Masalah seperti ini bukan sahaja boleh meningkatkan risiko morbiditi dan mortaliti, malah meningkatkan kadar perbelanjaan rawatan.
Kajian pada tahun 2015 oleh Medicare dalam kalangan 2 juta pemegang insurans, kira-kira 307,000 pesakit mengalami tulang patah kali kedua dalam tempoh 2 hingga 3 tahun.
Perkara tersebut menyebabkan syarikat itu terpaksa menanggung kos tambahan setinggi 6.3 bilion USD (sekitar RM25 bilion).
Selepas alami keretakan tulang kali pertama, penting bagi pesakit untuk dirujuk kepada disiplin perubatan yang berkaitan bagi membuat saringan risiko.
Kunci kepada kawalan risiko adalah pendidikan dan preskripsi ubat atau suplemen bagi memperkuatkan tulang dengan mineral penting.
Apa yang saya boleh buat untuk elakkan masalah keretakan?

Selain daripada ubat yang dipreskripsikan oleh doktor, anda juga boleh mengamalkan diet yang kaya dengan elemen penguat tulang seperti kalsium dan vitamin D.
Antara nutrien penting yang boleh mempengaruhi kekuatan tulang:
Kalsium:
Perlu diambil oleh pesakit untuk memperkuatkan tulang. Produk tenusu seperti keju, yogurt dan susu kaya dengan kalsium. Makanan lain seperti brokoli, kacang almond dan sardin juga mengandungi kalsium dalam kepekatan rendah.
Bagi pesakit yang tidak mendapat bekalan kalsium yang mencukupi (alergi produk tenusu dan sebagainya), preskripsi suplemen boleh membantu mereka.
Vitamin D:
Ini merupakan elemen penting untuk kekuatan tulang berikutan ia membantu badan untuk menyerap masuk kalsium.
Apabila usia meningkat, keupayaan badan kita untuk menyerap kalsium semakin berkurangan. Ini bermakna, bekalan vitamin ini penting terutamanya apabila usia kita meningkat.
Bagi individu di bawah usia 70 tahun, 600 IU sudah memadai. Namun, apabila usia berlanjutan melebihi 70, anda perlu mengambil 800 IU sehari.
Kebanyakan suplemen kalsium dibekalkan dengan vitamin D bagi membantu penyerapan oleh badan.
Natrium:
Berbeza dengan elemen lain, jika diet anda tinggi natrium (tinggi garam) jumlah kalsium yang keluar melalui air kencing juga meningkat.
Ini bermakna, mereka yang mengamalkan pemakanan tinggi garam perlu mengambil lebih banyak kalsium. Kurangkan natrium dalam diet anda.
Protein:
Walaupun pengambilannya dalam jumlah yang tinggi boleh menyebabkan kadar pembuangan kalsium turut tinggi, protein penting dalam proses pembaikan tulang retak.
Lelaki disarankan mengambil 56 gram protein manakala wanita pula 46 gram protein.
Konklusi
Jika anda pernah alami tulang patah atau retak, penting untuk anda ambil langkah pencegahan bagi menghindarkan masalah retak kali kedua.
Amalan hidup sihat menjadi kepentingan utama memandangkan elemen seperti pemakanan dan aktiviti fizikal boleh memperkuatkan tulang.
Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan dengannya, rujuk doktor perubatan bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.