backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Kemaluan Gatal? Tak Semestinya Penyakit Kelamin, 5 Kondisi Ini Mungkin Pencetusnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 05/10/2022

    Kemaluan Gatal? Tak Semestinya Penyakit Kelamin, 5 Kondisi Ini Mungkin Pencetusnya!

    Sikit-sikit gatal, sikit-sikit kena garu… Rimasnya! Mempunyai kemaluan gatal secara mengejut boleh jadi menjengkelkan, malah mengganggu rutin harian! Jadi, apa ubat gatal kemaluan lelaki dan wanita yang boleh digunakan?

    Kegatalan yang berlaku di bahagian kemaluan amat merenyahkan! Terutama ketika kencing atau mandi, pasti berasa pedih apabila terkena air.

    Sekiranya senario ini menimpa anda, pasti kalian tertanya-tanya akan punca di sebalik kemaluan gatal, kan?

    Jangan risau, kami di Hello Doktor akan merungkai pencetus di sebalik kegatalan alat sulit berserta ubat gatal kemaluan lelaki dan wanita, mari baca!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Selain kegatalan, apa lagi gejala-gejala lain?

    Selain gatal-gatal, alat sulit juga boleh alami beberapa simptom lain, yang berbeza-beza bergantung pada jenis penyakit, kelainan atau kondisi yang sedia ada.

    Sesetengah kondisi yang memicu kegatalan hanya menjejaskan kawasan kemaluan, manakala yang lain mungkin melibatkan bahagian tubuh berlainan.

    Kegatalan pada alat kelamin boleh disertai gejala-gejala lain, yang mempengaruhi kawasan genital atau kulit termasuk:

    • Pendarahan selepas persetubuhan
    • Peningkatan kepekaan terhadap perengsa
    • Peningkatan kerentanan terhadap jangkitan kemaluan
    • Kegatalan di kawasan kulit yang lain
    • Sakit semasa ‘bersama’
    • Alat sulit terasa sakit
    • Sensasi terbakar semasa membuang air kecil
    • Tompok merah atau putih yang menebal
    • Kemerahan atau pembengkakan alat kelamin
    • Luka, lepuh atau kudis di kawasan yang terjejas
    • Keputihan faraj atau lelehan zakar

    Punca kegatalan alat sulit & ubat gatal kemaluan lelaki serta wanita!

    Kegatalan faraj atau zakar kerap terjadi, dan ini tidak semestinya bermaksud anda alami jangkitan kelamin (STD).

    Inilah 5 lagi punca, selain STD yang berisiko memicu kegatalan pada alat kelamin:

    #1 Jock itch

    ubat gatal kemaluan lelaki

    Kondisi yang disebabkan oleh kulat ini kerap berlaku dan cukup mudah dirawat!

    Selain itu, ia biasa menimpa para atlet dek kerana kulat cenderung untuk tumbuh dengan subur pada kawasan kulit yang lembap, hangat dan tertutup rapi.

    Antara simptom yang menjadi indikasi kepada jock itch adalah ruam merah, bersisik, dan kegatalan teruk, yang boleh timbul pada:

    1. Kemaluan.
    2. Bahagian dalam paha.
    3. Punggung.
    4. Lipatan punggung.

    Ubat gatal kemaluan lelaki dan wanita untuk kondisi ini adalah cukup ringkas!

    Rawatan antikulat di kaunter yang tersedia dalam bentuk krim, serbuk atau semburan dapat mengubati masalah ini.

    Tambahan itu, pastikan juga untuk sentiasa mengekalkan kawasan tertentu terutama lipatan badan kering.

    Sekiranya rawatan di atas masih gagal, anda perlu temui doktor atau pakar kulit untuk mendapatkan bantuan!

    #2 Psoriasis

    Jika anda menghidap psoriasis, kalian perlu ketahui bahawa psoriasis boleh terbentuk di kawasan alat sulit merangkumi:

    • Zakar
    • Skrotum
    • Vulva
    • Dubur
    • Lipatan punggung
    • Paha

    Majoriti penghidap psoriasis genital mempunyai psoriasis di kawasan tubuh yang lain.

    Antara opsyen rawatan, ubat gatal kemaluan lelaki dan wanita seperti krim kortikosteroid topikal dapat melegakan kegatalan.

    Oleh sebab kawasan ini bersifat sensitif, rawatan untuk alat kelamin selalunya berbeza berbanding rawatan psoriasis yang digunakan pada bahagian tubuh lain.

    #3 Reaksi alergi atau kerengsaan

    Alahan atau kerengsaan menjadi antara punca utama yang menyumbang kepada kegatalan kemaluan pada wanita, lelaki, dan kanak-kanak!

    Sesungguhnya, wanita lebih cenderung mengalaminya dek kerana terdedah dengan produk seperti semburan wanita, meruang atau pemakaian panty liner dengan pewangi tiruan, yang dapat menimbulkan reaksi.

    Bukan itu saja, produk-produk pembersihan lain termasuk sabun wangi, tisu basah, dan seluar dalam turut boleh memicu reaksi alergi.

    Untuk melegakan simptom ini, kalian boleh mengambil salap atau ubat gatal kemaluan lelaki dan wanita. Anda juga boleh mencuba ubat antihistamines di kaunter.

    Paling penting, kenal pasti perengsa yang bertanggungjawab memicu masalah tersebut agar risiko kegatalan dapat dielakkan!

    Namun, jika anda masih tidak dapat mengecam penyebab di sebalik kegatalan dialami, berjumpalah dengan pakar sakit puan, ahli alergi, atau pakar dermatologi untuk dapatkan khidmat nasihat.

    #4 Lichen planus

    Kondisi ini juga biasa berlaku dan boleh menyebabkan ruam-ruam kecil serta kegatalan pada kulit.

    Apabila ia terbentuk di kawasan kemaluan, kondisi ini sering akibatkan tompok-tompok merah yang terasa seperti panas terbakar dan gatal-gatal.

    Di kawasan kemaluan, lichen planus berupaya terbentuk pada:

    • Faraj
    • Vulva
    • Zakar
    • Dubur

    Ubat gatal kemaluan lelaki dan wanita yang mungkin akan disyorkan oleh doktor adalah kortikosteroid, sama ada dalam bentuk topikal mahupun oral.

    Untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang lebih tepat, lakukan janji temu dengan pakar sakit puan atau pakar dermatologi.

    #5 Lichen sclerosus

    ubat gatal kemaluan lelaki

    Lichen sclerosus (LS) berpotensi menyebabkan tompok-tompok putih dan tebal yang gatal serta menyakitkan. Ia biasanya akan timbul pada:

    • Dubur
    • Zakar
    • Alat kelamin wanita

    LS lebih kerap berlaku apabila tahap hormon estrogen masih rendah, ia cenderung menimpa kanak-kanak perempuan sebelum mereka didatangi haid dan wanita pasca-menopaus.

    Tidak hanya terhad pada kaum Hawa, LS juga boleh terjadi dalam kalangan lelaki muda dan dewasa.

    Langkah pertama adalah mendapatkan diagnosis yang tepat, dengan menemui pakar sakit puan atau pakar dermatologi.

    Malang sekali, lichen sclerosus tidak dapat disembuhkan, tetapi rawatan bersesuaian dapat meredakan ketidakselesaan dan mencegah penyakit ini daripada menjadi lebih parah!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan