backup og meta

Penghidap Diabetes Perlu Kekalkan Berat Seimbang! Ikut 5 Tip Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/01/2022

    Penghidap Diabetes Perlu Kekalkan Berat Seimbang! Ikut 5 Tip Ini

    Bagi pesakit diabetes, mereka bukan sahaja perlu menjaga aspek pemakanan, tetapi dalam masa sama harus memastikan berat badan seimbang. Jadi, ada ke cara kekalkan berat badan yang boleh diamalkan?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis sila dapatkannya di sini.

    Berat badan sihat untuk pesakit diabetes

    Apabila anda menghidap kencing manis, berupaya mengekalkan berat badan sihat mempunyai banyak manfaatnya, seperti:

    • Membantu melindungi tekanan darah dan kolesterol
    • Mengurangkan risiko mengalami masalah serius berkaitan mata, kaki dan jantung

    Bahkan, ia juga membantu pesakit berasa dan tampak lebih sihat.

    Amnya untuk mengurangkan berat boleh menjadi perkara yang sukar, tetapi mengekalkan berat seimbang adalah sesuatu yang lebih sukar. Ini kerana ia adalah normal untuk berat badan naik dan turun.

    Namun dengan perancangan dan sokongan yang betul, anda boleh melakukannya. 

    Cara kekalkan berat badan: Turun atau naikkan berat

    Sekiranya anda perlu menurunkan berat, sebaiknya fokus untuk mengambil makanan seperti:

  • Makanan protein tanpa lemak
  • Makanan tinggi serat
  • Kurangkan pengambilan karbohidrat diproses
  • Perbanyakkan buah-buahan dan sayuran
  • Pengambilan produk tenusu rendah lemak
  • Pengambilan lemak berasaskan sayuran sihat seperti avokado, kacang, minyak kanola atau minyak zaitun
  • Baca juga:

    Seorang pesakit diabetes juga harus mengawal pengambilan karbohidrat. Berundinglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk mengetahui jumlah saranan harian untuk makanan dan snek.

    Secara amnya, wanita harus menyasarkan kira-kira 45 gram karbohidrat bagi setiap hidangan. Manakala anggaran saranan untuk lelaki adalah 60 gram.

    Sebaiknya, ia harus datang daripada sumber makanan karbohidrat kompleks, buah-buahan dan sayuran.

    Bagi mereka yang mengalami masalah kurang berat badan atau berdepan kesukaran dengan selera makan, adalah penting untuk mengambil makanan yang digemari berbanding menjadi terlalu ketat dalam aspek pemakanan.

    Cara kekalkan berat badan bagi individu dengan diabetes 

    Sudah tentu asas untuk mengekalkan berat adalah untuk makan secara sihat, kawal saiz hidangan dan banyakkan bergerak. 

    Berikut antara beberapa petua dan cara mengekalkan berat badan sihat apabila menghidap diabetes:

    Makan dengan baik

    Selepas berjaya menyingkirkan berat berlebihan, idea yang baik adalah untuk menentukan jumlah pengambilan kalori harian.

    Kebanyakan individu memerlukan kurang daripada jumlah yang disyorkan – 2,500 kalori bagi lelaki dan 2,000 kalori bagi wanita dalam sehari – bagi mengekalkan berat badan seimbang dan sihat. 

    Bagi pesakit diabetes, anda boleh meminta doktor menentukan jumlah kalori yang diperlukan sekiranya tidak pasti.

    Sebaik sahaja anda sudah mengamalkan pemakanan yang baik dan seimbang, terdapat sesetengah makanan mungkin diambil secara berulang. Jadi anda boleh mengolahnya dengan beberapa resipi baharu bagi mengekalkan motivasi diri.

    Perhatikan berat dan saiz pinggang, cara kekalkan berat badan 

    cara kekalkan berat badan

    Biasakan untuk mengukur pinggang dan menimbang berat dengan kerap. Ia membolehkan anda memantau dengan teliti sebarang perubahan diri.

    Anda juga boleh mengukur indeks jisim badan (BMI) dengan menggunakan kalkulator Hello Doktor ini.

    Saiz pinggang yang sihat adalah bergantung kepada jantina dan etnik anda.

    Cara kekalkan berat badan #Merancang ke hadapan dan buat catatan

    Merancang lebih awal tentang menu makanan anda merupakan perkara yang terbaik buat pesakit diabetes.

    Antara contoh situasinya adalah, sekiranya anda lewat pulang dari kerja dan tidak mempunyai masa memasak, anda boleh menyediakan salad bersama sekeping daging yang dimasak untuk hidangan sihat.

    Catatkan matlamat anda untuk seminggu serta kemajuan yang dicapai setiap minggu. Menetapkan matlamat dan membaca semula apa yang ditulis akan membantu anda terus bermotivasi.

    cara kekalkan berat badan

    Kekal aktif 

    Sekiranya bergerak aktif dapat membantu anda menurunkan berat, maka teruskan aktif dan jadikannya sebagai sebahagian rutin harian sebagai cara kekalkan berat badan.

    Sekiranya baru bermula, cuba berjalan lebih banyak dan tingkatkan intensiti aktiviti secara beransur-ansur.

    Pelbagai aktiviti boleh anda lakukan bermula daripada berjalan kaki ke berenang, paling penting pastikan ia aktiviti yang sesuai dengan diri.

    Tambahkan beberapa aktiviti baharu jika anda berasa bosan dengan apa yang dilakukan setiap hari – di sinilah anda diuji untuk kekal melakukannya atau berhenti di tengah jalan. 

    Sebaiknya sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal baharu, berundinglah dengan doktor atau pakar. Ini penting untuk memastikan anda mempunyai semua maklumat yang diperlukan bagi mengelakkan daripada menjejaskan kencing manis.

    Ini terutamanya jika anda merawat diabetes menggunakan insulin atau ubat diabetes tertentu seperti sulfonilurea, kerana menjadi lebih aktif boleh meningkatkan risiko hipo.

    cara kekalkan berat badan

    Mendapatkan dan memberikan sokongan pada pesakit diabetes

    Apabila berjaya mencapai dan mengekalkan berat badan seimbang, mungkin anda boleh berkongsikan petua dan tip kepada penghidap diabetes lain.

    Sekiranya anda mempunyai masalah dengan cara kekalkan berat badan, berbincanglah dengan doktor anda untuk mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.  

    Jika terdapat sebarang keraguan atau pertanyaan mengenai tahap kesihatan diabetes dan cara mengawal berat badan, berjumpalah dengan doktor. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan