backup og meta

Cari Jalan Nak Elak Kulit Muka Berkedut? Ini 9 Produk Antioksidan WAJIB Cuba!

Cari Jalan Nak Elak Kulit Muka Berkedut? Ini 9 Produk Antioksidan WAJIB Cuba!

Ramai yang menyebut mengenai antioksidan, tetapi tidak ramai yang tahu apa itu antioksidan dan kesannya yang sebenar pada kulit. Ini antara kebaikan bahan antioksidan jika anda gunakan pada kulit anda.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.

Apa itu antioksidan?

Ramai yang mungkin keliru apa itu antioksidan yang sebenar. Antioksidan merupakan sejenis molekul yang berfungsi melawan radikal bebas dalam badan anda.

Radikal bebas pula ialah sebatian yang boleh menyebabkan kemudaratan jika parasnya menjadi terlalu tinggi dalam tubuh badan.

Radikal bebas biasa dikaitkan dengan pelbagai penyakit, termasuklah diabetes, penyakit jantung dan juga kanser.

Untuk pengetahuan anda, tubuh badan manusia mempunyai pertahanan antioksidannya yang tersendiri bagi mengawal radikal bebas.

Namun, ia juga boleh diperoleh daripada sumber makanan harian, terutamanya dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Beberapa jenis vitamin seperti vitamin E dan C, ialah antioksidan yang sangat berkesan dalam melawan radikal bebas.

Antioksidan digunakan secara meluas dalam produk penjagaan kulit.

Ia digunakan secara topikal untuk memperbaiki banyak masalah kulit kosmetik dan mempunyai kesan antipenuaan dan kualiti perlindungan kulit yang baik.

Kini anda telah tahu apa itu antioksidan, kan? Jom lihat kebaikannya pada kulit.

Kebaikan bahan antioksidan dalam produk penjagaan kulit

bahan antioksidan

Kebanyakan produk penjagaan kulit menggabungkan antioksidan ke dalam formulasi mereka untuk memberikan manfaat antioksidan terus kepada kulit.

Sejauh mana keberkesanan antioksidan yang digunakan secara topikal masih agak tidak jelas.

Namun, pelbagai kajian telah dilakukan, dan sehingga kini antioksidan boleh dilihat memberikan banyak kebaikan.

Antara manfaat antioksidan ialah:

#1. Perlindungan terhadap kerosakan UV

Kerosakan yang berpunca daripada cahaya matahari adalah antara faktor penuaan kulit yang terbesar.

Namun anda tidak perlu risau kerana antara kebaikan bahan antioksidan adalah melindungi kulit daripada sinar ultraungu matahari (UV).

Antioksidan boleh membantu memberikan kesan perlindungan terhadap kerosakan UV apabila digunakan bersama dengan pelindung matahari atau sunscreen.

#2. Mengurangkan keradangan pada kulit

Radikal bebas sememangnya boleh menyebabkan keradangan pada kulit tanpa anda sedari.

Penggunaan produk penjagaan kulit dengan antioksidan boleh membantu mengurangkan keradangan selain mempunyai kesan yang menenangkan pada kulit.

#3. Bahan antioksidan boleh memperlahankan penuaan pramatang

Antioksidan topikal boleh menjadikan kulit kelihatan lebih muda dan melindungi daripada penuaan disebabkan faktor luaran.

Contohnya, penuaan pramatang yang disebabkan oleh pendedahan matahari yang kronik, merokok, pencemaran dan pelbagai faktor lain.

Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana antioksidan boleh membantu memperlahankan proses ini.

Kebaikan bahan antioksidan boleh diperoleh daripada produk-produk ini

bahan antioksidan

Antioksidan bukanlah sejenis bahan sahaja. Oleh itu, anda tidak akan melihat atau menemui perkataan ‘antioksidan’ dalam senarai ramuan produk penjagaan kulit anda.

Antioksidan sebaliknya merujuk kepada sekumpulan besar bahan yang berfungsi dengan cara yang sama iaitu melawan kerosakan akibat radikal bebas.

Bahan-bahan di bawah merupakan antara beberapa antioksidan yang terbukti keberkesanannya, dan banyak digunakan dalam penjagaan kulit:

#1. Vitamin C

Ini adalah antara salah satu antioksidan penjagaan kulit yang paling banyak digunakan dan telah terbukti fungsinya.

Ia mungkin disenaraikan sebagai asid L-askorbik atau ester-C pada produk penjagaan kulit.

Untuk makluman anda, vitamin C membantu merangsang pengeluaran kolagen dan antioksidan terbaik untuk memudarkan kesan gelap. 

#2. Vitamin E

Selain sebagai antioksidan, vitamin E juga membantu mempercepatkan penyembuhan dan melembapkan kulit anda.

#3. Asid ferulik

Asid ferulik topikal boleh melindungi kulit daripada kerosakan akibat cahaya matahari.

Ia paling berkesan apabila digunakan bersama-sama dengan krim vitamin C dan juga E.

#4. Retinol

Retinol ialah sejenis vitamin A dan boleh dikatakan sebagai produk yang paling berkesan untuk mengurangkan garis halus dan kedutan kulit.

Retinol juga boleh melicinkan kulit anda.

Bahan antioksidan #5. Koenzim Q10

Koenzim Q10 adalah salah satu antioksidan yang dihasilkan oleh badan anda.

Ia secara semula jadi ditemui dalam kulit tetapi semakin berkurangan apabila usia kita semakin meningkat.

Koenzim Q10 boleh meningkatkan keanjalan dan tekstur kulit.

bahan antioksidan

#6. Ekstrak botani (phytoextracts)

Terdapat banyak ekstrak botani yang digunakan dalam produk penjagaan kulit kerana sifat antioksidannya.

Ekstrak yang paling biasa digunakan termasuklah teh hijau atau teh putih, kopi, calendula, dan juga rosemary.

Ekstrak botani adalah ramuan penjagaan kulit yang sangat biasa dan sering digabungkan ke dalam formula produk penjagaan kulit. 

#7. Niacinamide

Juga dikenali sebagai vitamin B3.

Antara kebaikan bahan antioksidan niacinamide ini adalah memperbaiki tona dan tekstur kulit, serta membantu memudarkan kesan gelap.

#8. Resveratrol

Sebatian yang terdapat dalam anggur, beri, dan teh ini adalah baik untuk perlindungan UV dan antiradang.

Ia juga boleh meningkatkan kandungan kolagen dan elastin pada kulit anda.

#9. Curcumin

Curcumin ialah polifenol yang terdapat dalam kunyit. Ia dipercayai memberikan sifat antiradang dan pencerahan kulit tanpa mengotorkan kulit anda.

Perubahan tidak berlaku semalaman

Selepas membaca penerangan di atas, anda kini telah tahu apa itu antioksidan dan fungsinya. Secara umumnya, antioksidan boleh membantu mengurangkan kedutan pada kulit anda.

Selain itu, antara manfaat antioksidan yang lain adalah dengan menjadikan kulit anda lebih cerah dan lembut.

Namun, perubahan positif ini tidak akan berlaku dalam tempoh yang singkat. Anda perlu kerap mengamalkannya dan menunggu hasilnya dengan sabar.

Jangan lupa untuk sentiasa menggunakan sunscreen juga kerana ia boleh membantu melindungi kulit daripada sinar UV matahari dengan lebih baik. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Nguyen, G., & Torres, A. (2012). Systemic antioxidants and skin health. Journal of drugs in dermatology : JDD, 11(9), e1–e4. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/23135663/#:~:text=Most%20dermatologists%20agree%20that%20antioxidants,as%20preventing%20wrinkles%20and%20inflammation. Accessed on February 4, 2022. 

Addor F. (2017). Antioxidants in dermatology. Anais brasileiros de dermatologia, 92(3), 356–362. https://doi.org/10.1590/abd1806-4841.20175697. Accessed on February 4, 2022.

Antioxidants: In Depth. https://www.nccih.nih.gov/health/antioxidants-in-depth. Accessed on February 4, 2022.

Antioxidants: What You Need to Know. https://familydoctor.org/antioxidants-what-you-need-to-know/. Accessed on February 4, 2022.

Everything You Need To Know About Antioxidants. https://health.clevelandclinic.org/what-do-antioxidants-do/. Accessed on February 4, 2022.

Versi Terbaru

24/05/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Maria Stork


Artikel Berkaitan

8 Kesilapan Penjagaan Kulit Semasa Musim Panas

Jika Ada Kencing Manis, Pastikan Anda Amalkan 7 Tips Penjagaan Kulit Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan