Terkejut Dengar Bayi Berdengkur Kuat, Bahaya Ibu Jika Ia Muncul Bersama Simptom Lain!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 26/04/2021

    Terkejut Dengar Bayi Berdengkur Kuat, Bahaya Ibu Jika Ia Muncul Bersama Simptom Lain!

    Bayi berdengkur bukanlah sesuatu yang asing. Malah, si manja juga sering mengeluarkan bunyi bising semasa tidur yang mungkin merupakan dengkuran ataupun tidak.

    Dalam kebanyakan kes, bunyi tersebut tidak memberikan apa-apa implikasi bahaya.

    Oleh sebab laluan hidung bayi terlalu kecil, kekeringan atau lendiran berlebihan boleh menyebabkan mereka mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas.

    Walau bagaimanapun, keadaan tersebut akan menjadi bertambah baik apabila usia mereka meningkat kelak.

    Apa yang perlu ibu bapa risaukan adalah apabila bayi anda mula menunjukkan simptom lain berserta dengkuran.

    Dalam hal tersebut, bunyi bising itu mungkin berpunca daripada masalah lain yang boleh jadi lebih serius.

    Baca artikel ini untuk faham dengan lebih lanjut.

    Hidung tersumbat, fenomena lazim yang menyebabkan bayi berdengkur

    Pada kebanyakan masa, bayi yang berdengkur semasa tidur mempunyai masalah hidung tersumbat.

    Masalah ini lebih jelas pada bayi muda. Semakin mereka membesar, saiz lubang hidung mereka juga makin besar, jadi masalah tersebut akan hilang dengan sendirinya.

    Selain itu, masalah hidung tersumbat juga boleh hilang menggunakan titisan cecair saline.

    Jika masalah berdengkur mereka tidak juga hilang, ia mungkin merupakan tanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

    Dalam konteks tersebut, anda disarankan untuk merakam bunyi dengkuran dan memainkannya semasa janji temu dengan pakar pediatrik.

    Masalah lain yang menyebabkan bayi berdengkur ketika tidur

    bayi tidur berdengkur

    Simptom tidur berdengkur dalam kalangan bayi tidak hanya merujuk kepada satu keadaan kesihatan yang spesifik.

    Terdapat pelbagai jenis diagnosis yang boleh dibuat bergantung kepada simptom yang dialami oleh bayi anda.

    Sebagai contoh, si manja mungkin mengalami masalah tonsil bengkak, septum hidung bengkok atau apnea tidur.

    Keadaan tersebut boleh menghalang proses pernafasan normal dan menyebabkan pelbagai jenis isu berkaitan termasuklah isu kualiti tidur.

    Bagi keadaan seperti septum hidung bengkok, hampir 20% bayi lahir dengan menghidap masalah ini.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan bayi tidak menunjukkan sebarang simptom dan masalah tersebut akan hilang apabila bayi meningkat usia.

    Bagi masalah seperti apnea tidur pula, ia lebih lazim berlaku pada kanak-kanak.

    Kira-kira 1 hingga 3% daripada si kecil yang berdengkur didiagnosis dengan masalah apnea tidur.

    Simptom tidur berdengkur, jika tidak hilang apabila usia bayi meningkat boleh mendatangkan pelbagai jenis implikasi kesihatan.

    Kanak-kanak yang berdengkur kebiasaannya mengalami kesukaran untuk makan, tidak menunjukkan peningkatan berat normal dan mempunyai masalah berkaitan jantung, peparu, tekak dan mulut.

    Laringomalasia, masalah yang menyebabkan bunyi bising ketika bernafas

    Selain daripada punca yang telah dinyatakan di atas, laringomalasia turut boleh didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak yang berdengkur.

    Keadaan ini berpunca daripada tisu kotak suara yang melembut. Akibatnya struktur tersebut menjadi tidak normal dan longlai.

    Tisu tersebut akan menutupi sebahagian bukaan laluan pernafasan dan menghalang aliran udara keluar masuk.

    Keadaan tersebutlah yang menyebabkan anak anda mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas atau berdengkur ketika tidur.

    Bagi 90% bayi yang didiagnosis dengan masalah ini, simptom tersebut akan hilang tanpa rawatan apabila usia mereka mencecah 18 hingga 20 bulan.

    Namun, segelintirnya akan mengalami masalah laringomalasia teruk sehingga menghalang pernafasan dan pengambilan makanan.

    Dalam kes sedemikian, pembedahan bagi membetulkan struktur terlibat boleh membantu meredakan simptom.

    Kesan masalah tidur tidak cukup terhadap perkembangan kanak-kanak

    bayi tidur berdengkur

    Kanak-kanak yang mengalami masalah tidur berdengkur bukan sahaja tidak cukup tidur, mereka juga boleh mendapat pelbagai jenis masalah perkembangan kritikal seperti:

    1. Kenaikan berat badan yang tidak optimum.
    2. Tingkah laku menyerupai masalah hiperaktif (ADHD).
    3. Kencing semasa tidur.
    4. Mimpi buruk.
    5. Obesiti.

    Mana-mana kanak-kanak dengan simptom berikut juga perlu mendapatkan pemeriksaan oleh pakar pediatrik:

    1. Sukar tidur pada waktu malam.
    2. Kesukaran bernafas pada waktu siang.
    3. Mudah mengalami masalah sesak nafas.
    4. Sukar untuk makan dan tidak mencapai berat badan optimum mengikut usia.
    5. Berdengkur dan berhenti seketika (tiada bunyi dalam tempoh 10 saat atau lebih) di antara dua nafas.

    Konklusi

    Kebiasaannya, bayi berdengkur tidak bermaksud mereka mengalami sebarang masalah kesihatan serius.

    Jarang sekali mereka memerlukan sebarang rawatan.

    Malah kebanyakan bayi yang mengalami masalah laringomalasia dan septum hidung bengkok tidak memerlukan sebarang rawatan.

    Jika anda risau atau keliru dengan simptom yang dialami oleh anak anda, sila rujuk kepada doktor yang bertauliah untuk mendapatkan khidmat nasihat kesihatan.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 26/04/2021

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan