backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Kenapa Sakit Tulang Dada? Rupanya, Ada 4 Kondisi Yang Boleh Jadi Punca Utama!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/08/2023

Kenapa Sakit Tulang Dada? Rupanya, Ada 4 Kondisi Yang Boleh Jadi Punca Utama!

Pernahkah anda rasa tulang dada tengah sakit saat ditekan? Sebenarnya, ada beberapa punca sakit tulang dada yang boleh jadi punca. Jom baca artikel untuk tahu lebih lanjut tentangnya!

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Tulang/Otot, anda boleh klik di sini.

Kostokondritis, punca sakit tulang dada?

Keradangan pada tulang rusuk atau lebih dikenali sebagai kostokondritis mempunyai pelbagai jenis presentasi.

Kesakitan pada dada yang dialami berbeza mengikut individu dan tahap keterukan keadaan tersebut.

Jika seseorang itu mengalami kostokondritis ringan (mild), sakit dada mungkin hanya terasa apabila ia disentuh atau ketika melakukan aktiviti senaman yang memberi tekanan kepada kaviti dada seperti senaman tekan tubi.

Bagi yang mengalami kostokondritis teruk pula, kesakitannya terasa setiap masa dan ia kebiasaannya mempengaruhi kualiti hidup individu tersebut.

Berbeza dengan penyakit jantung, sakit tulang dada yang disebabkan oleh kostokondritis kebiasaannya merebak ke bahagian abdomen atau bahagian belakang badan.

Kesakitannya akan menjadi semakin teruk jika anda menarik nafas dengan dalam. Ini berikutan tulang rusuk berkembang bagi meningkatkan kapasiti paru-paru untuk mengambil udara.

sakit tulang dada

Walaupun ciri-ciri berikut lebih menggambarkan keadaan kesihatan kostokondritis berbanding dengan penyakit jantung, sila berjumpa dengan doktor anda bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

Sebab sebenar bagaimana terjadinya penyakit ini tidak diketahui secara khusus namun terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan risiko anda untuk mendapat kostokondritis meningkat:

  • Melakukan aktiviti berat seperti senaman angkat berat 
  • Mengalami trauma pada bahagian dada seperti kemalangan kereta atau terjatuh
  • Anda telah didiagnosis dengan penyakit arthritis
  • Jangkitan virus dan beberapa masalah sistem pernafasan seperti tuberkulosis
  • Terdapat ketumbuhan pada sendi di tulang rusuk

Tulang sternum retak

Apabila disebut perkataan “tulang dada”, kebiasaannya gambaran tulang rusuk akan terlintas di fikiran.

Namun, jangan dilupakan berkenaan dengan tulang yang terletak betul-betul di tengah dada. Tulang ini dikenali sebagai tulang sternum.

Ia menjadi pusat pertautan tulang rusuk bagi membentuk kaviti dada untuk melindungi organ-organ penting seperti jantung, paru-paru dan salur darah besar (aorta dan vena kava).

Sebahagian besar punca kepada retaknya tulang tersebut adalah disebabkan oleh trauma secara langsung dengan penggunaan tali pinggang keledar ketika kemalangan kenderaan.

Keadaan lain yang melibatkan trauma berimpak tinggi seperti jatuh daripada bangunan, kecederaan sukan dan pelanggaran di antara kereta dengan pejalan kaki juga boleh menyebabkan berlakunya keretakan tulang sternum.

Secara amnya, anda berisiko untuk mendapat masalah ini terutamanya jika anda:

sakit tulang dada

Seperti kostokondritis, keretakan tulang sternum juga boleh menyebabkan rasa sakit ketika anda menarik nafas dalam.

Ini berikutan pergerakan tulang tersebut bersama dengan tulang rusuk bagi meningkatkan kapasiti paru-paru menyebabkan simptom kesakitan.

Perkara lain seperti batuk, ketawa, mengangkat barang yang berat serta pergerakan lengan juga boleh menyebabkan rasa sakit tulang dada berpunca daripada keretakan tersebut.

Tulang klavikel retak

Sakit tulang dada juga mungkin angkara masalah keretakan tulang yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Tulang selangka, atau lebih dikenali sebagai klavikel merupakan tulang yang menghubungkan bahagian atas tulang sternum dengan tulang belikat (skapula).

Seseorang individu itu boleh mengalami kepatahan atau keretakan tulang ini akibat daripada terjatuh, trauma ketika kemalangan atau kecederaan ketika bersukan.

Bagi bayi pula, proses yang sering dikaitkan dengan risiko keretakan tulang selangka adalah ketika melalui proses kelahiran. 

Antara simptom yang kebiasaannya dialami oleh mereka yang keretakan tulang selangka adalah:

  • Sakit ketika cuba untuk menggerakkan bahu
  • Sakit ketika disentuh pada bahagian yang retak
  • Lebam
  • Kebengkakan pada struktur tulang selangka yang retak
  • Bunyi menggeresek apabila anda cuba untuk menggerakkan bahu
  • Tangan terasa kebas (kecederaan urat saraf berdekatan dengan tulang selangka)
  • Jika anak anda mengalami keretakan tulang selangka khususnya bagi anak yang baru lahir, mereka kurang menggerakkan tangan pada bahagian tulang selangka yang retak

Kecederaan pada sendi sternoklavikular

sakit tulang dada

Sendi merupakan struktur yang menghubungkan tulang di dalam tubuh badan manusia. Sendi sternoklavikular terletak di antara tulang selangka dan tulang sternum.

Ia merupakan salah satu daripada empat sendi yang membentuk struktur bahu, membenarkan pergerakannya pada sudut tertentu.

Kecederaan pada sendi ini tidak lazim seperti tiga keadaan yang telah diperbincangkan sebentar tadi namun ia merupakan salah satu punca daripada kesakitan tulang yang dirasai pada bahagian dada.

Kecederaan ini kebiasaannya berlaku ketika mengalami kemalangan kenderaan atau pelanggaran ketika terlibat dengan sukan lasak seperti bola sepak dan ragbi.

Individu yang mengalami masalah sakit tulang dada kebiasaannya akan mengadu kesakitan namun pada kebanyakan kes, ia akan sembuh dengan sendirinya tanpa bantuan pembedahan.

Mereka yang rasa sakit tulang dada akibat punca ini kebiasaannya akan mengalami:

  • Kebengkakan pada lokasi kecederaan
  • Bunyi menggeresek ketika menggerakkan bahu
  • Pergerakan bahu terhad kerana kesakitan
  • Jika berlaku jangkitan pada sendi tersebut, individu itu akan mengalami demam panas, seram sejuk dan perpeluhan pada waktu malam.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.



Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/08/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan