Penyakit dermatitis perioral, sejenis kondisi kulit yang menimbulkan ruam di sekitar mulut. Ruam juga boleh terbentuk di sekitar mata, hidung, atau alat kelamin, walaupun ia agak jarang berlaku.
Dermatitis adalah istilah yang merujuk kepada keradangan kulit, dan perioral membawa maksud di sekitar mulut.
Kondisi ini juga kadangkala disebut, dermatitis periorificial. Jika penyakit ini menyerang kanak-kanak, ia digelar sebagai dermatitis perioral kanak-kanak.
Ia paling kerap berlaku pada wanita berusia antara 16 hingga 45 tahun. Orang tua, lelaki, dan kanak-kanak juga tidak terkecuali, namun jarang berlaku.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Penyakit dermatitis perioral, apa simptomnya?
Dermatitis perioral adalah ruam yang timbul di sekitar mulut dan cenderung punyai fizikal kulit menggerutu atau bersisik.
Kondisi ini secara umumnya tidak mempengaruhi mulut tetapi ia mempengaruhi kulit di sekitar bibir, membentuk seakan cincin di sekitar mulut.
Kadangkala ruam ini juga boleh muncul di sekitar hidung atau mata. Dalam kes yang jarang berlaku pula, ia boleh terbentuk di sekitar alat kelamin!
Bagaimana rupanya?
Sesetengah penderita penyakit dermatitis perioral mungkin hanya mengalami beberapa kesan lebam, dan ruamnya juga mungkin tidak begitu ketara.
Namun, ada juga yang mungkin mengalami banyak benjolan yang membentuk ruam yang ketara.
Benjolan-benjolan ini biasanya berwarna kulit, atau, pada orang berkulit cerah mungkin kelihatan kemerahan atau merah jambu.
Walaupun fizikalnya mungkin menyerupai jerawat, benjolan ini tidak sama dengan akne!
Selain itu, ruam juga mungkin terasa gatal atau sebaliknya, tetapi biasanya ia tidak menyakitkan.
Apa punca dermatitis perioral?
Malangnya, punca dermatitis perioral masih tidak diketahui.
Pun begitu, teori mengatakan ia mungkin berpunca dek kerana penggunaan steroid topikal yang kuat pada kulit.
Ia mungkin dipreskripsikan untuk merawat keadaan lain. Bahkan, semburan hidung yang mengandungi kortikosteroid juga boleh memicu dermatitis perioral.
Bahan-bahan tertentu terkandung dalam kosmetik turut berisiko menyebabkan dermatitis perioral!
Krim kulit yang ‘berat’ mengandungi petrolatum atau asas parafin, mampu akibatkan atau memburukkan lagi penyakit dermatitis ini.
Faktor lain yang boleh mencetuskan kondisi ini merangkumi:
- Drooling (lelehan air liur) yang berterusan
- Ubat gigi berfluorinasi
- Pil pencegah kehamilan
- Krim pelindung matahari
- Rosacea
- Jangkitan bakteria atau kulat
Pilihan rawatan yang tersedia
American Osteopathic College of Dermatology (AOCD) mengesyorkan untuk menghentikan penggunaan krim steroid topikal atau semburan hidung yang mengandungi steroid (jika boleh).
Produk-produk ini berupaya memburukkan lagi gejala dan kemungkinan bertanggungjawab terhadap simptom tersebut.
Walau bagaimanapun, pastikan untuk berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum menghentikan sebarang ubat-ubatan.
Doktor akan menentukan rawatan anda berdasarkan tahap keparahan kondisi yang dialami.
Dalam beberapa kes, menggunakan sabun yang selamat, menghentikan penggunaan krim kulit ‘berat’ dan ubat gigi berfluorinasi dapat meredakan gejala. Ubat juga boleh percepatkan proses penyembuhan.
Ubat preskripsi
Ubat yang mungkin ditetapkan oleh doktor untuk merawat kondisi anda termasuk:
- Ubat antibiotik topikal, seperti metronidazole dan eritromisin.
- Krim imunosupresif, seperti krim pimecrolimus atau tacrolimus.
- Ubat jerawat topikal, seperti adapalene atau asid azelaic.
- Antibiotik oral; doxycycline, tetracycline, minocycline, atau isotretinoin, untuk kes yang lebih teruk.
Diet dan gaya hidup
Perubahan gaya hidup juga dianggap sebagai sebahagian daripada rawatan penyakit dermatitis perioral.
Pertimbangkan perkara-perkara berikut:
- Buang skrub muka yang kasar atau pembersih dengan pewangi tiruan.
- Elakkan krim steroid, bahkan hidrokortison tanpa preskripsi.
- Berhenti gunakan atau kurangkan penggunaan alat solek dan kosmetik.
- Basuh sarung bantal dan tuala anda di dalam air panas dengan kerap.
- Hadkan makanan yang terlalu masin atau pedas. Ia boleh merengsakan kulit di sekitar mulut.
Bagaimana saya boleh mencegah dermatitis perioral?
Disebabkan pemicu dermatitis perioral adalah berbeza-beza dan masih tidak difahami sepenuhnya, tiada cara yang pasti boleh kalian lakukan untuk mengelakkannya.
Tapi, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk bantu mengurangkan atau mengelakkannya daripada menjadi lebih parah, seperti:
Lindungi kulit anda
Hadkan jumlah masa kulit terdedah kepada cahaya matahari.
Sinar ultraviolet matahari (UV), cuaca panas, dan angin dapat memperburukkan lagi kondisi dermatitis perioral.
Beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat dermatitis perioral juga akan menjadikan kulit anda lebih sensitif terhadap selaran matahari.
Pastikan untuk sentiasa melindungi kulit jika anda harus berada di bawah sinar matahari untuk jangka masa yang lama.
Elakkan steroid topikal
Elakkan penggunaan krim dan salap steroid kecuali jika diarahkan secara spesifik oleh doktor ya!
Sekiranya doktor atau ahli farmasi lain mempreskripsikan steroid topikal, pastikan untuk memaklumkan penyakit dermatitis yang dialami.
Secara amnya, kondisi ini lebih cenderung terbentuk dengan penggunaan steroid topikal yang lebih kuat. Jadi, gunakan jenis yang paling lemah untuk merawat penyakit.
Gunakan kosmetik dengan berhati-hati
Elak menggunakan kosmetik atau krim kulit yang ‘berat’. Dapatkan khidmat nasihat doktor anda mengenai pelembap yang sesuai digunakan.
Selain itu, cuba tukar jenama jika anda memutuskan untuk terus menggunakan kosmetik.
Tukar juga kepada pembersih dan pelembap yang terbukti lembut dan selamat.
Minta cadangan daripada pakar dermatologi mengenai produk paling sesuai dengan kondisi kulit anda.