backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

4

Tanya Doktor
Simpan

Kerap Sesak Nafas & Jantung Berdebar-debar? Usah Abaikan, Ini Mungkin Tanda Penyakit!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 18/07/2022

    Kerap Sesak Nafas & Jantung Berdebar-debar? Usah Abaikan, Ini Mungkin Tanda Penyakit!

    Selalu rasa hati berdebar debar dan sesak nafas? Simptom-simptom ini boleh dikaitkan dengan pelbagai kondisi perubatan, termasuk kegelisahan, serangan panik, atau bahkan, masalah jantung!

    Sesetengah orang mungkin hanya memandang enteng gejala sebegini, walhal degupan jantung yang sangat laju dan abnormal tidak wajar diabaikan sama sekali!

    Dalam sesetengah kes, jantung berdebar dan sesak nafas boleh menjadi indikasi masalah kesihatan yang memerlukan perhatian doktor!

    Oleh sebab terdapat banyak kondisi yang boleh dikaitkan dengan tanda-tanda ini, kami di Hello Doktor telah menyediakan antara kondisi berkaitan/tidak berkaitan jantung yang boleh menjejaskan kadar degupan dan pernafasan!

    Bagi yang berminat untuk tahu dengan lebih lanjut, ayuh ikuti kupasan ini!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Kondisi kesihatan yang menjejaskan degupan jantung & pernafasan

    Hati berdebar debar dan kesulitan untuk bernafas; selain menjadi indikasi kepada masalah jantung, ia boleh disebabkan oleh faktor psikologi dan emosi.

    Berikut merupakan antara kondisi yang berkemungkinan menyebabkan jantung berdebar dan sesak nafas, merangkumi 2 bahagian:

    Faktor psikologi dan emosi

    #1 Serangan panik @ panic disorder

    Penyakit serangan panik adalah sejenis penyakit kegelisahan (anxiety disorder).

    Ia menyebabkan serangan panik, seperti rasa diancam walaupun tanpa kehadiran elemen bahaya yang nyata.

    Mereka yang mengalami serangan panik akan merasa seolah-olah kehilangan kawalan. Pesakit juga mungkin bakal alami gejala fizikal, seperti:

  • Berpeluh.
  • Kesukaran bernafas.
  • Hati berdebar debar.
  • Sakit dada atau perut.
  • Berasa lemah atau pening.
  • Badan terasa panas atau sejuk menggigil.
  • Tangan terasa menyucuk atau kebas.
  • #2 Gangguan kegelisahan (anxiety disorder)

    hati berdebar debar

    Individu yang memiliki gangguan ini sering mengalami kebimbangan dan ketakutan yang kuat, berlebihan dan berterusan mengenai situasi seharian.

    Selalunya, gangguan kegelisahan melibatkan episod berulang dengan perasaan resah gelisah secara mengejut yang kuat, ketakutan atau rasa diancam yang tidak terkawal dalam beberapa minit (serangan panik).

    Sebagai langkah pencegahan, pesakit mungkin perlu mengelakkan tempat atau situasi yang boleh menjadi pencetus.

    Tambah lagi, gejala boleh bermula di awal usia kanak-kanak atau remaja dan berterusan hingga ke dewasa.

    Kondisi berkaitan jantung

    #1 Kegagalan jantung

    Kondisi ini turut digelar sebagai kegagalan jantung kongestif (congestive heart failure).

    Walaupun wujudnya istilah ‘kegagalan’ pada namanya, ini bukan bermaksud jantung berhenti berdegup ya!

    Kegagalan jantung bererti bahawa ia tidak memenuhi keperluan badan anda. Sesak nafas dan keletihan boleh menjadi antara gejalanya.

    Bukan itu saja, penghidapnnya juga selalu mengalami pembengkakan di pergelangan kaki, kaki, dan bahagian tengah badan dek kerana jantung tidak cukup kuat untuk mengepam darah dengan betul.

    Pada peringkat awal kegagalan jantung, anda mungkin akan mengalami kesukaran bernafas setelah bersenam, atau berjalan jauh.

    Tetapi, apabila jantung semakin lemah, sesak nafas boleh berlaku walaupun semasa berbaring.

    #2 Takikardia (tachycardia)

    Takikardia adalah istilah perubatan untuk degupan jantung yang melebihi 100 kali denyutan per minit, dalam kalangan orang dewasa.

    Terdapat beberapa jenis gejala yang boleh tercetus, tetapi salah satu yang boleh menyebabkan sesak nafas adalah SVT, atau atrial tachycardia.

    Bagi pesakit SVT, kadar denyutan jantung boleh meningkat kerana isyarat elektrik jantung tidak berfungsi dengan betul, menyebabkan rasa hati berdebar debar.

    Orang yang menghidap SVT, jantung berdebar dan sesak nafas harus segera mendapatkan bantuan perubatan!

    Doktor mungkin bakal mengesyorkan beberapa perkara yang boleh membantu, seperti berhenti merokok dan mengurangkan pengambilan kafein serta alkohol.

    #3 Paru-paru berair (pulmonary edema)

    Pulmonary edema membawa maksud pembentukan cecair di dalam paru-paru.

    Cecair boleh berkumpul di dalam kantung udara, lantas membuatkan pernafasan menjadi susah.

    Kondisi ini biasanya dipicu oleh masalah jantung, tapi ada juga kondisi kesihatan lain yang boleh mengakibatkannya.

    Sekiranya jantung ‘sakit’ atau rosak, ia tidak akan dapat mengepam keluar darah dari paru-paru dengan mencukupi.

    Apabila hal ini berlaku, tekanan di jantung akan terkumpul lalu menolak cecair ke dalam kantung udara paru-paru.

    Masalah pernafasan juga mungkin berlaku dari masa ke masa, atau menyerang secara tiba-tiba.

    Segera dapatkan bantuan perubatan jika anda menghadapi masalah pernafasan yang lebih teruk ketika berbaring; seperti berasa lemas, warna kulit bertukar biru, batuk berdarah atau jika terasa hati berdebar debar.

    #4 Punca hati berdebar debar: Kardiomiopati (cardiomyopathy)

    hati berdebar debar

    Merupakan masalah otot jantung serius yang menyukarkannya mengepam dan menghantar darah ke badan.

    Terdapat pelbagai jenis dan sebab kardiomiopati berlaku, antaranya merangkumi serangan jantung, diabetes, atau rawatan kanser.

    Selain itu, ia boleh dikaitkan dengan berat badan berlebihan, pengambilan alkohol terlalu banyak, atau tekanan darah tinggi. Tapi dalam sesetengah kes, kejadian di sebaliknya masih menjadi tanda tanya.

    Anda mungkin tidak bergejala pada peringkat awal, namun apabila ia bertambah parah, simptom hati berdebar debar dan sesak nafas boleh berlaku ketika sedang aktif ataupun beristirahat!

    Lakukan pemeriksaan dengan doktor!

    Sekiranya anda mengalami masalah pernafasan atau hati berdebar debar, jangan abaikan gejala ini! Anda wajar berjumpa doktor dengan kadar segera sebelum nasi menjadi bubur!

    Doktor akan memeriksa anda dengan menjalankan ujian darah atau pemeriksaan lain untuk mengenal pasti masalah yang sedang berlaku.

    Sentiasa perhatikan sebarang perubahan atau tanda-tanda awal yang dapat dikesan untuk memudahkan proses diagnosis.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 18/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan