Tahukah anda bahawa kunci utama untuk dapat mahkota yang tampak cantik dan sihat itu adalah terletak pada bila dan bagaimana anda sikat rambut sendiri?
Ya, meskipun ramai yang percaya jika perbuatan itu adalah tidak bagus dan tidak perlu dilakukan agar rambut anda tidak rosak, namun teori ini mungkin kurang tepat!
Apa yang mungkin agak membimbangkan adalah tidak kurang ramai daripada kita yang belum tahu cara betul untuk sikat rambut. Jadi, jom teruskan membaca artikel ini.
Teori sikat rambut adalah punca botak!
Dalam kalangan masyarakat kita, sudah lama berlegar satu teori yang lebih kepada sebuah mitos di mana perbuatan menyikat rambut itu adalah punca botak.
Ini disebabkan oleh kepercayaan di mana gigi-gigi daripada sikat itu akan menarik rambut anda keluar dari akar lantas menyebabkan keguguran dan kebotakan.
Jika difikirkan secara logik akal, ia mungkin tepat namun ketahuilah bahawa rambut yang gugur atau botak itu berpunca daripada cara sikat yang mungkin salah.
Sekiranya ia dilakukan dengan cara yang betul, berikut adalah manfaat yang akan anda terima:
#1. Menambahkan seri pada mahkota
Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa rambut yang disikat dengan cara yang betul akan mampu menambahkan lagi seri pada mahkota di atas kepala anda.
Ini kerana kulit kepala mempunyai kelenjar peluh (sebaceous) yang terletak di folikel rambut untuk menghasilkan minyak bagi melicinkan kawasan tersebut.
Dengan menyikatnya, anda dapat mengalirkan minyak semula jadi ini secara lebih menyeluruh mulai dari akar sehingga hujung rambut lantas menambah serinya.
#2. Melancarkan darah kulit kepala
Aliran darah yang lancar dan tidak tersumbat adalah sangat penting buat tubuh badan kita semua termasuklah pada bahagian kulit kepala dan bahagian rambut.
Jika anda sikat rambut dengan betul, ia dapat membantu dalam proses melancarkan aliran darah di kulit kepala yang mungkin telah terjejas atau terganggu.
Selain itu juga, menyikat rambut turut mampu membuang atau membunuh kutu pada kulit kepala yang tugasnya menghisap darah pada kawasan terbabit.
#3. Membersihkan rambut yang kotor
Selain kutu, terdapat banyak lagi jenis kotoran dan bendasing yang akan menjadi ‘sisa’ di atas kulit kepala seperti kelemumur dan pelbagai lagi anasir luar.
Sisa-sisa ini mungkin akan dapat dibersihkan melalui perbuatan menyikat rambut sendiri yang seakan serupa fungsinya seperti objek penyapu atau penyodok.
Jika ia masih tidak dapat dibersihkan dengan baik, anda juga perlu mencuci rambut dan kulit kepala anda menggunakan syampu seperti saranan pakar rambut.
#4. Mengeluarkan rambut yang rosak
Rambut yang beruban, bergumpal atau bercabang merupakan ciri-ciri rambut rosak dan ia akan meningkatkan risiko anda mengalami keguguran serta kebotakan.
Secara umumnya, majoriti individu yang sihat akan kehilangan sekitar 100 ke 150 helai rambut sehari dan ia perlu dibuang agar tidak terlihat dengan mata kasar.
Caranya, tentu sahaja dengan menyikat rambut namun ia perlu dilakukan dengan lebih berwaspada agar anda tidak pula membuang rambut yang masih lagi sihat.
Apa panduan cara sikat rambut yang betul?
Walaupun kami kata ia adalah perbuatan yang mungkin akan membawa pelbagai manfaat kepada mahkota anda, ia masih perlu dilakukan dengan garis panduan.
Jangan hanya sekadar sisir dan sikat begitu sahaja, buat begini agar rambut anda tidak rosak:
Elakkan sikat rambut dengan kerap
Sekiranya ia terlalu sering diusik, maka sifat dan fitur semula jadinya mungkin akan hilang terutamanya jika anda menyisir dengan terlalu kerap dan kuat.
Idealnya, anda mungkin boleh menyikatnya sekurang-kurangnya hanya 2 kali sehari contohnya sekali di waktu pagi dan sekali lagi waktu malam kelak.
Dengan ini, segala manfaat yang telah kami nyatakan di atas tadi masih dapat diperolehi dan dalam masa yang sama dapat elakkan ia daripada kerosakan.
Sesuaikan dengan kondisi rambut anda
Bukan itu sahaja, anda juga perlu tahu jenis rambut anda sama ada ia lurus, keriting atau ikal mayang dan sesuaikan ia dengan jenis sikat anda juga.
Selain itu, sesuaikan juga dengan kondisi rambut anda sama ada ia sedang basah atau kering:
- Rambut basah – Anda tidak disarankan untuk sisir rambut yang sedang basah kerana ia berada dalam keadaan yang sangat rapuh dan mudah putus
- Rambut kering – Anda tidak disarankan untuk sisir rambut yang sedang kering dengan terlalu kerap dan kasar ekoran sebab yang sama seperti di atas
Dalam erti kata lebih mudah, elakkan daripada menyikat rambut yang sedang basah, kering atau baru sahaja menjalani rawatan di salun dan dapatkan nasihat serta informasi lebih lanjut daripada pakar.