Pernah tak anda alami beberapa jenis masalah rambut? Seperti yang kita tahu, rambut adalah mahkota semula jadi buat manusia tanpa mengira jantina lelaki atau wanita, kerana ia melengkapkan penampilan kita semua.
Sama ada ia panjang, pendek, lurus, keriting atau ikal mayang, mahkota ini haruslah dijaga dengan baik agar kurniaan ini tidak dipersiakan.
Dalam erti kata yang lebih mudah, semua orang pastinya mahukan rambut yang berkilat, bersinar dan mudah dirapikan tanpa tersekat di sebarang skala.
Pun begitu, kita semua pasti pernah atau masih mengalami sekurang-kurangnya satu jenis masalah rambut pada satu masa yang tertentu.
Jangan fokus pada kelemumur sahaja ya, terdapat pelbagai lagi jenis masalah rambut yang anda wajib tahu!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkan di sini.
Kerosakan Rambut
Jenis masalah rambut yang kering, kusam serta bercabang merupakan indikator bagi menunjukkan bahawa ia telah mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki.
Kebiasaannya, ia akan rosak dengan teruk sekiranya individu terlalu kerap mengunjungi salon untuk menggayakannya mengikut cita rasa.
Antara punca jenis masalah rambut biasa yang mengakibatkan kerosakan mahkota ini adalah:
- Mewarnakan rambut
- Meluruskan rambut
- Mengeritingkan rambut
- Terlalu kerap mencucinya
- Terdedah kepada cahaya matahari, angin dan udara
- Nutrisi yang tidak cukup
- Pengambilan ubatan tertentu
- Penggunaan syampu yang tidak sesuai
Untuk mengelakkan rambut yang kering dan kusam, adalah wajar untuk kalian mengelakkan atau mengurangkan perkara-perkara di atas tadi.
Bagaimana pula dengan masalah hujung bercabang? Tenang! Anda boleh lakukan ini:
- Beruskan rambut dengan lembut dan perlahan sehingga hujung bercabang itu terpisah
- Elak daripada menggunakan tuala untuk mengeringkan rambut
- Pastikan anda menggunakan cecair pelembut rambut seminggu sekali
Keguguran Rambut
Secara umumnya, rambut kita semua akan melalui 2 fasa utama yakni anagen – ia tumbuh dan kekal serta telogen – ia kekal dan gugur.
Secara puratanya, individu akan kehilangan kira-kira 100 helai rambut sehari dan ia mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor tertentu.
Antara punca utama jenis masalah rambut ini tentu sahaja akibat penuaan yang akhirnya mungkin akan menyebabkan kebotakan sebahagian atau penuh atas kepala.
Selain itu, ia juga mungkin didalangi oleh kondisi kesihatan autoimun yang dikenali sebagai alopecia, yang juga akan mengakibatkan kebotakan.
Dalam pada itu, terdapat juga pelbagai faktor luaran termasuklah:
- Jangkitan yang teruk
- Pembedahan yang major
- Pengambilan ubatan atau rawatan tertentu seperti antidepresan, retinoid, pil hormon, pil perancang, pencair darah, ubat darah tinggi, kemoterapi
- Masalah kelenjar tiroid
- Stres dan masalah mental lain
- Kehamilan dan melahirkan bayi
- Terdedah kepada bahan kimia seperti thallium, boron, arsenik
Bagi mengatasi jenis masalah rambut ini, individu disarankan untuk merawat segala jenis keadaan kesihatan yang dialami terlebih dahulu.
Antara tip lain untuk mengelakkannya adalah dengan tidak kerap mengikat atau mendandan rambut kerana ia boleh mengakibatkan keguguran.
Jika masih tidak berkesan, pengambilan ubatan, rawatan serta implan benih rambut boleh dipertimbangkan untuk merawat masalah kebotakan.
Rambut Beruban
Uban adalah jenis masalah rambut berwarna kelabu atau putih yang akan muncul khususnya dalam kalangan mereka yang telah lanjut usia.
Saintis telah berjaya mengkaji dan mendapati bahawa kejadian uban adalah disebabkan oleh sel melanin yang mengawal warna rambut telah rosak.
Kerosakan ini berpunca daripada ketidakstabilan DNA serta kehadiran hidrogen peroksida di dalam folikel lantas membuat rambut berubah warna daripada asal.
Namun, ada juga individu yang terlalu cepat atau terlalu lambat mengalami rambut beruban bukan? Ia sebenarnya juga dipengaruhi beberapa faktor lain!
Antara faktor lain tersebut adalah genetik, stres dan keadaan kesihatan individu itu sendiri.
Ramai yang akan mencabut uban ini untuk membuang kesan penuaan mereka namun ia adalah cara yang salah kerana hanya akan membuat mahkota anda tampak lebih nipis dan sedikit.
Sebenarnya, mewarnakannya sahaja dengan pewarna buatan bahan alami adalah alternatif yang terbaik.
Rambut Berminyak
Ramai yang salah sangka dengan rambut berminyak dengan berkilat kerana kedua-duanya mungkin kelihatan agak serupa daripada luaran.
Untuk pengetahuan anda, rambut yang berkilat adalah disebabkan ia berada dalam keadaan sihat ekoran dijaga dengan rapi dan baik.
Lain pula halnya jika rambut berminyak kerana ia menunjukkan bahawa mahkota anda terlebih kandungan minyak dan berada dalam bahaya.
Secara amnya, kulit kepala mengandungi minyak semula jadi bernama sebum dan ia berfungsi memastikan kulit kepala kekal lembap dan tidak kering.
Sebum ini dihasilkan oleh satu kelenjar pada kepala dan jika ia terlalu aktif sehingga menghasilkan terlalu banyak minyak, mahkota anda akan turut berminyak.
Tidak, ia bukan merupakan sesuatu yang bagus kerana kesudahannya akan menjejaskan penampilan dan menyebabkan kerosakan rambut kelak.
Oleh itu, sila atasi masalah ini dengan penggunaan syampu khas yang diformulakan untuk mengawal sebum ini!
Kelemumur
Ini merupakan jenis masalah rambut yang paling biasa dan banyak dihadapi oleh individu tidak kira jantina lelaki atau wanita.
Buat anda yang belum tahu, ia sebenarnya adalah sejenis masalah kulit kepala ringan dan merupakan antara simptom seborrheic dermatitis.
Bukan sahaja boleh terjadi kepada rambut, kawasan bulu muka lain seperti kening, misai, janggut dan jambang juga berisiko mengalaminya.
Antara punca yang sering sahaja dikaitkan dengan masalah kelemumur adalah akibat tidak mengeringkan rambut dengan baik selepas mencucinya.
Ya, ia mungkin salah satu faktor utama selain turut dipengaruhi oleh tabiat mereka yang gemar menutup mahkota ini dengan topi, selendang atau lain-lain.
Disebabkan itu, wanita yang bertudung seringkali mengalami masalah ini terutamanya buat mereka yang tinggal di kawasan beriklim panas.
Selain kewujudan kepingan berwarna kelabu/putih yang melekat pada kulit, ia juga boleh menyebabkan kegatalan dan kecederaan akibat cubaan untuk membuangnya yang terlalu kasar.
Untuk mengelakkan masalah ini daripada terus berlanjutan, sila gunakan syampu berformula khas untuk mencegah, merawat dan menghindar kelemumur daripada terus kembali.
Kutu
Kutu adalah sejenis serangga bersaiz sangat kecil yang hidup bergantung kepada darah manusia terutamanya pada kawasan kulit kepala.
Biasa berlaku kepada bayi dan kanak-kanak, kutu juga sebenarnya boleh berpindah daripada satu individu ke individu lain secara sentuhan.
Disebabkan ia sangat kecil, adalah sukar untuk melihat keberadaannya pada kulit kepala. Jadi sila perhatikan simptom-simptom di bawah ini:
- Kegatalan pada kulit kepala, dahi, leher atau telinga
- Kerengsaan kulit akibat garuan, gigitan atau jangkitan
- Banyak kutu pada bantal atau tilam tempat anda tidur
Meskipun ia tidak begitu berbahaya kerana tidak akan mengakibatkan jangkitan penyakit serius, namun ia masih tidak bagus untuk kesihatan rambut.
Ini kerana kutu adalah petanda bahawa anda tidak mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di sekeliling dengan sebaik mungkin.
Untuk merawat jenis masalah rambut ini, sila dapatkan ubatan daripada farmasi atau klinik dengan rekomendasi daripada doktor.
Mungkin terdapat juga pelbagai cara semula jadi yang kalian boleh cuba namun ketahuilah bahawa tahap keberkesanannya adalah sangat rendah.
Paling penting, sila jaga kebersihan untuk kesihatan rambut dan tubuh badan yang lebih sejahtera ya?
Rambut Berbau
Jangan serkap jarang kata hanya mulut, ketiak dan kemaluan sahaja yang boleh berbau ya? Ini kerana ada juga individu mengalami jenis masalah rambut berbau!
Buat anda yang memikirkan bagaimana masalah ini berlaku, ia akan menyebabkan bau kepam seakan sama seperti pakaian yang belum kering.
Selain kelemumur, ia juga merupakan antara masalah mahkota semula jadi ini yang paling kerap dialami oleh wanita yang bertudung.
Berikut merupakan antara punca utama mengapa rambut boleh berbau:
- Kerap menutup rambut dengan topi, kopiah, songkok, selendang atau tudung
- Ketidakstabilan hormon tubuh badan
- Stres dan masalah mental lain
- Diet pemakanan
- Tidak mencuci rambut sekurang-kurangnya dua minggu sekali
- Penggunaan produk rambut yang tidak sesuai
Jangan silap cara untuk mengatasi masalah ini dengan menyapu minyak wangi padanya. Ini kerana ia hanya akan membuat keadaan menjadi lebih teruk.
Sebaliknya, selesaikan segala punca ia terjadi terlebih dahulu dan gunakanlah minyak rambut yang sesuai pada rambut anda dan kurangkan menutup bahagian ini.
Kesimpulan
Kesimpulannya, rambut adalah mahkota semula jadi kurniaan tuhan kepada kita semua untuk melengkapkan penampilan seorang manusia.
Sekiranya berlaku sebarang jenis masalah rambut, sudah tentu ia akan mendatangkan perasaan takut, malu dan rendah diri.
Kesannya, anda mungkin tidak lagi berani dan yakin untuk tampil di hadapan khalayak ramai pada temasya, majlis atau kelompok masyarakat.
Jika anda khuatir mahkota ini mengalami masalah kerosakan, keguguran, beruban, berminyak, kelemumur, kutu atau berbau, segera dapatkan bantuan profesional.
Dengan ini, sudah pasti tiada lagi ejekan berbaur kutukan yang mengatakan rambut anda hanya akan tersekat pada sesuatu skala apabila disikat!