Soalan Pembaca: Kenapa Kerap Kencing Boleh Berlaku?
Hi doktor. Saya ingin bertanya kepada doktor mengenai masalah kerap kencing.
Saya boleh dikatakan kerap membuang air kecil dalam sehari. Saya merupakan lelaki bujang, kini mencecah umur 30 tahun. Biasanya, saya akan kencing setiap 2 atau 3 jam sekali walaupun air kencing yang dikeluarkan tidaklah begitu banyak.
Rasa nak kencing kerap sangat berlaku sampai mengganggu waktu tidur saya. Saya akan terjaga daripada tidur secara automatik 2-3 kali, hanya disebabkan rasa ingin terkencing. Apa sebenarnya punca kerap kencing ini dan berbahaya pada diri saya? Terima kasih doktor.
Jawapan Doktor
Terima kasih atas soalan yang diberikan ini. Soalan yang ditanyakan ini sebenarnya banyak dialami oleh ramai individu di luar sana.
Namun, ramai yang menganggapnya sebagai satu masalah yang kecil dan sudah terbiasa dengan masalah kerap kencing tersebut.
Terdapat beberapa perkara atau faktor yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku.
Namun, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan oleh doktor untuk menentukan apakah punca sebenar yang menyebabkan masalah kerap kencing ini.
Secara umumnya, seseorang itu boleh dianggap mengalami masalah kerap kencing sekiranya dia membuang air kecil melebihi lapan kali sehari.
Ini kerana, pundi kencing manusia berkemampuan untuk menyimpan air kencing sehinggalah ia benar-benar penuh dan menyebabkan seseorang itu hendak membuang air kecil kira-kira empat atau lapan kali sehari.
Jika anda membuang air kecil melebihi lapan kali sehari dan perlu bangun malam beberapa kali semata-mata untuk membuang air kecil, ia mungkin bermakna anda telah minum banyak air sebelum tidur.
Bukan itu sahaja, ia juga mungkin tanda masalah kesihatan yang lain. Oleh itu, sila rujuk doktor sekiranya anda mengalami masalah kerap kencing terutamanya yang menganggu rutin harian anda.
Jawapan ini disediakan oleh Dr Zai Muhammad Zaidi, Panel Perubatan Hello Doktor.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Atau sertai komuniti kami untuk bertanyakan soalan terus kepada ahli perubatan atau berkongsi pengalaman dengan ahli komuniti yang lain.
Kenapa kerap kencing? Ini mungkin puncanya
Kebiasaannya, seseorang itu akan terasa ingin membuang air kecil sekiranya dia meminum kuantiti air yang banyak.
Namun, jika masalah ini berpanjangan dan berlarutan, ia mungkin menandakan beberapa masalah lain yang berkaitan dengan fungsi tubuh anda.
Antara faktor kenapa kerap kencing adalah:
#1. Jangkitan saluran kencing (UTI)
Jika anda kerap membuang air kencing dan dalam masa yang sama mengalami sakit badan dan demam, ia mungkin tanda anda mengalami jangkitan saluran kencing atau juga disebut UTI.
#2. Kencing manis atau diabetes
Selain itu, kekerapan membuang air kecil lebih daripada biasa juga mungkin menandakan anda mengalami penyakit diabetes.
Kerap kencing menjadi antara simptom awal kedua-dua diabetes jenis 1 dan juga jenis 2.
#3. Hamil
Bagi wanita pula, kenapa kerap kencing juga boleh menjadi tanda awal kehamilan.
Ini kerana, rahim yang semakin membesar akan memberikan tekanan pada pundi kencing sekali gus menyebabkan anda kerap membuang air kecil.
#4. Ubat diuretik
Ubat diuretik digunakan bagi merawat tekanan darah tinggi atau pengumpulan cecair dalam buah pinggang.
Oleh itu, apabila tubuh badan ingin membuang lebihan cecair ini, ia akan menyebabkan anda kerap kencing.
#5. Masalah prostat
Prostat yang membesar boleh menekan uretra dan menghalang aliran air kencing. Ini menyebabkan dinding pundi kencing menjadi rengsa.
Pundi kencing kemudiannya akan mula mengecut walaupun ia mengandungi hanya sedikit air kencing, dan menyebabkan masalah kerap kencing.
#6. Strok atau penyakit neurologi lain
Kerosakan yang berlaku pada saraf yang bersambung dengan pundi kencing boleh menyebabkan gangguan pada fungsi pundi kencing.
Antaranya kerap membuang air kencing atau keinginan membuang air kecil secara tiba-tiba.
Enam punca di atas ini adalah antara punca yang paling biasa menyebabkan kenapa kerap kencing.
Selain itu, terdapat juga beberapa masalah lain yang berkaitan dengan kekerapan membuang air kecil.
Antaranya ialah, hiperkalsemia, kanser pundi kencing, kanser ovari dan kesan terapi radiasi. Namun, ia agak jarang berlaku.
Baca juga: