Pernahkah anda dengar mengenai penyakit tulang osteoporosis? Penyakit ini akan menyebabkan tulang pesakit menjadi rapuh dan mudah patah. Oleh sebab itu, ramai penghidap osteoporosis yang tidak melakukan senaman kerana risau mengalami kecederaan.
Namun, kenyataan di atas tidak benar sama sekali. Malah, pesakit osteoporosis juga tidak seharusnya menidakkan kebaikan senaman.
Tambah lagi, senaman amat digalakkan untuk penghidap penyakit tulang osteoporosis bagi menguatkan tulang dan mengurangkan risiko jatuh.
Untuk pengetahuan anda, osteoporosis merupakan punca utama kecacatan dalam kalangan wanita yang berusia.
Disebabkan tulang sudah menjadi lemah, pesakit lebih mudah mengalami keretakan pada kawasan pinggul dan tulang belakang.
Malah, sebarang kecederaan pada kawasan ini juga amat berbahaya dan boleh memberikan kesan yang buruk terhadap pergerakan dan kebebasan pesakit.
Sebab itulah, pesakit osteoporosis digalakkan untuk melakukan senaman. Di samping dapat menguatkan otot, risiko untuk mengalami keretakan juga dapat dikurangkan.
Walau bagaimanapun, sebelum melakukan senaman, pastikan anda berjumpa doktor terlebih dahulu.
Dapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar kerana senaman yang keterlaluan boleh menyebabkan kecederaan.
Kebaikan senaman untuk penghidap osteoporosis
Untuk penghidap osteoporosis, senaman boleh menguatkan otot, memperbaiki imbangan badan, merendahkan risiko keretakan tulang dan mengurangkan kesakitan yang dialami.
Bukan itu sahaja, senaman yang bersesuaian juga dapat membetulkan postur tubuh pesakit osteoporosis.
Walaupun benar senaman boleh menjadi sesuatu yang bahaya untuk penghidap penyakit tulang osteoporosis, namun ia masih mempunyai kebaikannya yang tersendiri.
Oleh sebab itu, pesakit haruslah mencari senaman yang paling selamat dan menyeronokkan bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing.
Ada beberapa jenis senaman yang digalakkan untuk pesakit yang menghidap osteoporosis. Contohnya:
- Senaman kekuatan, lebih-lebih lagi yang menyasarkan bahagian belakang badan.
- Senaman aerobik.
- Senaman kelenturan dan imbangan badan.
Secara idealnya, senaman yang dilakukan setiap minggu haruslah merangkumi senaman daripada ketiga-tiga kumpulan ini.
Senaman apa yang sesuai untuk pesakit osteoporosis?
Pasti pesakit osteoporosis tertanya-tanya, apakah senaman yang terbaik untuk mereka?
Sebenarnya, ada banyak senaman yang boleh pesakit lakukan. Hendak menari? Tiada masalah!
Tetapi, sebelum melakukan apa-apa senaman, pastikan anda berhubung dengan doktor terlebih dahulu. Dapatkan pendapat daripada mereka dan lakukan senaman mengikut kemampuan diri.
1. Senaman kekuatan
Pesakit osteoporosis boleh melakukan senaman kekuatan menggunakan pemberat ataupun berat badan sendiri untuk menguatkan otot badan, terutamanya otot spina yang amat penting untuk postur badan yang baik.
Jika anda gemar melakukan senaman jenis ini, elakkan memaksa badan anda ketika bersenam.
Untuk pengetahuan anda, setiap aktiviti haruslah disesuaikan mengikut kemampuan diri lebih-lebih lagi jika mengalami kesakitan ketika bersenam.
2. Senaman aerobik
Senaman aerobik seperti berjalan kaki, menari, menaiki tangga dan juga berkebun amat bermanfaat untuk pesakit osteoporosis.
Senaman jenis ini bukan sahaja boleh mengurangkan stres, ia juga mampu menguatkan tulang pada kawasan kaki, pinggul dan juga belakang badan pesakit.
Berenang dan berbasikal juga mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Namun, senaman ini mungkin tidak dapat membantu pesakit osteoporosis sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, jika anda sukakan senaman jenis ini, tidak salah jika anda melakukannya.
Pastikan anda tambah senaman aerobik lain yang bersifat weight-bearing iaitu senaman yang dilakukan dengan semua berat badan anda tertumpu pada bahagian kaki.
3. Senaman kelenturan badan
Senaman ini dapat membantu otot pesakit untuk berfungsi dengan lebih baik. Selain itu, ia paling baik dilakukan sejurus senaman warm up.
Walau bagaimanapun, elakkan regangan atau senaman yang membebankan bahagian tulang belakang ataupun pinggang. Pastikan anda bertanya doktor mengenai senaman mana yang terbaik untuk anda.
4. Senaman keseimbangan badan
Salah satu kecederaan yang sering menjadi masalah untuk pesakit osteoporosis ialah kecederaan yang berlaku semasa terjatuh.
Walaupun nampak remeh, pesakit osteoporosis boleh alami kecederaan yang teruk jika terjatuh di kawasan rumah. Sebab itulah, senaman kesimbangan badan amat penting untuk mereka yang menghidap osteoporosis.
Sebagai contoh, lakukan senaman mudah seperti berdiri di atas sebelah kaki untuk memperbaiki keseimbangan badan anda.
Selain itu, anda juga boleh lakukan Tai Chi jika ingin mencuba sesuatu yang baharu.
Bukan semua senaman sesuai untuk penghidap penyakit tulang
Mereka yang menghidap penyakit tulang seperti osteoporosis haruslah mengelakkan diri daripada melakukan senaman seperti:
- Melompat, berlari atau berjoging kerana aktiviti ini boleh menyebabkan keretakan pada kawasan tulang yang lemah. Jika boleh, lakukan senaman yang lembut dan perlahan.
- Elakkan juga melakukan aktiviti seperti bermain tenis, golf, boling dan sebagainya. Aktiviti ini membebankan belakang badan dan pinggang anda, serta mungkin akan menyebabkan keretakan pada kawasan tulang belakang.
Walaupun pesakit osteoporosis berhadapan dengan risiko ini ketika bersenam, itu tidak bermaksud pesakit perlu rasa takut jika ingin melakukan apa-apa aktiviti fizikal.
Malah, ada banyak kebaikan senaman yang boleh dikecapi pesakit asalkan ia dilakukan dengan betul dan selamat.
Paling penting, dapatkan nasihat daripada pakar mengenai kondisi anda dan tahap aktiviti fizikal yang boleh dilakukan.
Jika anda ingin bersenam, pastikan anda mulakannya secara perlahan-lahan. Elakkan juga amalan tidak sihat seperti merokok atau minum minuman beralkohol yang tidak baik untuk kesihatan tulang anda.