backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bukan Lelaki Saja Ada Masalah Sukar Buang Air, Perempuan Pun Sama! Ini Puncanya, Berbeza Ikut Jantina

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/01/2022

    Bukan Lelaki Saja Ada Masalah Sukar Buang Air, Perempuan Pun Sama! Ini Puncanya, Berbeza Ikut Jantina

    Kesukaran membuang air kecil boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina. Walaupun ia merupakan sesuatu yang lazim, masih ramai yang tidak pasti penyebab susah buang air kecil biarpun dalam kalangan lelaki atau wanita. 

    Jika anda mempunyai masalah untuk membuang air kecil, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar yang segera. Tanpa rawatan, masalah sukar membuang air boleh bertukar menjadi keadaan yang lebih serius seperti retensi urin.

    Retensi urin merupakan sejenis penyakit yang membuatkan seseorang sukar untuk membuang air kecil. Malah, pundi kencing pesakit juga tidak dapat dikosongkan sepenuhnya selepas membuang air.

    Masalah ini boleh berlaku kepada lelaki dan wanita. Penyebab susah buang air kecil juga berbeza mengikut individu. Dalam kalangan lelaki, penyebab susah buang air kecil yang utama ialah masalah prostat bengkak.

    Untuk wanita pula, masalah untuk membuang air kecil selalu timbul ketika hamil atau selepas melahirkan anak.

    Penyebab susah buang air kecil, beza antara lelaki dan wanita

    penyebab susah buang air kecil

    Sebenarnya, ada banyak punca yang boleh menyebabkan masalah untuk membuang air kecil. 

    Ada yang akan memberi kesan kepada kedua-dua jantina. Manakala, ada juga beberapa sebab yang berlaku khas kepada satu jantina sahaja.

    Antara punca lazim masalah ini ialah:

    1. Prostat membengkak.
    2. Kerosakan saraf akibat kemalangan atau penyakit.
    3. Penggunaan anesthesia daripada pembedahan.
    4. Batu karang.
    5. Pembedahan daripada mana-mana kawasan saluran urinari.
    6. Penyakit kelamin.
    7. Tumor.
    8. Masalah psikologikal.
    9. Masalah untuk mengosongkan pundi kencing.

    Jika anda menghidap retensi urin, ia boleh berlaku secara akut atau kronik. Retensi urin yang akut boleh berlaku secara tiba-tiba dan memberikan kesan yang serius.

    Manakala, retensi urin yang kronik pula bermaksud anda telah menghidap masalah ini dalam satu tempoh masa yang panjang.

    Kesukaran untuk membuang air kecil yang berlaku secara tiba-tiba merupakan satu kecemasan. Oleh sebab itu, jika anda tidak boleh kencing, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

    Retensi urin yang kronik selalunya berlaku kepada kaum Adam. Walaupun begitu, wanita tidak terkecuali untuk mengalaminya pada masa hadapan.

    Punca utama retensi urin dalam kalangan lelaki

    penyebab susah buang air kecil

    Seperti yang dijelaskan sebentar tadi, masalah utama retensi urin dalam kalangan kaum Adam ialah masalah prostat membengkak.

    Walaupun prostat bengkak selalunya berlaku kepada lelaki yang berusia, ia juga boleh menyerang lelaki muda. 

    Namun, hampir 50% lelaki akan mengalami simptom prostat bengkak apabila mereka mencecah usia 60 tahun.

    Apabila prostat membengkak, ia boleh memberikan tekanan pada kawasan pundi kencing dan uretra. Tekanan ini boleh menjadi penyebab susah buang air kecil dalam kalangan lelaki.

    Selain itu, ia juga boleh menyebabkan masalah lain seperti:

    1. Kerap ke tandas.
    2. Kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing.

    Ada lelaki yang mengalami simptom yang ringan dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Namun, ada juga yang rasa tidak selesa dan amat terganggu dengan masalah ini.

    Rawatan untuk masalah prostat bengkak berbeza mengikut simptom. Jika pesakit mempunyai simptom yang ringan, mereka tidak memerlukan rawatan secara serta-merta. Namun, pesakit masih perlu melakukan pemeriksaan secara berkala.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, kurangkan pengambilan alkohol. Selain itu, bersenam dengan kerap dan jangan mengambil terlalu banyak makanan yang manis.

    Penyebab susah buang air kecil dalam kalangan wanita

    penyebab susah buang air kecil

    Berbeza dengan lelaki, kaum wanita mungkin mengalami masalah membuang air kecil ketika hamil atau selepas melahirkan anak.

    Menurut sebuah kajian pada tahun 2014 yang dimuatkan di dalam Jurnal Turkish-German Gynecological Association, hampir 8.1% daripada 234 wanita di dalam kajian ini mengalami masalah retensi urin selepas melahirkan anak.

    Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan wanita mengalami masalah sukar membuang air selepas melahirkan anak. Antaranya ialah:

    1. Kelahiran tahap kedua yang panjang.
    2. Episiotomy.
    3. Koyakan perineal.
    4. Penggunaan epidural.
    5. Bayi yang mempunyai berat lebih 4 kg.

    Selain kehamilan dan kelahiran, wanita juga lebih berisiko untuk mengalami jangkitan saluran kencing atau UTI. Ini merupakan salah satu penyebab susah buang air kecil dalam kalangan wanita.

    UTI lebih lazim dalam kalangan wanita kerana anatominya yang berbeza dengan lelaki. Kaum Hawa mempunyai saluran uretra yang lebih pendek. Oleh sebab itu, mereka lebih berisiko untuk mengalami jangkitan.

    Malah, wanita yang lebih aktif secara seksual juga lebih berisiko untuk menghidap UTI. Lebih-lebih lagi jika wanita tersebut sering bertukar-tukar pasangan.

    Jangkitan saluran kencing boleh dirawat dengan mudah. Selain mengambil ubat antibiotik, wanita juga perlu minum lebih banyak air dan minum jus kranberi untuk mengelakkan jangkitan pada masa hadapan.

    Kesimpulan

    Penyebab susah buang air kecil mungkin berbeza mengikut jantina. Namun, ia boleh dirawat dengan syarat pesakit bertindak berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

    Masalah untuk membuang air kecil mungkin nampak remeh, namun ia boleh bertukar menjadi sesuatu yang serius pada masa hadapan.

    Ketepikan rasa malu dan berbincang dengan doktor mengenai masalah yang anda alami. Selalunya, ia boleh dirawat dengan ubat-ubatan atau perubahan dari segi gaya hidup.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan