CT value tinggi tidak boleh dijadikan penanda aras dalam menentukan keseriusan satu-satu penyakit.

    Pesakit juga boleh mempunyai CT value yang rendah, yang bermaksud beban virusnya tinggi dan boleh dikesan dalam masa yang singkat, namun masih tidak menunjukkan sebarang simptom.

    Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Medical Microbiology, mereka tidak menjumpai sebarang kaitan antara CT value dan keseriusan jangkitan atau jumlah kematian pesakit COVID-19.

    Malah, masa dijangkiti didapati lebih berkait rapat dengan CT value seseorang.

    CT value yang rendah menandakan:

    1. Beban virus dalam badan adalah tinggi.
    2. Jangkitan COVID-19 masih berada dalam peringkat awal.
    3. Pengesanan COVID-19 dilakukan dalam peringkat awal.
    4. Kebolehjangkitan adalah tinggi.

    CT value tinggi pula menandakan:

    1. Jangkitan berada di peringkat akhir.
    2. Kebolehjangkitan rendah.
    3. Pengesanan COVID-19 dilakukan pada penghujung jangkitan.
    4. Pengambilan sampel yang tidak betul, sampel kurang atau rosak.
    5. Pengesanan dilakukan ke atas saki baki virus sahaja.

    Baca juga:

    Faktor yang mempengaruhi CT value seseorang

    ct value tinggi

    Walaupun CT value boleh menjadi penanda aras untuk menentukan jumlah material genetik dalam satu-satu spesimen, ada banyak lagi faktor lain yang boleh mempengaruhi bacaan CT value rendah dan tinggi.

    Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Clinical Infectious Diseases, bacaan CT value yang rendah mungkin berkait rapat dengan usia, tabiat merokok dan juga sama ada pesakit pernah melakukan kemoterapi ataupun tidak.

    Oleh sebab itu, CT value tidak sesuai digunakan untuk menentukan keseriusan jangkitan yang dialami pesakit COVID-19.

    Antara faktor lain yang mempengaruhi CT value ialah:

    1. Berapa banyak virus SARS-CoV-2 yang didapati daripada pesakit ketika melakukan ujian swab.
    2. Masa sampel diambil, bila simptom pertama kali berlaku dan penyebab jangkitan.
    3. Kehadiran bahan lain di dalam sampel seperti mukus atau cecair lain.
    4. Jenis ujian COVID-19 yang dilakukan.
    5. Berapa lama sampel disimpan sebelum ujian dijalankan.
    6. Bagaimana sampel disimpan sebelum ujian dijalankan.

    Sebenarnya, ada banyak lagi faktor lain yang boleh menyebabkan bacaan CT value tinggi atau rendah. Jadi, bacaan ini tidak sesuai digunakan untuk mengukur keseriusan jangkitan COVID-19 yang dialami.

    Kesimpulan

    tahap covid19

    Tidak kisah berapapun jumlah CT value yang dicatatkan, pengesanan awal lebih penting untuk mengesan COVID-19 dan mencegahnya daripada menjangkiti orang lain.

    Jika anda telah terdedah dengan COVID-19 atau mengalami sebarang simptom, dapatkan rawatan secepat mungkin.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan