Penyakit kulit dermatitis atopik atau turut dikenali dengan nama ekzema merupakan sejenis inflamasi kulit yang paling lazim di dunia.
Penyakit ini selalunya bermula dari kecil dan boleh berlaku disebabkan oleh bakteria, kulat, yis dan juga virus pada permukaan kulit.
Separuh daripada pesakit yang mempunyai dermatitis atopik turut menghidap penyakit lain seperti asma, rinitis alahan dan juga alahan makanan.
Dermatitis atopik selalunya dirawat menggunakan ubat sapu, ubat makan dan kadangkala suntikan alahan.
Walaupun banyak rawatan yang tersedia untuk penyakit ekzema, namun masih ramai pesakit yang mencari kaedah lain yang lebih semula jadi untuk melegakan kegatalan yang dialami.
Salah satunya ialah penggunaan minyak ikan atau fish oil sebagai suplemen untuk pesakit ekzema. Minyak ikan amat baik untuk mereka yang menghidap penyakit kulit dermatitis disebabkan sifat anti inflamasinya.
Walau bagaimanapun, sejauh manakah penggunaan suplemen minyak ikan boleh merawat penyakit ekzema?
Penyakit kulit dermatitis dan minyak ikan
Tujuan utama rawatan untuk dermatitis atopik adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan pesakit. Ramai yang tahu penyakit kulit boleh menyebabkan kegatalan dan ketidakselesaan yang amat sangat.
Kegatalan ini pula selalunya berlaku disebabkan reaksi alergi atau autoimun badan terhadap alergen ataupun bahan yang boleh menyebabkan iritasi.
Malah, bukan mudah untuk pesakit ekzema mengelakkan pemicu atau ‘trigger’ yang boleh mencetuskan simptom.
Sebagai contoh, sukar untuk kita elakkan bahan-bahan yang kita gunakan setiap hari seperti sabun, minyak wangi, fabrik tertentu dan juga debu yang terampai di persekitaran.
Semua bahan-bahan ini boleh mencetuskan reaksi alahan dan menyebabkan pesakit mengalami simptom seperti gatal-gatal, mata berair, hidung tersumbat dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, asid lemak omega-3 yang terkandung di dalam suplemen minyak ikan boleh mengurangkan reaksi alahan dengan cara menghentikan penghasilan bahan yang boleh menyebabkan iritasi kepada badan.
Selain itu, mereka yang menghidap ekzema didapati mempunyai kadar asid lemak omega-3, EPA (eicosapentaenoic acid) dan DHA (docosahexaenoic acid) yang lebih rendah berbanding orang lain.
Oleh sebab itu, pengambilan suplemen minyak ikan didapati boleh mengurangkan inflamasi dan mengurangkan masalah gatal-gatal jika diambil dalam jangka masa panjang.
Masalah kulit gatal juga selalu dikaitkan dengan kecacatan pada permukaan kulit.
Asid lemak omega-3 yang terkandung di dalam minyak ikan boleh memperbaiki sel kulit, membuatkannya lebih sihat dan dapat menampung air dengan lebih baik.
Adakah minyak ikan selamat untuk dimakan?
Minyak ikan merupakan salah satu sumber utama asid lemak omega-3. Untuk pengetahuan anda, asid lemak omega-3 hanya boleh didapati melalui diet dan tidak boleh dihasilkan oleh badan.
Sebagai contoh, asid lemak omega-3 boleh didapati di dalam makanan laut seperti salmon dan mackerel serta kerang-kerangan seperti tiram dan ketam.
Asid lemak omega-3 ini juga boleh didapati di dalam bentuk lain yang dikenali dengan nama alpha-linolenic acid (ALA) di dalam kekacang dan minyak sayuran tertentu.
Selalunya, minyak ikan dijual di dalam bentuk kapsul dan pil. Namun, ia juga boleh ditemui di dalam bentuk cecair.
Asid lemak omega-3 di dalam minyak ikan selalunya selamat untuk dimakan. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai alahan terhadap makanan laut, pastikan anda berjumpa doktor terlebih dahulu untuk sesi konsultasi.
Jika anda tidak mahu mengambil suplemen, cuba tambahkan makanan laut seperti ikan salmon yang direbus atau dibakar ke dalam diet anda. Elakkan menggoreng ikan tersebut supaya nutrisinya dapat dikekalkan.
Asid lemak omega-3 yang terkandung di dalamnya bukan sahaja boleh mengurangkan simptom penyakit kulit dermatitis, ia juga amat bermanfaat untuk mereka yang menghidap arthritis.
Walaupun minyak ikan mempunyai sifat anti inflamasi, masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan untuk menentukan sama ada ia benar-benar berkesan ataupun tidak untuk merawat penyakit kulit dermatitis.
Kesan sampingan minyak ikan untuk dermatitis atopik
Semua jenis ubat mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri termasuklah pengambilan minyak ikan.
Walau bagaimanapun, kesan sampingannya bersifat ringan dan mungkin berlaku kepada sebahagian kecil pengamalnya sahaja.
Sebagai contoh, mereka yang mengambil suplemen minyak ikan mungkin akan mengalami:
- Masalah bau nafas. Suplemen minyak ikan mungkin akan membuatkan mulut berbau hanyir seperti ikan.
- Rasa hanyir di dalam mulut yang kekal untuk beberapa waktu.
- Pedih ulu hati, loya dan cirit-birit.
- Muncul ruam pada badan.
Pengambilan minyak ikan dalam dos yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko pendarahan dan juga strok.
Malah, menurut American Academy of Dermatology, kanak-kanak yang mengambil suplemen minyak ikan perlulah dipantau.
Kadangkala, pemberian minyak ikan yang terlalu banyak boleh membuatkan mereka mengalami cirit-birit, loya dan juga sakit perut.
Kesimpulan
Jika anda menghidap penyakit kulit dermatitis, cubalah minyak ikan untuk mengurangkan masalah gatal-gatal yang dialami.
Tetapi, harus diingat, minyak ikan merupakan rawatan alternatif dan bukannya pengganti kepada ubat-ubatan yang telah doktor bekalkan kepada anda.
Walau bagaimanapun, jika anda risau mengenai kesan sampingannya, berjumpalah dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil suplemen tersebut.