Ramai yang sangka jika rasa sakit ketika kencing itu adalah akibat jangkitan salur kencing (UTI). Ini mungkin disebabkan oleh mereka tidak tahu apa itu uretritis.
Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-duanya mungkin akan mendatangkan gejala yang hampir serupa. Namun ketahuilah ia adalah penyakit yang sama sekali berbeza.
Persoalannya, apa itu uretritis? Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu mengenainya!
Apa itu uretritis?
Untuk pengetahuan anda, uretritis adalah suatu keadaan kesihatan di mana uretra (salah satu daripada bahagian salur kencing) mengalami kerengsaan atau keradangan.
Akibatnya, kerengsaan atau keradangan ini akan menyebabkan penderita kerap rasa sakit ketika membuang air kecil, serupa dengan gejala jangkitan salur kencing.
Penyakit uretritis adalah berbeza dengan kondisi UTI kerana uretritis hanya akan melibatkan salur uretra sahaja manakala UTI pula meliputi seluruh salur kencing.
Kebiasaannya, penyakit ini lebih kerap terjadi kepada wanita angkara saiz uretra pada tubuh badan wanita lebih pendek lantas membuat ia lebih mudah terjangkit.
Pun begitu, masih wujud risiko buat golongan lelaki mengalami penyakit ini terutamanya jika mereka mempunyai faktor-faktor risiko yang akan dinyatakan di bawah.
Apa lagi simptomnya?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, gejala utama apa itu uretritis adalah hampir serupa dengan UTI iaitu rasa sakit ketika membuang air kecil.
Pun begitu, terdapat beberapa lagi simptom lain bagi keadaan kesihatan ini yang mungkin akan sedikit berbeza mengikut jantina penderita yakni lelaki atau wanita.
Gejala uretritis pada wanita termasuklah:
- Keputihan yang abnormal
- Kegatalan pada faraj
- Kerap buang air kecil
- Sakit punggung dan perut
- Sakit ketika seks
- Demam
Gejala uretritis pada lelaki termasuklah:
- Darah dalam air mani
- Sakit ketika ejakulasi
- Zakar gatal, sensitif dan bengkak
- Keluar cecair putih dari lubang zakar
- Kelenjar getah benih bengkak
- Demam
Sekiranya anda mempunyai salah satu daripada simptom di atas berserta dengan rasa sakit ketika kencing, sila berjumpa dengan doktor untuk diagnosis kondisi uretritis.
Apa pula puncanya?
Secara umumnya, penyebab apa itu uretritis adalah jangkitan daripada mikroorganisme seperti virus, parasit atau bakteria di mana bakteria adalah punca yang paling biasa.
Terdapat 2 jenis uretritis angkara bakteria iaitu urethritis gonore dan urethritis non-gonore.
Urethritis gonore akan berlaku akibat bakteria bernama Neisserie gonorrhoeae yang boleh merebak melalui hubungan seksual tanpa menggunakan kondom.
Urethritis non-gonore pula berlaku akibat bakteria selain Neisserie gonorrhoeae seperti Chlamydia trachomatis, Mycoplasma genitalium atau Trichomonas vaginalis.
Selain jangkitan bakteria, virus atau parasit tertentu, ia juga mungkin boleh didalangi oleh kecederaan akibat bahan kimia yang digunakan dalam alat kontrasepsi seperti spermisida, sabun, dan krim lantas menyebabkan kerengsaan atau keradangan pada uretra.
Wujud juga beberapa faktor risiko lain berlakunya keadaan kesihatan ini kepada anda iaitu:
- Mengamalkan seks yang tidak selamat
- Mengamalkan seks bebas dan banyak pasangan
- Melakukan onani dengan terlalu kerap
- Menggunakan alat mainan seks berbahaya
Uretritis adalah berbahaya, sila rawat segera!
Sekiranya kondisi ini berlaku kepada anda, anda bukan sahaja akan mengalami rasa sakit ketika kencing malah perhubungan bersama pasangan juga boleh terjejas.
Disebabkan itu, adalah wajar untuk anda yang mengesyaki diri atau pasangan mengalami uretritis untuk menjalani pemeriksaan seperti berikut:
- Ujian urin – Sampel air kencing akan diambil dan diperiksa untuk melihat kewujudan jangkitan
- Ujian darah – Sampel sel darah akan diambil dan diperiksa untuk melihat kewujudan jangkitan
- Sistokopi – Alat teleskop halus akan dimasukkan ke dalam salur uretra untuk melihat sebarang keabnormalan
- NAT – Ujian ini dapat memberi gambaran jelas bahagian dalam alat sulit
- USG – Ujian ini dapat mengesan kewujudan DNA atau RNS virus
- Kultur faraj – Bagi pesakit wanita, sampel keputihan akan diambil dan diuji di makmal
Selepas hasil pemeriksaan ditentukan, doktor mungkin akan memberikan rawatan atau ubatan seperti antibiotik yang sesuai dengan simptom serta punca kondisi anda.
Bagi menghilangkan rasa sakit ketika kencing yang merupakan gejala utama, ubat tahan sakit seperti ibuprofen akan diberikan dengan preskripsi dan dos tertentu.
Dalam pada itu, sila elak daripada melakukan hubungan seks atau menggunakan produk berisiko yang menghakis pada alat sulit sepanjang melalui proses rawatan uretritis.