Selalu alami sakit belakang sebelah kiri? Lazimnya, masalah ini berpunca daripada postur badan yang tidak baik. Jika anda selalu membongkok atau terpaksa menghabiskan banyak masa bekerja di hadapan komputer, ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kenapa sakit pinggang belah kiri juga?
Ramai orang yang mengalami sakit belakang, terutamanya pada kawasan bahu kerana duduk terlalu lama. Kesakitan yang dialami pula mungkin berbeza mengikut individu.
Jom, ambil tahu apakah punca sakit belakang! Pastikan anda tahu mengapa ia berlaku dan apakah rawatan yang paling sesuai untuk merawat kondisi ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi berkenaan Tulang & Otot, anda boleh klik di sini.
Mengapa saya selalu sakit belakang sebelah kiri?
Kenapa sakit pinggang belah kiri?
Sebenarnya, ada beberapa faktor yang membuatkan anda lebih mudah untuk mengalami sakit belakang. Antaranya ialah:
- Usia. Sakit belakang selalunya akan menjadi semakin kerap apabila usia kita mencecah 30 atau 40 tahun
- Jarang bersenam. Mereka yang bersenam selalunya mempunyai otot di kawasan belakang, bahu dan perut yang lebih kuat berbanding mereka yang tidak bersenam
- Berat badan. Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan lebih berisiko untuk mengalami sakit belakang
- Penyakit tertentu. Penyakit seperti arthritis dan kanser boleh menyebabkan sakit belakang
- Merokok. Perokok cenderung mengalami masalah sakit belakang. Malah, sakit belakang yang dialami perokok juga lebih sukar untuk sembuh
5 rawatan sakit belakang sebelah kiri
Selain memastikan berat badan dalam julat yang sihat, kombinasi senaman kardio dan kekuatan juga dapat mengurangkan sakit belakang.
Malah, postur badan yang baik juga dapat mengurangkan risiko sakit belakang yang serius.
Di bawah, kami senaraikan 5 rawatan untuk sakit belakang sebelah kiri:
1. Terapi fizikal
Terapi fizikal merupakan satu cara yang terbaik untuk mengurangkan kesakitan di belakang badan. Malah, ada banyak teknik regangan yang kita boleh belajar untuk mengurangkan sakit otot.
Bukan itu sahaja, melalui terapi fizikal, kita dapat belajar cara terbaik untuk mengangkat, membaling atau melontar dengan betul. Malah, anda juga dapat memperbaiki postur badan yang salah mengikut saranan ahli terapi!
2. Penggunaan haba atau ais untuk sakit belakang sebelah kiri
Jika anda baru sahaja mengalami sakit belakang badan, cara yang terbaik untuk melegakannya adalah dengan meletakkan pek ais untuk mengurangkan inflamasi dan pembengkakan. Ais dapat membantu memberikan rasa kebas pada kawasan yang terjejas.
Apabila inflamasi telah surut dan berkurang, anda boleh letakkan kain hangat pula di kawasan tersebut. Objek yang hangat boleh meningkatkan peredaran darah dan meningkatkan fleksibiliti otot dan tisu lembut.
Semua rawatan di atas dapat membantu melegakannya. Namun, jika rawatan tidak berkesan, pastikan anda jumpa doktor secepat mungkin untuk memeriksa sakit belakang sebelah kanan dan kiri.
3. Terapi EPAT/shockwave
Terapi EPAT atau terapi shockwave ialah satu cara yang tidak invasif untuk mempercepatkan pemulihan tisu dan mengurangkan tempoh penyembuhan.
Rawatan EPAT tidak akan menyebabkan sebarang kesakitan. Ia dapat meningkatkan peredaran darah ke arah kawasan yang terjejas untuk mengelakkan inflamasi. Malah, rawatan ini juga tidak akan menyebabkan sebarang parut.
Selalunya, terapi ini dilakukan oleh para atlet. Melalui terapi EPAT, mereka masih boleh berlatih seperti biasa sambil menjalani rawatan.
4. Pengambilan ubat tahan sakit
Ubat tahan sakit sangat membantu untuk menghilangkan sakit belakang. Malah, ada banyak ubat tahan sakit boleh dibeli dengan mudah secara over-the-counter.
Tidak ada salahnya jika anda ingin menggunakan ubat tahan sakit.
Namun ubat tahan sakit NSAID tidak boleh diambil dalam jangka masa yang lama dan seeloknya mendapatkan nasihat dari doktor dahulu.
Ubat tahan sakit selain NSAID tidak merbahaya jika diambil mengikut preskripsi yang ditetapkan.
Jika anda makan ubat sebelum masa rehat, ia dapat membantu anda relaks dan tidur dengan tenang tanpa sebarang kesakitan.
5. Urutan tisu dalam untuk kurangkan sakit belakang sebelah kiri
Urutan tisu dalam atau deep tissue massage mungkin dapat membantu mengurangkan sebarang kesakitan pada kawasan otot yang berlaku disebabkan kecederaan.