backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Awasi Masalah Urologi: Kenali Simptom, Punca & Rawatan Untuk Saluran Kencing Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 05/10/2022

Awasi Masalah Urologi: Kenali Simptom, Punca & Rawatan Untuk Saluran Kencing Anda

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.

Urologi adalah kepakaran pembedahan yang merawat dan menangani masalah melibatkan organ reproduktif lelaki serta saluran kencing wanita.

Masalah urologi yang sering dirawat melibatkan sesetengah organ termasuklah:

  • Buah pinggang
  • Ureter: Tiub yang menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing
  • Kelenjar adrenal: Organ endokrin yang menghasilkan beberapa hormon penting untuk tubuh
  • Pundi kencing
  • Uretra: Tiub yang mengeluarkan air kencing daripada tubuh badan

Dalam kalangan kaum Adam pula, ahli urologi bukan sahaja boleh membantu dari segi masalah saluran kencing malahan juga organ pembiakan seperti testis, epididimis, vas deferens, seminal vesikel, kelenjar prostat dan zakar.

Saluran kencing adalah sistem saliran tubuh yang penting untuk membuang bahan buangan toksik dari badan seperti urea, kretinin, asid urik dan keton melalui air kencing. 

Darah yang membawa bahan kumbahan badan ini akan mengalir ke ginjal dan melalui proses penapisan.

Semua bahan toksik akan ditapis dan disingkirkan melalui air kencing. Darah yang telah dinyah toksik akan beredar keluar daripada ginjal untuk digunakan oleh tubuh kembali. 

Proses ini berlaku secara berterusan sepanjang hidup kita.

Apa itu urologi dan mengapa sistem ini penting untuk tubuh kita? 

Salah satu sebabnya ialah kegagalan organ urologi untuk berfungsi dengan normal boleh mengakibatkan masalah kesihatan lain yang lebih teruk. 

Oleh itu, semua individu harus peka akan tanda dan gejala masalah urologi bagi mengelakkan kegagalan ginjal berlaku di masa hadapan. 

Jenis penyakit urologi

Di Malaysia, terdapat banyak penyakit urologi yang lazim dijumpai, sama ada bahagian saluran kencing lelaki dan wanita mahupun sistem pembiakan lelaki.

Berikut merupakan beberapa pilihan penyakit urologi yang acap kali didiagnosis mengikut Yayasan Persatuan Urologi Amerika (AUAF).

Apa itu urologi #1: Jangkitan saluran kencing (UTI)

Jangkitan saluran kencing atau lebih dikenali dalam masyarakat kita sebagai kencing kotor adalah keadaan di mana bakteria atau virus yang menyerang saluran kencing mengakibatkan masalah urologi dalam jangka masa panjang.

Ia lazim dijumpai dalam kalangan wanita, walaupun pada dasarnya lelaki juga boleh mengalaminya.

Menurut AUAF, kira-kira 40% wanita dan 12% lelaki akan menunjukkan tanda serta gejala yang ketara ketika menghidap kencing kotor.

Salah satu gejala yang sering dilaporkan oleh pesakit ialah sensasi terbakar semasa kencing. 

Selain itu, ada juga gejala biasa lain seperti kerap ingin terkencing dan rasa pundi kencing belum kosong sepenuhnya selepas membuang air kecil.

Selalunya, antibiotik akan diberikan dalam jangka masa 5 hingga 7 hari untuk membersihkan saluran kencing anda daripada jangkitan kuman.

Penyakit urologi #2: Penyakit batu karang

Batu karang terbentuk di ginjal dan ureter apabila terdapat kristal dalam air kencing. Zarah-zarah kecil daripada air kencing boleh terkumpul di kristal tersebut dan membentuk batu karang.

Batu dalam ureter merupakan batu karang yang bergerak daripada ginjal ke dalam ureter. Batu karang tersebut boleh menyekat aliran air kencing dan menyebabkan kesakitan.

Namun begitu, ramai orang boleh mengeluarkan batu bersaiz kecil daripada badan tanpa sebarang bantuan perubatan. 

Batu karang bersaiz lebih besar boleh menyebabkan halangan dan saluran air kencing tersumbat kemudian menimbulkan masalah.

Penyakit urologi #3: Prolaps pundi kencing

Kebiasaannya, pundi kencing akan disokong oleh jaringan otot dan tisu lantai pelvis tubuh kita. 

Dalam sesetengah kes, pundi kencing boleh jatuh dan digelar sebagai prolaps pundi kencing, keadaan di mana tisu-tisu ini menjadi terlampau regang dan lemah.

Oleh yang demikian, pundi kencing boleh jatuh dan tersembul keluar daripada lapisan ini dan masuk ke dalam faraj. Masalah ini kerap dijumpai dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Prolaps pundi kencing juga digelar sebagai cystocele dalam kalangan pakar urologi. 

Gejala yang timbul ini menjengkelkan dan boleh mengganggu kehidupan harian individu tersebut. Jika keadaan semakin teruk dan tidak dirawat, pundi kencing boleh kelihatan di permukaan faraj.

Tanda dan gejala

Meskipun penyakit urologi kerap didiagnosis dalam kalangan masyarakat kita, tapi sesetengah individu yang terlibat tidak akan menunjukkan sebarang tanda dan gejala. 

Namun, tanda dan gejala mungkin akan muncul jika penyakit menjadi lebih teruk dalam masa panjang.

Berikut merupakan 8 tanda dan gejala urologi yang sering dilaporkan oleh pesakit semasa menerima rawatan.

Jika anda mengalami salah satu tanda atau gejala di bawah, berundinglah dengan doktor anda secepat mungkin.

#1 Darah dalam air kencing

air kencing

Melihat darah dalam air kencing sudah tentu boleh merunsingkan mana-mana individu yang terlibat. 

Walaupun ia tidak berbahaya dalam sesetengah kes, namun darah dalam air kencing atau istilah perubatannya hematuria boleh menandakan gangguan urologi yang lebih serius.

Ia boleh terbahagi kepada 2 jenis, iaitu hematuria kasar dan hematuria mikroskopik. Perbezaannya adalah seperti berikut:

  • Hematuria kasar: Darah yang boleh dilihat dengan mata kasar ini menghasilkan air kencing berwarna merah jambu, merah atau keperangan
  • Hematuria mikroskopik: Darah dalam air kencing yang hanya boleh dilihat di bawah mikroskop semasa doktor menguji air kencing anda

Simptom ini berlaku apabila buah pinggang atau bahagian saluran kencing lain membenarkan sel darah merah bocor ke dalam air kencing. Air kencing boleh bertukar menjadi warna merah dengan jumlah darah yang sedikit sahaja.

Biasanya, pendarahan ini tidak menyakitkan tetapi ia boleh menjadi perit apabila ada darah beku dalam air kencing anda.

Air kencing berdarah sering berlaku tanpa tanda dan gejala lain.

#2 Kencing tidak terkawal

Kencing tidak terkawal merupakan salah satu tanda penyakit urologi yang lazim dalam masyarakat kita. Kehilangan kawalan pundi kencing ini boleh mengakibatkan kebocoran air kencing yang tidak diingini.

Keadaan ini sangat menjengkelkan dan memalukan individu yang terbabit tetapi kerap dijumpai dalam kalangan pesakit urologi. 

Keterukan masalah kencing tidak terkawal ini mempunyai beberapa tahap daripada ringan, sederhana sehingga teruk.

Kadangkala, individu boleh terkencing ketika batuk atau bersin, ataupun mempunyai keinginan kuat untuk membuang air kecil secara tiba-tiba sehingga tidak sempat untuk ke tandas.

Menurut AUAF, lebih daripada 15 juta individu di Amerika Syarikat mengalami masalah kencing tidak terkawal.

#3 Kekerapan kencing 

Kekerapan kencing adalah masalah urologi yang lazim berlaku.

Individu kerap hendak terkencing pada bila-bila masa, terutamanya waktu malam (dipanggil nokturia). Ia boleh mempengaruhi tidur, kerja dan kesejahteraan hidup seseorang individu. 

Jumlah air kencing boleh menjadi lebih banyak atau lebih sedikit daripada biasa.

#4 Pedih semasa kencing

Pembuangan air kecil yang menyakitkan atau dysuria adalah penyakit yang biasa dan boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan semasa membuang air kecil.

Wanita lebih cenderung mengalami tanda ini berbanding lelaki. Ia biasanya mengalami sensasi terbakar, rasa sengit dan gatal-gatal.

Rasa sakit berbeza mengikut individu, sama ada berasa sakit semasa air kencing dikeluarkan atau merasakannya dalam pundi kencing atau prostat.

#5 Nokturia

Nokturia ialah istilah perubatan yang merujuk kepada masalah kencing yang berlebihan pada waktu malam. 

Jika anda perlu bangun sekurang-kurangnya 2x untuk kencing pada setiap malam, ini bermakna anda mengalami nokturia.

Dalam keadaan normal, tubuh akan menghasilkan kurang air kencing semasa tidur. Sepatutnya, tidur anda tidak akan terganggu untuk tempoh masa 6 sehingga 8 jam. 

Selain mengganggu tidur anda, ia boleh menjadi simptom urologi yang disebabkan oleh keadaan perubatan lain.

#6 Poliuria

Poliuria adalah salah satu masalah urologi di mana penghasilan air kencing lebih banyak daripada biasa, iaitu lebih daripada 2.5 liter sehari.

Keadaan ini memaksa individu terbabit untuk sering membuang air kecil, kadangkala lebih daripada 8x sehari.

Selain daripada penyakit urologi, ia boleh disebabkan oleh masalah kesihatan lain terutamanya kencing manis.

#7 Oliguria

Oliguria merupakan istilah perubatan untuk jumlah air kencing yang lebih rendah daripada biasa. 

Masalah air kencing sedikit akan dilabel sebagai oliguria apabila air kencing kurang daripada 400 ml dalam tempoh 24 jam.

#8 Anuria

Anuria atau aneuresis berlaku apabila buah pinggang tidak mengeluarkan air kencing atau kurang daripada 50 ml dalam tempoh 24 jam.

Individu selalunya akan mengalami oliguria dahulu, atau pengeluaran air kencing rendah dan kemudiannya menjadi masalah urologi yang penting iaitu anuria.

Pencegahan dan rawatan

Janganlah tunggu sudah terhantuk baru nak terngadah. Ikuti tip berikut daripada AUAF untuk menjaga kesihatan urologi dengan baik, sama ada dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak.

#1 Kekalkan hidrasi tubuh

air sejuk

Salah satu cara mudah untuk mengelakkan masalah urologi adalah pastikan tubuh kekal hidrat.

 Ambillah jumlah air yang disyorkan mengikut berat badan anda, ataupun secara puratanya 6 hingga 8 gelas sehari.

#2 Kurangkan potensi jangkitan saluran kencing

Anda boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kencing kotor dengan melakukan beberapa langkah termasuklah:

  • Minum banyak air untuk memastikan anda kerap membuang air kecil. Jika tidak gemar minum air kosong, tukarkanlah dengan kranberi jus yang tidak bergula
  • Lap daripada depan ke belakang selepas membuang air kecil atau besar untuk mencegah kuman merebak dari kawasan dubur ke saluran kencing
  • Kosongkan pundi kencing selepas bersenggama
  • Elak gunakan produk pembersih wanita yang menyebabkan iritasi 

#3 Perubahan gaya hidup

Ubahlah gaya hidup anda ke arah yang lebih sihat. Berhenti merokok, jaga berat badan dalam lingkungan ideal dan terapkanlah pemakanan yang lebih sihat dalam kehidupan seharian anda.

#4 Menguatkan otot kawasan pelvis dengan senaman Kegel

Senaman Kegel boleh menguatkan otot pelvis,menyokong rahim untuk wanita, pundi kencing, usus kecil dan rektum.

Perkara terbaik mengenai senaman ini ialah ia mudah dan sesuai dilakukan di mana-mana sahaja.

Jika dilakukan dengan kerap, anda bukan sahaja boleh menguatkan otot pelvis, tetapi juga otot lain yang ada di bahagian tersebut.

Ia boleh mengelakkan anda daripada mendapat masalah urologi seperti kencing tidak terkawal dan prolaps pundi kencing.

#5 Kencing sebelum tidur

Untuk mengelakkan anda sering terbangun untuk membuang air kecil, sila kurangkan pengambilan air pada waktu malam, terutamanya jika hampir dengan masa tidur anda.

Jika mempunyai masalah pundi kencing, biasakan diri untuk kencing sebelum ke kamar tidur supaya tidak mengganggu waktu tidur anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 05/10/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan