backup og meta

Betul Ke Jatuh Terduduk Boleh Sebabkan Tulang Retak Akibat Terlalu Rapuh?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/06/2020

    Betul Ke Jatuh Terduduk Boleh Sebabkan Tulang Retak Akibat Terlalu Rapuh?

    Pernahkah anda terfikir mengapakah orang tua lebih berisiko untuk mengalami keretakan tulang berbanding dengan orang muda? Adakah anda tahu berkenaan dengan osteoporosis? Ikuti artikel ini untuk mengetahui maklumat selanjutnya.

    Tulang retak akibat tersadung

    Secara umumnya, semua orang takut dengan pembedahan terutamanya jika ia melibatkan organ-organ penting seperti jantung dan otak. Adakah tinggi kebarangkalian untuk saya mati di dalam bilik bedah? Adakah saya tidak akan bangun lagi seusai pembedahan tamat? Adakah saya akan mengalami kecacatan kekal jika saya mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan? Itulah antara persoalan yang bermain dalam fikiran Lo Lan Yen.

    Puan Lo, seorang wanita yang kini berusia 77 tahun telah menjalani pembedahan pada tahun 2015 akibat daripada jatuh, tersadung dek karpet di kediamannya. Dia jatuh terduduk dan tidak dapat berdiri selepas itu kerana kesakitan yang amat pada bahagian pinggul di sebelah kiri. Ketidakpastian berkenaan dengan punca kesakitan tersebut telah mendorong suaminya, Encik Wong untuk menelefon ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta.

    “Puan mengalami keretakan pada bahagian leher tulang femur (tulang paha) kiri.”. Apabila Puan Lo diberitahu berkenaan dengan diagnosis tersebut, dia tergamam. Dia tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan tetapi kini, dia diberitahu bahawa tulangnya retak hanya kerana jatuh daripada posisi berdiri.

    Diam-diam tulang merapuh

    Osteoporosis adalah penyakit tulang rapuh kesan daripada perubahan pada kekuatan tulang. Ia boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor risiko seperti peningkatan usia, jantina pesakit, faktor kekurangan vitamin D atau kalsium dalam pemakanan, menopaus dan lain-lain. Kekuatan tulang bergantung kepada jisim dan kualiti tulang tersebut. Secara mudahnya, ia dipengaruhi oleh struktur, kadar pusing ganti (turnover rate), kadar kerosakan dan kadar pemineralan tulang.

    Estrogen adalah merupakan salah satu hormon penting bagi wanita dalam memastikan kadar resorpsi tulang berada pada tahap minima. Ketika wanita mengalami menopaus, rembesan estrogen terhenti dan ini akan mengakibatkan kadar resorpsi tulang meningkat sekali gus menyebabkan kerapuhan tulang. Ini adalah sebab mengapa wanita mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat osteoporosis setelah mereka mencapai usia menopaus.

    Osteoporosis dianggap sebagai salah satu daripada masalah kesihatan yang besar dialami oleh populasi orang tua. Oleh sebab jangka hayat manusia semakin meningkat, kita akan menyaksikan peningkatan populasi orang tua kelak di seluruh dunia. Isu osteoporosisi tidak lagi boleh dipandang enteng kerana ia bakal mempengaruhi kualiti hidup warga tua dan secara tidak langsung, bebanan kewangan negara bagi merawat komplikasi osteoporosis.

    Awasi langkah anda

    Selepas pembedahan, Puan Lo akhirnya boleh berdiri dan berjalan dengan menggunakan tongkat. Kini (2019), dia dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa dan bergerak ke sana ke mari tanpa menggunakan alat bantuan. Selepas tempoh pembedahannya pada tahun 2015, Puan Lo telah diberitahu oleh doktor bahawa tulangnya mengalami kerapuhan yang serius. Dia telah dirawat oleh doktor dengan terapi alendronate dan diberikan kalsium dan vitamin D tambahan.

    Bersempena dengan Hari Osteoporosis Sedunia yang akan disambut pada 20 Oktober 2019 yang lalu, Puan Lo dan Encik Wong menekankan kepentingan untuk mendapatkan rawatan bagi orang tua yang mengalami kesakitan akibat daripada terjatuh. Kadangkala, kita memandang ringan terhadap perkara ini yang seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan negatif terhadap individu tersebut. Namun perlu diingatkan bahawa, setiap manusia berbeza. Orang tua, khususnya mempunyai tubuh fizikal yang kian lemah dan jika mereka mengadu kesakitan, usah teragak-agak untuk menelefon ambulans.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan