Masalah Pundi Kencing Aktif Buatkan Pesakit Sering Ke Tandas! Ketahui Segala Maklumat Ini

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 15/02/2021 . 5 minit bacaan
Share now

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Masalah Pundi Kencing, sila dapatkannya di sini.

Pundi kencing terlalu aktif atau overactive bladder (OAB) merupakan keadaan yang merujuk kepada satu kombinasi simptom yang menandakan masalah pada sistem urinari seseorang.

Kondisi ini turut dikenali sebagai inkontinens terdesak (urge incontinence) yang menyebabkan pesakit ingin membuang air kecil secara tiba-tiba walaupun pundi kencing masih belum penuh.

Ramai yang rasa tidak selesa ketika mengalami masalah pundi kencing aktif. Namun, ketidakselesaan ini mungkin berbeza mengikut individu. 

Ada di antara pesakit yang menganggap simptom yang dialami sebagai perkara biasa, tetapi ada juga penghidap penyakit ini yang mengakui masalah tersebut boleh meninggalkan impak negatif terhadap kehidupan sosial mereka. 

Menurut Dr. George Flesh dari Harvard Vanguard Medical Associates, ramai pesakit yang mengalami pundi kencing aktif sukar bersosial kerana takut ‘terkencing’ ketika berada di khalayak ramai. Malah, masalah ini boleh menjadi penyumbang utama depresi dalam kalangan pesakit.

Tambah beliau lagi, ramai pesakitnya jarang keluar rumah setelah didiagnosis dengan masalah ini. Mereka lebih rela tinggal di rumah daripada terpaksa menahan kencing di tempat awam sepanjang hari.

Walau bagaimanapun, bukan semuanya berita buruk untuk pesakit pundi kencing aktif. Disebabkan kemajuan dalam bidang perubatan, pesakit kini boleh melakukan ujian untuk menentukan punca sebenar di sebalik masalah yang dialami.

Malah, pesakit juga boleh mengurangkan simptom yang dialami dengan melakukan beberapa perubahan mudah dalam kehidupan seharian. Jika usaha ini tidak berkesan, ada banyak lagi rawatan yang boleh memberikan keselesaan kepada pesakit pundi kencing terlalu aktif.

Simptom pundi kencing aktif

Ramai pesakit yang rasa malu untuk memberitahu doktor mengenai simptom yang dialami. 

Namun, tanpa penjelasan yang jelas daripada pihak pesakit, sukar untuk doktor melakukan diagnosis yang betul.

Anda dikatakan mengalami masalah pundi kencing aktif jika:

  1. Anda rasa terdesak untuk ke tandas dan sukar mengawal pembuangan air kecil.
  2. Terkencing selepas rasa terdesak untuk ke tandas (inkontinens terdesak)
  3. Perlu ke tandas dengan kerap, selalunya 8 kali atau lebih dalam masa 24 jam.
  4. Terpaksa bangun pada waktu malam lebih daripada 2 kali untuk membuang air kecil (nokturia)

Punca pundi kencing aktif

pundi kencing aktif

Buah pinggang akan menghasilkan urin dan menghantarnya untuk disimpan di dalam pundi kencing. Apabila pundi kencing penuh, otak akan menghantar signal kepada otot organ tersebut untuk menguncup.

Otot yang dikenali sebagai sfinkter di dalam uretra akan terbuka dan air kencing boleh mengalir keluar. Apabila pundi kencing masih tidak penuh, otot pada organ tersebut akan kekal relaks.

Walau bagaimanapun, dalam kalangan pesakit yang menghidap kondisi ini, otak akan menghantar signal kepada pundi kencing untuk mengosongkannya secepat mungkin walaupun ia masih belum penuh.

Akibatnya, pesakit terpaksa ke tandas dengan segera untuk membuang air kecil. Rasa terdesak atau urgency inilah yang menyebabkan ramai pesakit rasa tidak selesa jika mereka mempunyai masalah pundi kencing terlalu aktif.

Ada beberapa penyebab masalah pundi kencing aktif yang perlu anda tahu. Antaranya adalah:

  1. Otot pelvis lemah. Kehamilan dan melahirkan anak boleh menyebabkan otot lantai pelvis meregang dan menjadi lemah. Semua faktor ini boleh menyebabkan pesakit mengalami kebocoran urin.
  2. Kerosakan saraf. Kadangkala, ada kecelaruan di dalam isyarat yang dihantar ke otak untuk mengawal pundi kencing. Trauma atau penyakit seperti strok dan sclerosis berbilang boleh menyebabkan perkara ini berlaku.
  3. Pengambilan ubat-ubatan, alkohol atau kafein. Semua produk ini boleh menyebabkan masalah pundi kencing melimpah. Kafein dan alkohol pula bersifat diuretik.
  4. Jangkitan. Jangkitan saluran kencing (UTI) boleh menyebabkan iritasi pada kawasan pundi kencing. Oleh sebab itu, kadangkala iritasi ini boleh menyebabkan pundi kencing menguncup tanpa sebarang amaran.
  5. Berat badan berlebihan. Individu dengan berat badan berlebihan lebih berisiko untuk menghidap masalah pundi kencing terlalu aktif.
  6. Kekurangan hormon estrogen. Kekurangan hormon ini boleh menyebabkan wanita mengalami kebocoran urin disebabkan inkontinens terdesak setelah mencapai menopaus.

Rawatan pundi kencing aktif

Jika anda rasa terdesak untuk ke tandas dan sering terkencing di dalam seluar disebabkan masalah inkontinens yang dialami, doktor akan melakukan pemeriksaan untuk memastikan anda tidak mempunyai sebarang jangkitan atau darah dalam kencing.

Selain itu, doktor juga akan melakukan beberapa ujian untuk memastikan anda mengosongkan pundi kencing sepenuhnya ketika membuang air. 

Perkara lain seperti sejarah perubatan dan juga ujian fizikal juga mungkin akan dilakukan untuk membantu doktor melakukan diagnosis.

Pesakit juga boleh menyimpan diari pundi kencing atau bladder diary untuk beberapa minggu. Data yang dikumpul ini dapat membantu doktor untuk melihat simptom yang dialami setiap hari dengan lebih teliti.

Diari ini juga berguna untuk mengenal pasti tabiat harian dan sejauh mana ia mengganggu kehidupan seharian pesakit. 

Informasi ini amat berguna kepada doktor yang merawat anda. Malah, beliau juga boleh mencadangkan rawatan yang lebih tepat dengan situasi pesakit.

Jika anda didiagnosis dengan pundi kencing aktif, ada beberapa rawatan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan ketidakselesaan yang dialami.

Untuk pengetahuan anda, kondisi ini sebenarnya amat lazim berlaku dan boleh dirawat dengan berkesan. 

Walau bagaimanapun, untuk memastikan masalah pundi kencing dapat ditangani, perlu ada kerjasama di antara pesakit dan juga doktor.

Ada beberapa langkah dan strategi yang boleh dilakukan untuk merawat masalah pundi kencing terlalu aktif. Ia termasuklah perubahan tingkah laku harian dan pengambilan ubat-ubatan:

1. Perubahan gaya hidup

pundi kencing aktif

Perubahan dari segi gaya hidup dan tingkah laku merupakan langkah utama untuk merawat masalah pundi kencing aktif.  Cara ini efektif dan tidak mempunyai sebarang kesan sampingan yang teruk. 

Intervensi dari segi gaya hidup termasuklah:

  • Melakukan senaman kegel
  • Perubahan dalam gaya pemakanan
  • Mengekalkan berat badan sihat
  • Melakukan latihan pundi kencing
  • Pergi ke tandas mengikut jadual
  • Menggunakan produk seperti pad penyerap

2. Ubat-ubatan untuk merawat pundi kencing aktif

Selepas menopaus, wanita boleh melakukan terapi estrogen vagina untuk membantu menguatkan kembali otot dan tisu di bahagian uretra serta sekitar kawasan vagina. 

Estrogen vagina ini boleh didapati di dalam bentuk krim atau pil yang berkesan untuk mengawal simptom kondisi ini.

Selain itu, doktor juga boleh memberi preskripsi ubat-ubatan yang bersesuaian untuk merawat pundi kencing aktif. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti mata dan mulut kering serta sembelit.

Langkah pencegahan

Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan simptom disebabkan oleh kondisi ini:

1. Kekalkan berat badan sihat

Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, pengurangannya dapat membantu mengurangkan simptom pundi kencing terlalu aktif yang dialami.

Selain itu, mereka yang mempunyai berat badan berlebihan juga lebih berisiko untuk menghidap inkontinens stres. Kondisi ini dapat dikurangkan jika pesakit boleh menurunkan berat badan mereka.

2. Minum air secukupnya

Pastikan anda merujuk doktor mengenai jumlah sebenar air yang perlu diambil setiap hari. Kadangkala, pesakit yang minum banyak air akan mengalami simptom yang lebih teruk.

Tetapi, jika pesakit tidak minum air dengan mencukupi, air kencing akan jadi pekat dan menyebabkan iritasi pada lapisan dalam pundi kencing. Ini akan menyebabkan pesakit mengalami inkontinens terdesak.

3. Kurangkan makanan dan minuman yang boleh menyebabkan iritiasi

pundi kencing aktif

Ada beberapa jenis makanan dan minuman yang boleh menyebabkan iritasi pada pundi kencing seperti kafein, alkohol, teh, minuman berkarbonat, buah-buahan sitrus, coklat, makanan pedas dan tomato.

Jika anda mengalami kondisi ini disebabkan makanan atau minuman berikut, langkah terbaik adalah dengan menjauhinya. 

Mungkin dengan cara ini, simptom dapat dikurangkan dan pesakit boleh lalui hari mereka dengan lebih selesa.

Kesimpulan

Pundi kencing aktif merupakan satu kondisi yang sukar untuk diuruskan. Walau bagaimanapun, ramai orang boleh melalui hidup seperti biasa setelah melakukan rawatan. 

Malah, ramai juga pesakit yang dapat menjalani hidup dengan lebih baik dan dapat memperbaiki kualiti kehidupan setelah mereka berjaya mengawal masalah yang dialami.

Walau bagaimanapun, penting untuk anda tahu bahawa kerjasama antara doktor dan pesakit amat penting untuk merawat kondisi ini. 

Oleh sebab itu, pesakit mesti sentiasa mengikut saranan doktor supaya ketidakselesaan ini dapat diatasi. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Artikel lain untuk anda

masalah buang air kecil OAB

Kerap Buang Air Kecil, Pundi Kencing Terlalu Aktif- Orang Muda Pun Boleh Kena Tau!

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Nisreen Nadiah
Diterbitkan pada 26/01/2021 . 3 minit bacaan
inkontinen urin

Info Lengkap Mengenai Inkontinen Urin: Punca, Jenis & Cara Mencegahnya

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Diterbitkan pada 05/01/2021 . 3 minit bacaan