Bibir kering, berkeruping dan kemerahan? Ini petanda penyakit bibir ekzema, juga dikenali sebagai dermatitis bibir atau eczematous cheilitis!
Simptom ini mungkin muncul di bibir dek kerana kecenderungan genetik terhadap ekzema, atau akibat faktor luaran lain.
Kondisi ini boleh terbentuk kerana habit suka menjilat bibir atau penggunaan produk tertentu seperti gincu, yang menjejaskan kulit anda.
Untuk makluman, ekzema merujuk kepada sekumpulan masalah kulit yang boleh menyebabkan ruam gatal, merekah, dan lepuh yang menyakitkan.
Dalam artikel ini, kita akan melihat penyebab, gejala, dan pilihan rawatan penyakit bibir ekzema. Teruskan pembacaan!
Jenis-jenis & gejala dermatitis bibir
Terdapat beberapa jenis ekzema di bibir yang boleh terbentuk, merangkumi:
- Cheilitis kontak merengsa berlaku akibat kerengsaan luaran, seperti menjilat bibir, kosmetik, dan faktor persekitaran.
- Cheilitis kontak alergi adalah reaksi alergi terhadap produk bibir, material pergigian, ubat gigi, atau ubat tertentu.
- Angular cheilitis terbentuk dek kerana jangkitan kulat, seperti kulat Candida, atau jangkitan bakteria. Seseorang individu berupaya memperoleh jangkitan kerana habit menjilat bibir, pemakaian gigi palsu, pendakap gigi, atau faktor lain yang menyebabkan air liur terkumpul di sudut mulut. Angular cheilitis juga kerap berlaku dalam kalangan penghidap diabetes.
Simptom-simptom kondisi bibir ekzema juga boleh berlaku pada salah satu atau kedua bibir, serta berpotensi menjejaskan kulit di dalam dan sekitar mulut. Antara gejalanya merangkumi:
- Kegatalan
- Sensasi terbakar
- Kesakitan
- Keradangan
- Ruam merah pada atau di sekitar bibir
- Kekeringan
- Kulit berpecah atau bersisik
Penyakit bibir ekzema, bagaimana boleh terbentuk?
Punca sebenar ekzema sehingga kini masih menjadi tanda tanya.
Namun, kondisi ini sering dikaitkan dengan perengsa, alergi, atau sejarah ekzema keluarga.
Dermatitis bibir juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti:
- Asap
- Debunga
- Makan makanan tertentu
- Sensitif terhadap suhu panas atau sejuk
- Alami jangkitan pernafasan
- Bersentuhan dengan haiwan
Faktor-faktor risiko
Anda mungkin menghadapi risiko ekzema pada bibir sekiranya kalian mempunyai:
- Sejarah keluarga ekzema, alahan, dan asma
- Tahap tekanan yang tinggi
- Selesema atau flu
- Perubahan tahap hormon, biasanya pada wanita
- Menggunakan produk baru seperti ubat gigi atau gincu
- Mempunyai pekerjaan yang melibatkan kontak berterusan dengan bahan tertentu
Rawatan perubatan & remedi yang boleh dicuba!
Pilihan rawatan perubatan yang boleh dicuba untuk penyakit bibir ekzema termasuk opsyen-opsyen berikut:
- Krim berubat, termasuk kortikosteroid
- Pelembap biasa
- Pelembap bibir
- Krim antikulat untuk angular cheilitis
National Eczema Association mengesyorkan remedi yang merangkumi bahan-bahan semula jadi seperti berikut untuk melegakan simptom ekzema secara umum.
Jika berminat untuk mencuba, pastikan bahan-bahan semula jadi yang diletakkan pada bibir menggunakan ramuan yang boleh dimakan seperti:
- Minyak kelapa
- Minyak biji bunga matahari
- Vitamin D
- Probiotik
- Akupunktur
- Acupressure
- Hipnosis
- Cuka epal
Cuka epal berisiko membuatkan kulit terbakar, jadi kalian harus menguji kepekaan kulit dengan mencubanya dalam jumlah kecil dahulu.
Dalam sesetengah kes, anda boleh menggunakan kombinasi remedi semula jadi.
Namun, jalan yang terbaik adalah untuk selalu berbincang dengan doktor dan melakukan ujian patch sebelum menggunakan produk baharu untuk elak seberang kerengsaan kulit.
Walaupun rawatan ini mungkin berkesan untuk melegakan simptom ekzema, namun ini bukanlah 1 kaedah penyembuhan atau pencegahan.
Cara terbaik untuk mencegah penyakit bibir ini adalah dengan mengenal pasti sebarang perengsa dan pemicu, agar langkah pencegahan boleh diambil.
Anda boleh mengurangkan risiko mengalami dermatitis bibir dengan:
- Elak asap rokok
- Membasmi bakteria daripada kulit dengan mencuci tangan dan muka dengan kerap
- Mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatan yang sedia ada
- Mengikuti cadangan doktor atau pakar dermatologi
- Mengenal pasti alahan dan mengelakkan alergen, yang mungkin merangkumi kosmetik atau makanan tertentu
- Melakukan patch test sebelum menggunakan produk topikal baharu
- Beralih ke produk semula jadi yang mengandungi lebih sedikit bahan kimia dan wangian tiruan
Bolehkah dermatitis bibir dicegah?
Dengan melakukan perubahan gaya hidup yang lebih sihat, penyakit bibir ekzema tidak mustahil dapat dicegah!
- Cuba kurangkan tekanan: Tekanan atau stres boleh meningkatkan tindak balas alahan badan. Aktiviti sperti meditasi, yoga, dan belajar teknik pernafasan mungkin dapat membantu anda menguruskan tekanan.
- Melembapkan bibir anda dengan kerap: Gunakan krim kulit pada waktu pagi dan malam. Simpan pelembap bibir di dalam beg agar mudah diakses. Peringatan, elak daripada menjilat bibir anda.
- Elakkan cuaca yang melampau: Jauhkan diri daripada suhu sejuk dan panas melampau. Berpeluh juga berupaya memicu kerengsaan.
- Elak makanan atau produk yang mengandungi alergen: Sentiasa rajinkan diri untuk membaca label pada produk atau makanan yang ingin dibeli.