home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Tak Makan Daging Punca Pengamal Diet Vegan Alami Tulang Retak! Ini Cara Atasinya

Tak Makan Daging Punca Pengamal Diet Vegan Alami Tulang Retak! Ini Cara Atasinya

Mereka yang tidak makan daging, terutamanya individu yang mengamalkan diet vegan, berisiko tinggi untuk mengalami masalah keretakan tulang.

Perkara ini telah dilaporkan oleh pengkaji dari Universiti Oxford.

Pengamal diet vegan boleh mengalami peningkatan risiko untuk mendapat retak tulang setinggi 43% di seluruh tubuh badan termasuk kawasan berisiko tinggi seperti tulang pinggul.

Teruskan membaca jika anda ingin mengetahui selanjutnya.

Kajian yang mengaitkan diet vegan dengan peningkatan risiko tulang retak

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Oxford menunjukkan mereka yang mengamalkan diet vegan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat keretakan secara keseluruhan.

Perkara ini boleh diterjemahkan dalam nilai 20 atau lebih kes per 1,000 individu dalam tempoh 10 tahun jika dibandingkan dengan mereka yang makan daging.

Perbezaan paling ketara boleh dilihat pada mereka yang mengalami retak tulang pinggul, di mana pengamal diet vegan mempunyai risiko 2.3 lebih tinggi untuk didiagnosis dengannya berbanding dengan populasi pemakan daging.

Kertas kajian tersebut telah diterbitkan di laman jurnal terkemuka BMC dan ia melibatkan 54,000 subjek yang menyertai kajian EPIC-Oxford.

Dalam kalangan subjek tersebut, kira-kira 30,000 individu merupakan pemakan daging, 8,000 pemakan ikan, 15,000 merupakan pengamal diet vegetarian dan hampir 2,000 mengamalkan diet vegan.

Sepanjang 18 tahun kajian tersebut telah dijalankan, kira-kira 3,941 kes keretakan tulang telah didiagnosis.

Jumlah kes retak tertinggi melibatkan anggota pinggul, pergelangan tangan, lengan, tumit dan kaki.

Bukan sahaja golongan pemakan sayur, mereka yang tidak makan daging tetapi makan ikan juga berisiko untuk mendapat masalah retak tulang.

Walau bagaimanapun, jika data lain seperti jisim berat badan, kalsium dan pengambilan protein diambil kira, risiko berkaitan dengan keretakan turun sedikit.

Kajian terdahulu menunjukkan BMI yang sangat rendah boleh meningkatkan risiko keretakan tulang pinggul. Begitu juga dengan mereka yang kurang mengambil protein dan kalsium.

Faktor risiko tersebut dapat dilihat pada mereka yang vegan.

Kenapa populasi vegan lebih berisiko berbanding dengan pemakan daging?

keretakan tulang

Walaupun anda mungkin mengangkat kening kehairanan akan dapatan kajian, menurut pakar, ia tidak pelik dan sememangnya dijangka.

Dapatan kajian tersebut adalah selari dengan dapatan kajian sebelum ini, maka ia membuktikan premis berkaitan dengan risiko retak tulang dalam kalangan mereka yang vegan.

Apa yang anda perlu tahu, menurut kajian terdahulu, risiko retak tulang dalam kalangan pengamal diet vegan boleh dikaitkan dengan BMI, kurang pengambilan kalsium dan protein.

Namun, apabila pemalar tersebut telah dilaraskan pada nilai normal, mereka masih lagi berisiko tinggi.

Ia berkait dengan kualiti protein itu sendiri. Bukan kuantiti sahaja yang penting, kualiti juga perlu diambil kira.

Sebagai contoh, mungkin anda boleh mendapatkan jumlah kalsium yang cukup melalui pengambilan sayuran, namun ia tidak sehebat jika anda mengambil produk tenusu.

Begitu juga dengan pengambilan protein. Anda mungkin telah mendapatkan protein yang cukup melalui makanan berasaskan tumbuhan.

Namun, nisbah asid amino yang mencipta protein tersebut berkemungkinan tidak menyokong proses pemodelan tulang sepertimana yang boleh disebabkan oleh asid amino dalam daging haiwan.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka yang mengamalkan pemakanan vegan tidak boleh memiliki tulang yang sihat.

Pemakanan sihat yang disertakan dengan pengambilan suplemen vitamin terutamanya vitamin D boleh membantu mengekalkan tahap kesihatan dan kekuatan tulang.

Bagaimana cara untuk mengekalkan kekuatan tulang?

diet vegan

Suatu ketika dahulu, pemakanan vegan hanya tertumpu kepada buah-buahan, sayur-sayuran serta bahan makanan yang tidak diperkuat dengan apa-apa nutrien tambahan.

Kini, mereka yang mengamalkan diet vegan boleh menikmati bahan makanan yang menyerupai produk haiwan yang telah diperkuat dengan suplemen vitamin dan mineral.

Ini bermakna, bagi populasi vegan, pemilihan makanan perlu dibuat dengan berhati-hati agar keperluan nutrien mereka terjamin.

Minuman seperti susu kacang soya dan susu almond telah diperkayakan dengan kalsium dan vitamin D bagi membantu menguatkan tulang.

Selain itu, senaman angkat berat juga boleh membantu individu menguatkan tulang serta menghindarkan masalah berkaitan dengan BMI.

Perancangan merupakan kunci kejayaan kepada pelaksanaan pelan pemakanan vegan yang seimbang.

Seseorang itu tidak boleh terlalu bergantung dengan makanan seperti sayuran dan buahan semata-mata.

Terdapat khasiat yang hanya boleh didapati pada daging haiwan dan ia boleh dibekalkan melalui pengambilan suplemen yang betul.

Konklusi

Jika anda seorang pengamal diet vegan, pastikan anda mendapatkan jumlah nutrien yang mencukupi.

Fokus kepada makanan berkhasiat dan yang telah diperkayakan dengan nutrien tambahan seperti vitamin dan mineral.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan dengan amalan diet vegan, rujuk doktor atau pakar pemakanan anda sekarang.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Vegetarian and vegan diets and risks of total and site-specific fractures: results from the prospective EPIC-Oxford study. (https://bmcmedicine.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12916-020-01815-3). Diakses pada 24 Mac 2021.
  2. Vegans, vegetarians and pescetarians may be at higher risk of bone fractures than meat eaters. (https://www.biomedcentral.com/about/press-centre/science-press-releases/23-11-20). Diakses pada 24 Mac 2021.
  3. Vegetarian diets in children and adolescents. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2912628/). Diakses pada 24 Mac 2021.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 12/09/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan