backup og meta

Tip Membela Haiwan Peliharaan Walaupun Anda Mempunyai Alahan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

    Tip Membela Haiwan Peliharaan Walaupun Anda Mempunyai Alahan

    Berjuta-juta orang membela haiwan peliharaan, termasuklah mereka yang alah kepada haiwan. Malangnya, sesetengah orang percaya bahawa apabila mereka didiagnosis dengan alahan terhadap haiwan, mereka tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan haiwan peliharaan mereka daripada rumah. Sebenarnya terdapat banyak penyelesaian yang boleh diterokai yang akan membolehkan anda tetap membela haiwan peliharaan sambil menangani alahan.

    Kurangkan alergen dan simptom anda

    Sekiranya anda mengalami alahan terhadap haiwan peliharaan dan tindak balas alahan anda tidak mengancam nyawa, terdapat banyak cara untuk mengurangkan alergen dalam rumah dan simptom alahan supaya anda dan haiwan kesayangan anda dapat hidup bersama dengan lebih selesa.

    1. Uruskan rumah anda

    Buat zon “bebas alahan” dalam rumah anda, sebaik-baiknya bilik tidur dan larang haiwan peliharaan anda daripada memasukinya. Sementara di kawasan lain dalam rumah, elakkan perabot memerangkap habuk dan dander (kulit kering haiwan) seperti langsir kain berat dan lantai berkarpet. Bersihkan rumah dengan kerap untuk mengelakkan sebarang punca alahan. Pastikan anda membasuh lapik sofa dan bantal, langsir, dan katil haiwan kesayangan anda. Anda juga patut mempertimbangkan untuk menggunakan vakum dengan penapis HEPA dan penapis udara HEPA yang bertindak memerangkap bulu dan dander haiwan.

    2. Uruskan haiwan peliharaan anda

    Minta bantuan orang lain untuk memandikan haiwan peliharaan anda. Anda perlu memastikan mereka dimandikan seminggu sekali untuk mengurangkan dander. Kucing boleh menjadi terbiasa dimandikan, tetapi adalah penting untuk hanya menggunakan produk yang dilabelkan untuk mereka. Anak kucing contohnya, mungkin memerlukan syampu yang selamat untuk mereka. Rujuk doktor haiwan atau buku penjagaan haiwan peliharaan untuk panduan mandian haiwan yang selamat. Gunakan syampu yang disyorkan oleh doktor haiwan anda atau pakar penjagaan haiwan.

    Selain itu, berikan makanan yang berkualiti tinggi kepada haiwan peliharaan anda seperti yang mengandungi asid lemak omega-3. Jika haiwan peliharaan anda lebih sihat, dander haiwan akan berkurangan dan mengelakkan alahan kepada anda.

    3. Cegah punca lain alahan

    Ramai pesakit dengan alahan sebenarnya sensitif kepada lebih daripada satu alergen. Adalah penting untuk anda berjumpa dengan doktor dan diuji untuk menentukan alahan yang anda alami. Anda mungkin mendapati bahawa anda sebenarnya alah kepada benda lain dan bukannya haiwan. Sebagai contoh, anda mungkin mengandaikan bahawa anda alah kepada kucing yang anda bela, tetapi ujian alahan menunjukkan bahawa anda sebenarnya alah dengan debunga pokok tertentu yang sebenarnya hinggap pada bulu kucing anda sewaktu ia di luar rumah.

    Oleh itu, kurangkan alahan daripada persekitaran anda dengan menumpukan perhatian kepada semua punca, bukan sekadar alahan kerana haiwan. Sebagai contoh, anda boleh mengurangkan atau menyingkirkan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan alahan. Dalam satu kajian, 15 daripada 20 pesakit asma dapat meningkatkan tahap kesihatan mereka dengan mengurangkan produk tenusu dalam masa hanya beberapa minggu. Anda juga patut membersihkan rumah anda dengan teliti daripada habuk dan kulat.

    4. Ambil rawatan

    Rawatan tambahan untuk alahan terhadap haiwan peliharaan termasuklah imunoterapi (suntikan alahan), semburan hidung steroid dan antihistamin serta pil antihistamin. Adalah penting untuk anda meyakinkan doktor anda bahawa anda tetap memilih untuk memelihara haiwan peliharaan anda dan mahukan rawatan untuk mengawal simptom. Gabungan pendekatan seperti ubat untuk mengawal simptom, kaedah pembersihan rumah yang baik dan imunoterapi, besar kemungkinan akan berjaya membantu mengawal alahan anda.

    Walaupun sukar, terdapat cara untuk anda kekal memelihara haiwan peliharaan anda di samping menguruskan simptom alahan anda. Bahkan ramai sahaja sebenarnya penghidap asma atau mereka yang mengalami alahan yang masih memilih untuk memelihara haiwan peliharaan mereka. Barangkali kerana mereka merasakan sangat berbaloi untuk memilih mengekalkan ikatan istimewa antara mereka dan haiwan kesayangan mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan