Dalam dunia perubatan tradisional Melayu, ia lebih dikenali sebagai alternatif untuk merawat penyakit kulit. Maka, tidak pelik jika ramai yang kata daun gelenggang ubat gatal dan daun gelenggang ubat eczema.
Ingin tahu apakah lagi manfaat daun ini? Adakah ia juga membantu merawat kurap? Jom baca artikel!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
6 khasiat daun gelenggang @ senna
Terdapat beberapa khasiat daun senna yang telah terbukti melalui kajian yang dijalankan oleh penyelidik sebelum ini.
Antara khasiat daun senna ini ialah:
#1. Sebagai antikulat merawat kurap
Persoalannya, cara guna daun gelenggang untuk gatal atau masalah kulit lain seperti kurap?
Jika daun ini direbus di dalam air, kita boleh mengekstrak kandungan etanol dan juga air daripada daun tersebut yang mengandungi ciri-ciri antikulat dan juga antimikrob.
Kedua-dua ciri ini sangat berkesan dalam merawat masalah kulit.
Oleh sebab itu, daun ini sangat ampuh dalam merawat penyakit kurap memandangkan ia mempunyai ciri antidermatofit yang menjadi punca utama terjadinya kurap.
Selain itu, daun ini juga berkesan dalam merawat penyakit yang lain seperti berikut:
- Cadidia Albicans
- Trichyophyton Mentagraphytes
- Microsporum Canis
#2. Bertindak sebagai antikeradangan
Jika anda ada mengalami keradangan pada kulit, mungkin daun gelenggang ubat kurap ini boleh membantu.
Pokok gelenggang mempunyai ciri antiradang dan antioksidan yang hebat.
Anda boleh mencuba dengan menyapu atau menuam daun ini pada kawasan yang terjejas kerana ia membantu mengurangkan keradangan dengan berkesan.
Dalam satu kajian yang telah dijalankan, daun pokok ini mempunyai kandungan atau ciri antikeradangan yang terbaik berbanding empat jenis herba yang lain.
#3. Daun gelenggang ubat kurap juga boleh merawat kecacingan
Secara umumnya, kesemua pokok dalam keluarga pokok Cassia mempunyai kemampuan untuk menyingkirkan cacing daripada tubuh badan.
Namun, pokok gelenggang ini mempunyai kesan yang lebih kuat berbanding jenis pokok Cassia yang lain.
Ekstrak air daripada daun pokok ini boleh diminum bagi merawat kecacingan dan kaedah ini telah digunakan secara tradisional sejak dahulu lagi.
#4. Selain masalah kulit, ia juga boleh merawat demam
Percaya atau tidak, pokok gelenggang juga boleh membantu anda merawat gejala demam biasa yang dialami.
Ini kerana, pokok gelenggang mempunyai ciri untuk merawat simptom demam dan air rebusan daunnya boleh digunakan untuk menurunkan suhu badan.
Selain itu, ekstrak daun pokok ini juga boleh digunakan untuk merawat demam malaria memandangkan ia juga mempunyai ciri antimalaria.
#5. Mempunyai ciri antikanser juga
Selain untuk masalah kulit dan demam, daun gelenggang juga sebenarnya mempunyai ciri antikanser yang baik.
Ia juga telah terbukti melawan sel kanser dengan berkesan seperti karsinoma kolon, karsinoma pundi kencing dan karsinoma kolorektal.
Ekstrak antikanser yang diperoleh daripada pokok gelenggang ini hanya bertindak terhadap sel kanser sahaja tanpa merosakkan atau membahayakan sel sihat yang lain.
#6. Sebagai ubat julap
Secara tradisionalnya, daun gelenggang juga digunakan sebagai bahan laksatif atau julap untuk memudahkan pembuangan air besar.
Daun ini bertindak dengan cara menggalakkan pergerakan peristalsis usus besar melalui rangsangan mukosa usus.
Kesannya, ia boleh membantu mengelakkan masalah sembelit daripada berlaku.
Ciri ubat julap daun ini adalah disebabkan kandungan sennoside yang terdapat dalam daun tersebut.
Kesan sampingan penggunaan daun ini
Apa pun ubat atau bahan persediaan tradisional yang anda ambil, ia pasti mempunyai beberapa kesan sampingan.
Begitu juga jika anda mengambil pokok gelenggang untuk tujuan rawatan penyakit tertentu, ia turut memberikan beberapa kesan sampingan yang lain.
Antara kesan sampingannya ialah seperti keloyaan, sakit perut, cirit-birit, sakit sendi, masalah angin dalam perut, perubahan warna pada air kencing dan juga kerosakan pada dinding usus.
Selain itu, ia juga mungkin boleh menyebabkan kerosakan hati yang kronik jika diambil pada jumlah yang terlalu banyak.
Amaran penggunaan daun ini oleh KKM
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan untuk meletakkan kenyataan amaran tertentu pada label ubat atau produk yang mengandungi pokok gelenggang.
Antaranya ialah, elakkan penggunaan ubat dengan daun gelenggang sekiranya mempunyai sakit otot, mual-mual atau muntah-muntah.
Selain itu, penggunaan daun gelenggang dalam jangka masa panjang mungkin boleh menyebabkan kebergantungan kepada produk tersebut dan mengakibatkan ketidakseimbangan elektrolit.