Produk kosmetik ini mungkin mengandungi tretinoin, hydroquinone ataupun merkuri yang tidak boleh digunakan ke atas kulit sewenang-wenangnya.
3 bahan ini merupakan antara yang popular digunakan di dalam formulasi produk kecantikan palsu.
Walaupun ia mungkin berkesan kepada orang lain, tidak bermakna ia akan berkesan kepada anda! Oleh itu, hati-hatilah jika anda terjumpa produk yang mengandungi 3 bahan berikut:
1. Tretinoin
Tretinoin merupakan sejenis vitamin A sintetik yang digunakan untuk merawat kulit yang berjerawat, kedutan dan juga hiperpigmentasi.
Penggunaan tretinoin adalah dilarang sama sekali tanpa preskripsi doktor. Tretinoin merupakan sebuah produk farmaseutikal yang hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Produk kecantikan yang dicampur dengan tretinoin selalunya mendakwa boleh menyembuhkan jerawat dalam masa yang singkat.
Walau bagaimanapun, tretinoin mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kulit akan jadi kering, gatal dan merah-merah.
Tambahan lagi, bahan ini boleh buatkan individu yang berjerawat jadi makin teruk pada awal penggunaannya.
Tretinoin berfungsi dengan cara mempercepatkan pertukaran sel kulit. Oleh itu, normal bagi pengguna tretinoin mengalami iritasi.
Selain itu, pengguna tretinoin juga perlu rajin mengaplikasi pelindung matahari pada muka kerana kulit akan jadi lebih sensitif terhadap matahari selepas penggunaan bahan ini.
2. Hydroquinone

Hydroquinone popular dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai bahan dalam produk kosmetik yang boleh memutihkan kulit. Sama seperti tretinoin, hydroquinone perlu dipakai di bawah pengawasan pakar.
Kulit manusia selalunya dapat bertoleransi dengan hydroquinone. Sebab itulah, ramai pemakai hydroquinone rasa selesa dan selamat ketika memakai produk skin-bleaching ini.
Hydroquinone jarang menunjukkan apa-apa kesan sampingan jika dipakai dalam kepekatan yang rendah.
Walau bagaimanapun, produk kecantikan palsu yang mengandungi hydroquinone selalunya mempunyai formulasi kepekatan yang lebih tinggi daripada biasa.
Ia boleh akibatkan pemakainya mengalami kulit kering, gatal, pruritus, erythema dan dermatitis sentuh.
Jika anda mendapat preskripsi produk yang mempunyai hydroquinone, jangan guna terlalu kerap pada muka. Ikut arahan yang diberikan oleh doktor dan elakkan guna sekitar kawasan mata dan mulut.
3. Merkuri
Jangan beli produk kosmetik yang mengandungi merkuri! Lebih-lebih lagi produk yang mendakwa boleh bantu rawat penuaan dan memutihkan kulit.
Baca senarai bahan kandungan di belakang produk tersebut terlebih dahulu.
Jika ada perkataan ‘mercurous dioxide’, ‘calomel’, ‘mercuric’, ‘mercurio’ atau ‘mercury’, jangan beli atau pakai produk tersebut kerana ia mengandungi merkuri.
Pendedahan kepada merkuri boleh membuatkan kesihatan anda terjejas. Malah, produk yang mengandungi merkuri bukan sahaja bahaya kepada pemakai, tetapi juga kepada ahli keluarga.